Rabu, 19 November 2008

:: Coretan keindahan dalam persahabatan ::


Hari ini 13 November 2008 aku masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara yang nyaman dan segar, pemberian dari Allah yang maha kuasa. Hari ini aku sempat untuk bangun awal seawal 4.45 pagi walaupun semalam aku tidur pada pukul 4 pagi. Kelewatan tidur disebabkan pelbagai ragam manusia yang ingin berurusan denganku menyebabkan aku tidak mampu untuk menolaknya. Masakan tidak, hari ini adalah hari terakhir untuk semester ini. Walaupun sejak seminggu dua ini aku banyak menghabiskan sisa masa malam aku dengan rakan-rakan, sahabat-sahabatku dan adik-adikku dengan pelbagai aktiviti, aku bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk membantu mereka. Walaupun exam sudah habis ditempuhi, namun aku masih punya agenda untuk dilaksanakan pada hari ini. Aku bersama rakan usrahku akan membantu naqib usrahku en. Zul untuk mengendalikan Kem Keindahan Bersamamu untuk pelajar-pelajar PISMP Sem 4 dengan temanya “Not Me Not Now”. Sepanjang hari ini aku terpaksa membahagikan masa aku dengan sebaiknya supaya semua kerja yang diamanahkan dapat diselesaikan sebaik mungkin. Bermula dari awal pagi lagi sebelum subuh aku telah mendapat sms dari juniorku meminta bantuan untuk melihat seorang sahabatnya yang bercakap merapu-rapu. Aku hanya mampu berdoa dari jauh dalam tahajjudku supaya sahabatnya itu beroleh ketenangan. Aku berjanji untuk melihatnya setelah aku solat subuh di Surau. Setibanya aku di surau, aku terus berjemaah. Dalam khusyuk berjemaah aku dikejutkan dengan bunyi orang berlari. Aku terus menggagahi jiwa dan perasaanku utnuk terus khusyuk dalam solatku ini. Selesai saja solat dan doa, aku terus mendapatkan sahabatku ini. Aku bertanyakan apa yang dirasakannya. Ternyata dia berada di dalam keadaan yang tertekan sehingga bercakap yang bukan-bukan. Aku terus mengiringinya sehingga ke biliknya. Sebagai seorang abang aku sentiasa menasihatinya supaya membina semula kekuatan dalaman dan motivasi diri yang telah hancur akibat penyakitnya kira-kira 3 minggu yang lepas. Alhamdulillah, keadannya kembali tenang dan menyegarkan.


Aku berasa gembira. Hujan di saat pagi yang indah ini menambhakan syahdu kepada keindahan ciptaan alam. Aku meneruskan rutin harianku dengan membaca akhbar hari ini secara online sambil mendengar bacaan ayat-ayat suci al-quran. Inilah rutinku sehari-hari. Ketahuilah Wahai sahabat-sahabatku dengan membaca dan mendengar Al-quran dalam setiap saat kehidupan kita mampu membuatkan jiwa kita lembut dalam menghadapi situasi dan rencah dunia yang keras. Mungkin inilah jawapannya sahaja yang mampu aku berikan kepada sahabat-sahabatku apabila kamu semua bertanya bagaimana aku beroleh ketenangan di saat pelbagai masalah dan mehnah melanda dalam kehidupan aku sebagai seorang pelajar dan hamba allah di muka bumi ini. Ramai sahabatku yang tahu bahawa aku mudah mengantuk apabila didendangkan dengan movie, muzik hatta nasyid sekalipun. Tetapi apabila dipasangkan ayat-ayat suci al-quran terasa indah dan damainya dunia ini. Bacaan Al-Quran sentiasa hidup di telingaku. Namun al-quran itu masih belum hidup dalam hatiku sepenuhnya. Mengapa aku katakan begitu? Jawapannya mudah sahaja, ini kerana iman aku masih lemah dalam mempraktikkan apa yang dituntut dalam Al-Quran. Contoh yang mudah adalah menyeru manusia kepada Maaruf dan melarang manusia melakukan mungkar. Lihatlah dalam konteks kehidupan sebagai seorang pelajar, aku gagal dalam mentarbiyah sahabat-sahabatku yang ada di sekeliling aku. Aku hanya mampu menegur dengan hati kecilku. Bukankah ini yang nabi katakan bahawa selemah-lemah iman adalah ia mengeur dengan hatinya. Namun aku masih bersyukur kerana masih dititipkan iman ke dalam hatiku berbanding mereka yang Allah telah bolak-balikkan kehidupan mereka.


Pagi ini juga aku menerima sms dari naqib usrahku untuk membantunya jika anak-anak usrahnya ada kelapangan masa dan ruang. Namun aku tidak mampu untuk membantunya ekoran pelbagai kerja yang telah tersusun padat untuk disiapkan. Pada Naqib usrahku, aku memohon maaf andai aku tidak dapat membantumu pada hari itu. Bukan hati ini sengaja tidak mahu untuk membantu, tetapi kekangan masa dan ruang menyebabkan aku tidak mampu untuk menambah beban untuk digalas. Namun, aku berterima kasih kepada sahabat-sahabat usrahku yang lain yang membantu naqib usrahku untuk menyelesaikan kerjanya. Di saat matahari merembang menerjah di atas kepala, aku sudah tidak mampu untuk menahan rasa mengantuk yang telah mencengkam jiwa ini.


Akhirnya aku rebah di atas katil pada jam 12.30 tengahari. Sebaik saja aku rebahkan badanku di atas katil, masih ada insan yang datang berjumpa dengan aku. Aku hanya mampu memekakkan telinga dan memejamkan mata sahaja. Ya Allah kau ampunkanlah dosa hambamu ini jika aku berdosa kerana tidak menolong mereka. Sesunguhnya aku adalah insan yang lemah. Aku terjaga semula pada pukul 1.30 tengahari. Masih ada insan yang masih ingin berjumpa denganku. Aku gagahi juga memenuhi permintaan mereka sehinggalah pukul 3 petang. Saat selesai segala urusan, barulah aku boleh menunaikan solat zohor. Aku menangis dalam rintihan doa, memohon dipermudahkan urusan untuk hari-hari mendatang. Hanya kepadamu sajalah Allah aku memohon dan kepadamu jualah aku sembah. Sekali lagi aku terpaksa untuk memberitahu rakan-rakan usrahku bahawa aku terpaksa pergi lewat ke Tanjung Chap Beach Resort. Sekali lagi aku terpaksa memohon maaf kerana tidak dapat pergi bersama dengan kalian semua. Sesungguhnya aku bukan melarikan diri daripada tanggungjawab tetapi masih ada tugas yang terpaksa untuk diselesaikan di Kampus ini. Pukul 4 petang aku bergegas untuk menemui Ketua Jabatan R&D. Aku memohon maaf padanya kerana tidak dapat berbual panjang. Aku segera bergegas ke bilik dan menyiapkan perkakas untuk dibawa ke Bachok. Aku tinggalkan bilik dan roommateku dengan penuh kesyahduan. Entah kami akan bersua lagi atau tidak pada masa akan datang. Hanya takdir akan menentukan segala-galanya.


Tepat jam 5.45 petang aku, afiq dan ubai sampai di bachok. Sementara menunggu peserta kursus datang, kami sempat menikmati hidangan minum petang yang disediakan bersama. Terasa indah dan tenangnya hati ini apabila dapat duduk bersama kalian. Walaupun singkat, tetapi ia memberi kesan yang cukup mendalam kepada diriku ini. Aku beruntung kerana aku dikurniakan sahabat-sahabat yang sentiasa mengingatkan aku ke arah kebaikan dan kebenaran. Walaupun aku adalah insan yang tua sedikit dari mereka, namun adik-adikku ini bukan lah calang-calang orangnya dalam ilmu dan amal. Mereka sentiasa berusaha meningkatkan kematangan hidup mereka dengan menimba pengalaman yang berguna. Wahai adik-adikku janganlah engkau lupa bahawa dalam mengejar fitrah dan fikrah islam ini, kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya Allah sajalah yang dapat membantu kita semua.


Sebelum peserta kursus sampai aku mendapat SMS dari sahabatku bahawa hanya separuh daripada 86 orang pelajar saja yang datang. Hatiku diruntun dengan emosi yang penuh dengan kekecewaan. Tidak dapat aku bayangkan program sebegini yang semata-mata untuk mengajak mereka kembali semula kepada fitrah ditolak oleh sesetengah pelajar. Aku menerimanya dengan rasa mereka semua adalah manusia biasa. Bisa melakukan kesalahan jua. Sedangkan mereka tidak tahu bahawa program ini bukan sengaja direka, tetapi Puan Pengarah telah meminta kami untuk melakukannnya demi kemaslahatan bersama.


Peserta sampai agak lewat. Sekitar jam 7 petang. Sebaik sampai kami melakukan pendaftaran dan menunaikan solat maghrib berjemaah. Selesai solat para peserta dan fasilitator menjamah hidangan makan malam yang telah disediakan. Selesai semuanya, sesudah solat isyak semua peserta diminta berkumpul didalam dewan untuk taklimat bersama Ketua Fasilitator. Sesi pertama malam ini adalah ice breaking. Banyak dapat aku belajar dari sesi ice breaking ini. Banyak kelainan yang ada. Aku juga mencuba sesi ini bersama dengan sahabat usrahku saudara afiq. Aku sudah tidak mampu untuk menahan air mata dari terus membasahi pipi ini. Kami semua saling diminta untuk mengungkapkan perasaan yang tersembunyi di dalam hati ini. Aku terkedu dan kagum dengan kemampuan Afiq. Beliau mampu membaca perasaan aku dan masalah yang membelit dalam diriku ini. Subhanallah, begitu kuat sekali ikatan ukhwah yang terjalin ini sehingga seorang sahabat mampu menterjemahkan perasaan sahabatnya yang lain. Indahnya ukhwah, apabila tiada rasa curiga dan bersangka buruk sesama kita. Selesai saja slot ice breaking, kami semua menikmati hidangan ringan di waktu malam. Aku dan sahabatku Afiq dan Ubai tidur di chalet manakala yang lain tidur didalam dewan. Sebelum tidur aku sempat berbual mesra dengan adikku ubai. Kami saling berkongsi pandangan bertukar pendapat dan berkongsi bahan yang ada. Alhamdulillah aku berasa sungguh seronok sekali apabila masih ada insan yang ingin berbual denganku pada malam itu. Lebih kurang jam 1 pagi aku terus melabuhkan badanku untuk menikmati nikmat tidur. Pukul 5 pagi aku terjaga apabila sahabat usrahku mengejutkan aku daripada tidur. Kami bergegas bersiap untuk solat tahajud dan subuh berjemaah. Pagi itu, pagi jumaat yang sungguh menenangkan. Solat subuh pada pagi jumaat itu diimamkan oleh saudara Adhwan yang juga merupakan peserta kursus kem ini.

Selesai semuanya, kami menikmati hidangan sarapan pagi dan bersiap untuk menghadapi sesi seterusnya iaitu riben kehidupan. Aktiviti ini pada mulanya aku anggap biasa sahaja. Namun jangkaan aku meleset. Bukan sahaja ianya Berjaya menarik emosi peserta tetapi para fasilitator juga kelihatan teresak-esak menangis. Alangkah murninya slot ini. Mengingatkan kita kepada kehiduapan lampau agar tidak terus terumbang pada kehidupan akan datang. Masya-Allah. Tabarakka-Allah. Sahabatku Nazirul Izzat yang sepatutnya menjadi jurukamera kelihatan tidak mampu untuk menahan air mata sehingga terpaksa duduk sendirian di belakang dewan. Walaupun aku juga tidak mampu mengawal emosi ini dari terus menangis, aku menggagahi juga diriku ini untuk mengambil alih tempatnya sebagai jurukamera. Sungguh sedih dan syahdu terasa. Betapa slot ini Berjaya mengeggarkan hati-hati peserta kursus ini. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang menyertainya sahaja akan mengerti betapa pentingnya kursus ini kepada mereka. Tahniah saya ucapkan kepada pesert-peserta yang datang. Ketahuilah sahabat-sahabatku yang tidak datang bahawa kalian amat rugi sekali. Kalian rugi kerana kalian tidak dapat menikmati keindahan bersama rakan-rakan seperjuangan. Sungguh tidak dapat dikatakan bahawa dengan menyertai berpuluh-puluh program motivasi dan jati diri, ianya masih tetap tidak sama dengan program yang kami jalankan ini. Bayangkanlah sahabat kalian yang begitu keras hatinya, boleh meniitiskan airmata di dalam slot ini. Alangkah ruginya kalian yang tidak menyertai kem ini. Moga masih ada sinar harapan untuk kalian mendapatkan pengajaran dalam program seperti ini pada masa akan datang. Selesai slot riben kehidupan kami semua bergegas untuk menunaikan solat jumaat. Selesai solat jumaat kami tertumpu pada satu slot lagi iaitu membina jati diri sebagai seorang muslim yang mukmin dan muslimah yang mukminah.


Slot berakhir pada pukul 4.30 petang dan semua peserta menunaikan solat zohor berjemaah. Sepatutnya pada petang ini aku perlu melibatkan diri untuk bersama dengan fasilitator yang lain untuk membuat sedikit muhasabah dan penggambaran sebagai kenangan. Namun, aku terpaksa menolaknya sekali lagi, lantaran aku masih punya kerja untuk disiapkan. Maafkan aku wahai sahabatku. Kepada Ubai, Rauhan, Qudus, Ghafar, Izzat, dan Hafiz maafkan sahabatmu ini kerana tidak turut serta dalam slot pada petang itu. Selesai solat aku dan sahabatku Afiq bergegas pulang ke Kampus untuk aku menyelesaikan sedikit urusan yang tertangguh semalam. Dalam Kereta Kelisa itu aku sempat meluahkan perasaan dan pandangan aku terhadap program ini. Sampai di Kolej kediaman aku terus mengemaskan bilik aku yang bersepah itu sepantas yang mungkin. Sempat juga aku berbual dengan seorang peserta kursus yang tidak hadir. Aku dapat melihat bahawa dirinya terasa kosong. Aku hanya mampu untuk berdoa moga Allah membuka pintu kebaikan buat dirinya.


Tepat jam 8 malam kami bergerak untuk pulang ke Bachok. Kami sampai agak lewat, ekoran banyak singgah di merata tempat. Sebaik sampai kami melihat slot malam itu iaitu Forum ‘ masih adakah cinta” telah berlangsung. Walaupun tertinggal sedikit, namun aku masih bersyukur kerana masih diberikan ruang untuk mengikutinya. Ahli Panel pada malam itu adalah Dr Muhamad Sidek Said, En. Mat Zin b. Mat Nawi dan Prof Madya Dr. Habsah Hassan. Mereka bertiga cuba mengupas topik cinta di kalangan remaja. Kesimpulan yang dapat aku buat dari forum ini adalah bahawa kita akan berkahwin dengan jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah dan bukannya dengan pak we atau mak we kita yang mana hari ini kita sedang bercouple. Indahnya kejadian manusia apabila Allah telah menyusun setiap sesuatu itu dengan sempurna. Namun masih ada yang menongkah arus dalam meniti kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah. Selesai forum pada malam itu, aku bersama dengan sahabatku Izzat terus memulakan kerja kami yang seterusnya. Aku mengedit video lagu tema program ini iaitu Demi Matahari manakala sahabatku itu mengedit video Detik Kematian. Aku hanya mampu bertahan sehingga pukul 2 pagi. Itulah saja kudrat yang aku ada pada malam itu. Selesai solat subuh berjemaah aku terus mengedit video yang gagal disiapkan malam tadi. Alhamdulillah.... Alhamdulillah kerja aku bertambah mudah dengan adanya sahabat-sahabat yang sentiasa menemani aku di saat aku memerlukan bantuan. Slot terakhir sebelum ucapan peserta adalah slot persembahan daripada peserta kursus. Slot ini sungguh mencuit hati peserta dan fasilitator. Pelabagai ragam manusia diterjemahkandalam bentuk lakonan. Dalam hatiku, terdetik bahawa kursus ini membuahkan hasilnya.


Selesai slot persembahan, kami bersedia untuk majlis penutup. Kehadiran puan pengarah yang juga merupakan penggerak utama dalam program ini membangkitkan lagi semangat kami. Sesungguhnya perasaan kasih sayangnya ibarat kasihnya seorang ibu kepada anak-anaknya. Alhamdulillah, Puan Pengarah telah berjanji untuk meneruskan program ini pada masa akan datang kepada semua lapisan kumpulan yang ada di Kampus. Alhamdulillah…. Moga allah memberkati usaha murni ini. Selesai sahaja upacara penutupan, bermulalah saat yang meruntun jiwaku sekali lagi. Entah mengapa air mataku berasakan begitu murah untuk ditangisi. Kami saling bersalaman dan berpelukan. Air mata ku sudah tidak mampu untuk dihentikan. Bertambah terasa sayunya hati ini apabila berpelukan dengan rakan-rakan peserta, naqib usrahku dan rakan-rakan usrahku. Terasa sungguh indah pertemuan selama 2 hari ini. Terasa dalam diriku ini, aku tidak mengimpikan perpisahan yang terjadi. Kalau boleh biarlah kami sentiasa bersama setiap masa dan waktu. Namun yang kekal hanyalah zat Allah. Antara yang menyentuh perasaanku ialah apabila ada seorang daripada sahabatku yang mengungkapkan kata-kata “Abang Fazli, saya tak ada abang, saya anggap abang fazlilah abang saya”. Berderai air mata ini apabila mendengar kata-kata ini. Selain itu, aku juga dapat menyaksikan sahabatku Qudus yang mana dia bersalaman dengan semua orang, tetapi sebaik sahaja dia berpelukan dengan naqibnya aku melihat dia menangis dengan begitu keras sekali. Oh… Ya Allah…. Jika pertemuan yang menjadi perpisahan ini, biarlah perpisahan kami yang sementara ini sentiasa dalam rahmatmu. Sekian sahaja coretan ku untuk kali ini. Insya-Allah dalam masa terdekat ini aku akan nukilkan pula perjalanan ku dari Tanjung Chap Beach Resort menuju ke Kedah Darul Aman.

Testimoni SMS yang saya terima daripada peserta kursus

SMS 1
Alhamdulillah! Banyak yang saya dapat…. Jujurnya pada mulanya hampir-hampir tak nak pergi sebab tak dapat tahu program ape… tapi fikir-fikir balik baik pergi lagipun masa tu dah bersiap. Kursus itu amat berlainan… sebab ia sentuh hati dan jiwa, saya rasa x pernah ada couple…. Jadi selalu rasa sedih dan sunyi tapi bila gi kursus tue rasa paling beruntung sebab Allah masih lindungi saya dari semua perangkap duniawi. Kalau boleh kursus tu diteruskan! Ia sangat-sangat penting!... Banykkan lagi slot-slot yang menarik… alunan al-quran, zikir nasyid, ia memang berkesan untuk melembutkan hati.

SMS 2
Sungguh berkesan dan mantap. Satu pembaharuan dan kelainan yang menarik dan perlu diteruskan. Penegasan pada masa je perlu ditingkatkan. Sungguh menarik, hebat, menyentuh emosi dan tinggalkan kenangan yang mendalam. Kesedaran di hati setiap peserta, satu kelainan yang perlu diteruskan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

SMS 3
Ntahlah fazli… masa kat program tue rasa insaf sangat. Tapi bila ada kat rumah terasa jahil balik. Rasa nak ikut je program tue. Tak nak buat benda lain dah…

SMS 4 Kem tue betul-betul best. Masa peluk kawan saya, saya sebak sangat. Dia kata dia sayang saya. Ish…. Memang sedih… Tak tahan… Lpas tue… Peluk awak. Saya rasa benda yang sama. Aktiviti riben tu, betul-betul sedarkan saya. Selama ini tak pernah bilang, tak pernah Nampak jangka hayat saya…. Tetapi malam itu dengan tiba-tiba dapat tengok… dapat nilai sendiri… Ya Allah… saya rasa jahil sangat….

0 ulasan:

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP