Ahad, 22 Disember 2013

:: Santai di Malam hari ::

Santai di Malam Hari


Kadang-kadang aku cemburu dengan manusia yang biasa-biasa saja tetapi jiwa mereka sentiasa tenang tanpa bergelut dengan kefanaan dunia, sedangkan kita yang mungkin mempunyai sedikit kelebihan dikurniakan ALLAH SWT terkejar-kejar mencari dunia yang tidak pasti…..

Pernahkah kita bertanya???

Kenapa ada yang dapat hidup bahagia walaupun hidup dalam kemisikinan namun anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya malah ketenangan terpancar pada wajah mereka?
Kenapa pula ada yang hidup dalam keadaan mewah dan berprestij namun berada dalam keadaan yang sedih dan tertekan serta anak-anak mereka dianggap sampah masyarakat?

Kenapa ada pasangan suami isteri dapat hidup bahagia hingga ke akhir hayat mereka?
Kenapa ada pasangan yang baru berkahwin tidak sampai setahun, sudah bergaduh sehingga bercerai-berai?

Kenapa ada yang kehidupannya susah, tetapi sentiasa gembira?
Kenapa ada yang sakit, tetapi sentiasa bersyukur pada ALLAH SWT?
Kenapa ada yang sudah muflis, tetapi masih bersemangat berjuang?

Jawapannya…..
Semua ini berpunca daripada cara kita mentafsir (persepsi minda) setiap kejadian atau masalah yang melanda kita…….

Kesimpulannya….
Life is beautiful (Hidup ini indah)
Appreciate it (Hargai kehidupan anda)
Love it ( Cintai kehidupan anda)
Enjoy it (Nikmatilah kehidupan anda)

Selamat malam…. Semoga kita beroleh kerahmatan dan keredaannya sepanjang hidup kita…..

Read more...

Isnin, 16 Disember 2013

:: Dunia yang Mempersonakan sang Pemujanya ..... ::

Coretan ini telah lama ditinta oleh kalam, namun belum sempat disunting dari segi stuktur ayat dan kefahaman. Coretan kali ini agak panjang. Namun bersabarlah membacanya untuk memahami. Sebelum itu, aku memohon seribu kemaafan jika terdapat fakta atau hujah yang tersilap dalam penyampaian kali ini. Manusia kerdil dan lemah seperti aku seringkali melakukan kesalahan. 

Nukilan kali ini adalah manifestasi kesinambungan coretan yang lalu. Dalam coretan yang lalu aku telah titipkan satu ungkapan iaitu “Manusia sering kali berada di dalam 2 keadaan saja, walaupun di bawah 2 keadaaan itu masih terdapat banyak jalan yang masih boleh ditempuhi”. Ya.. dalam kita meniti kehidupan seharian adakalanya kita bersedih. Sedih adalah sifat manusia, sediah adalah sifat semulajadi manusia yang diciptakan Allah SWT, mustahil ada manusia tidak pernah bersedih. Sedih, suka, duka , bahagia dan derita adalah merupakan Sunnatullah dalam kehidupan ini. Bukankah Allah SWT telah menciptakan tiap sesuatu itu secara berpasang-pasangan. Sedih lawannya adalah gembira atau sedih pasangannya adalah gembira. Derita pasangannya adalah suka dan bahagia. Maka, adakalanya kita merasa sedih dan itu adalah sifat semulajadi manusia. Namun yang paling utama adalah bagaimana kita mengatasi kesedihan. Bagaimana untuk tidak menjadikan sedih itu suatu perasaan yang boleh mengikat diri kita, membelengu diri kita, sehingga kita menjadi hamba kepada perasaan. Sehingga manusia yang hilang pertimbangan dan sebagainya. Sedih, tidak akan membawa kita kepada kehancuran. Bagaimana untuk kita menjadikan sedih, untuk menghampirkan diri kita kepada Allah. Kekadang allah menyempitkan supaya kita tidak hanyut dalam kesenangan. Kekadang dia melapangkan supaya kita tidak selalu dipagut kesempitan. Kekadang dia melepaskan kita daripada kedua-duanya supaya kita tidak bergantung kepada sesuatu selain-Nya.

Hidup ini adalah satu siri pelajaran yang panjang dan berterusan. Allah mendidik kita dalam setiap apa yang berlaku dalam hidup ini. Tujuannya? Untuk menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik. Berbalik kepada kehidupan dunia kita, belajarlah untuk bersyukur dan menggunakan nikmat yang diberikan Allah dengan sebaik-baiknya. Penah aku titipkan kepada mereka yang rajin bertanya. Bagaimanakah caranya untuk kita menikmati kelazatan dunia tanpa meminggirkan kehidupan akhirat yang bakal menjelma. Aku tidak mempunyai jawapan yang tepat. Namun, aku hanya boleh membuat analogi ringkas saja. Kita sebagai manusia bekerja keras membanting tulang untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup sedangkan masih ramai lagi manusia diluar sana yang terhimpit dengan luasnya pancaroba dunia. Rezeki hasil titik peluh kita kebiasaannya dibayar dalam bentuk wang. Di mana wang itulah menjadi salah satu instrumen untuk kita membeli barang. Mudahnya. wang yang telah kita miliki itu belum tentu akhirnya akan menjadi hak kita. Mungkin ketika mana kita sedang memiliki wang sebanyak RM100, Allah mentakdirkan kita untuk sakit, maka sebahagian wang itu mungkin akan menjadi milik doktor yang merawat kita. Andai kata, kita sihat kita membeli makanan untuk dihadamkan, belum tentu ianya menjadi satu nikmat kepada tubuh badan kita. Mengapa??? Kerana ada orang yang dapat menikmati makanan itu, tetapi mendapat penyakit daripada apa yang dimakan dan jika apa yang dimakan tidak mendatangkan masalah kepada kita barulah ianya menajdi nikmat kepada tubuh badan kita.

Persoalan yang seringkali aku ditanya di penghujung tahun, tentang cara bagaimanakah untuk menjadikan rezeki kita berkat. Ya…. Aku bukanlah cerdik pandai yang mampu menjawab 1001 persoalan dengan tepat. Tapi, aku gagahkan diri juga untuk mencari jawapan dari pakar dalam bidangnya. Salah satu cara untuk kita memperolehi keberkatan kepada rezeki kita adalah dengan mengeluarkan zakat. Allah SWT berfirman didalam surah At-Taubah ayat 103 bermaksud

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Aku mengimbau kenangan silam belajar ilmu faraid dengan seorang tokoh agama di Negeri Kedah. Mungkin nama beliau kurang popular, tetapi mempunyai ilmu yang banyak. Orangnya penuh tawaduk, mahir dalam bidang al-quran, bahasa arab dan usul fikh. Beliau ialah Sheikh Ahmad bin Salleh, merupakan bekas Kadi Daerah Pendang dan Baling dan jawatan terakhir beliau sebelum bersara adalah di salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Negeri Kedah. Dalam menghuraikan bab faraid ini secara kita tidak sedar sebelum pembahagian harta pusaka kita mestilah menyelesaikan hak-hak dan kewajipan kepada peninggalan si mati. Salah satunya adalah hutang si mati dengan tuannya iaitu Allah SWT. Apa dia yang dikatakan hutang dengan Allah? Salah satunya ialah zakat. Masih ada lagi diantara kita yang kabur atau kurang jelas untuk memahami tentang kewajipan berzakat. Kenapa aku berkata demikian, kerana manusia hari ini bimbang mengeluarkan sedikit nikmat yang diperolehi bakal menyebabkan rezeki yang dimilik menyusut.

Pernah satu ketika semasa aku ingin mengeluarkan zakat pendapatan, aku memprovokasi pegawai zakat yang bertugas. Aku bertanyakan tentang kewajipan berzakat. Bukankah zakat dari segi bahasa bermaksud lebihan harta? Contohnya, jika pendapatan aku sebulan RM2000, saya akan membelanjakan kesemua RM2000 untuk bayar kereta, rumah, nafkah kepada anak dan isteri, pemberian kepada ibu bapa, perlukah juga saya membayar zakat, sedangkan saya tidak memiliki lebihan harta? Terdiam sebentar perbualan kami . Maka pegawai zakat itu dengan tenang berkata, Ya benar, zakat dari segi bahasa bermaksud lebihan harta, namun kefarduan tentang kewajipan membayar zakat telah disebut oleh Allah SWT di dalam al-quran dan hadis nabi. Saidina Abu bakar dan para sahabat berikirar untuk memerangi orang yang tidak membayar zakat. Dengan lembut dan sabar aku mendegar hujah beliau. Sambungnya lagi, saudara, saya ingin memberitahu saudara, jika saudara mengatakan dengan membayar zakat pendapatan ini seolah-olah Allah menzalimi saudara, saudara patut bersyukur kerana saudara hanya dizalimi sebanyak 2.5% saja berbanding dengan para petani seperti pesawah yang dikenakan zakat sebanyak 10% atau 1 per 10 dari hasil tanaman. Kalau lah seorang pesawah memperolehi hasil sebanyak RM 20 000 semusim menuai, maka zaktnya adalah 1 per 10 daripada RM 20 000 sebanyak RM 2000. Bayangkan jika saudara bekerja dan hasil pendapatan keseluruhan saudara sebanyak RM 20 000 setahun, maka saudara hanya dikenakan zakat sebanyak RM 500 saja iaitu 2.5%. Aku hanya mampu tersenyum. Aku bersetuju dengan hujah beliau. Fahamlah Allah tidak pernah menzalimi manusia, bahkan Manusia itu sendirilah yang menzalimi dirinya. Manusia dijadikan dalam keadaan sempurna, namun seringkali melakukan perbuatan yang tidak sempurna.

Sebab itu, Sheikh Ahmad bin Salleh dalam kuliah pengajiannya juga mengatakan orang zaman dahulu apabila membuat sesuatu pekerjaan, mereka akan mengutamakan zakat sebelum hasilnya dimakan oleh anak isteri. Orang dahulu, selepas musim menuai berjumpa dengan tok-tok guru bagi tujuan menyukat zakat dan mengeluarkan terus zakat. Malah katanya, ramai orang dulu bayar zakat lebih, habuan kepada padi yang masak tetapi jatuh ditiup angin. Tidak hairanlah orang dahulu mampu menyara anak-anak sehingga berjaya ke menara gading. Berkat hasil yang diperolehi.

Pembayaran zakat pada masa kini telah banyak dipemudahkan oleh Jabatan zakat negeri masing-masing. Kalau mengikut Imam Syafie zakat mestilah diberikan dalam bentuk yang diperolehi. Contohnya, jika kita menanam padi, maka kita mesti membayar zakat menggunakan padi juga. Maka jawatankuasa fatwa telah mengambil ijtihad dari Imam Hanafi bahawa zakat boleh dibayar menggunakan wang. Tetapi manusia hari ini telah melupai kewajipan untuk mengeluarkan zakat. Tidak hairanlah pelbagai bala, masalah dugaan dan musibah menimpa manusia pada hari ini. Sebab itu dalam kitab lama dalam bab zakat ini, ulama membuat satu kiasan bahawa jika sesuatu negeri itu tidak ada orang miskin yang boleh menerima zakat, maka zakat wajib juga dibayar. Ulama zaman dahulu juga mmberi peringatan seperti ini. Sebagai contoh iaitu jika kita memperolehi hasil padi sebanyak RM 10 000 maka zakatnya adalah RM 1 000, maka jika kita tidak membayar zakat sebanyak RM 1000 maka ianya menjadi haram keseluruhan harta kita kerana bercampur antara yang hak dan batil. Sebab itu orang yang membayar zakat akan memperolehi ketenangan dalam hidup, diberkati rezeki mereka. Zakat adalah penyubur harta seperti mana baja yang menyuburkan tanaman.

Sedarlah, Nilai diri kita bukanlah terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki. Jika nilai kita adalah barang-barang yang bernilai itu, siapakah diri kita jika ditakdirkan barang-barang itu hilang. Nilaian kita di sisi Allah ialah takwa. Nilaian kita di sisi manusia adalah akhlak. Apa yang diberikan oleh Allah sebenarnya adalah lebih banyak daripada apa yang inginkan. Di saat kita takut ketika memberi, kita terlupa sesuatu yang diberikan itu adalah pemberian daripada-Nya.

Berzakatlah, kerana zakat itu membawa berkat. Niatkan dengan niat yang utama semasa membayar zakat bahawa aku mengeluarkan zakat ini kerana kewajipan dan kefarduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hambanya yang memiliki harta sebagai tanda bersyukur dan menyucikan harta. Jangan diniatkan membayar zakat kerana ingin terlepas dari membayar cukai pendapatan.


:: Sedikit yang mengingatkan lebih baik dari banyak yang melalaikan ::



Read more...

Isnin, 11 November 2013

:: Sesekali kita mengimbas kenangan lalu ....... :::

Menempuhi liku-liku kehidupan yang semakin mencabar membuatkan kita kadang-kadang terfikir Uniknya aturan kehidupan yang telah diatur oleh Allah, tuhan yang telah menciptakan manusia dengan sebaik-baiknya. Manusia sering kali berada di dalam 2 keadaan saja, walaupun di bawah 2 keadaaan itu masih terdapat banyak jalan yang masih boleh ditempuhi... minggu ini merupakan minggu terakhir persekolahan, minggu yang bakal menutup tirai bagi sessi 2013 juga minggu yang agak kritikal bukan saja bagi aku tetapi bolehlah dikatakan bagi semua pendidik... pelbagai kenangan sama ada pahit atau manis, duka atau suka dan sebagainya telah dilalui. Semua itu bakal menjadi bekal bagi meneruskan kehidupan di dunia yang fana.

Bermula dari tahun 2010 semasa awal aku memulakan pekerjaan, rutin berulangku dari bumi sumpahan mahsuri ke tanah besar boleh dikatakan hanya sebulan sekali... setelah 2-3 tahun ianya meningkat kepada seminggu sekali... dan pada minggu yang terkahir ini rutinnya menjadi rutin berulang dua hari sekali... semuanya demi tugas yang telah diamanahkan. Petang ahad keluar, petang isnin masuk, petang selasa keluar, petang rabu masuk... Kadang-kadang bila diluahkan aktiviti padat seperti ini pada orang lain hanya ungkapan ini saja yang selalu aku dengar “Aku yang dengar pun letih, macam mana lah kau hadapi semuanya ini. Namun di sebalik semuanya itu, ia sebenarnya satu proses dalam mematangkan kehidupan manusia itu sendiri. Menyelusuri perjalanan berulang ini tidak dapat dinafikan fizikal dan mental perlulah kuat untuk menghadapi itu semua. Namun, anugerah Allah SWT dalam memberikan aku ketenangan di sebalik kelelahan yang dihadapi sungguh mengagumkan. Seawal pagi sesudah subuh, sehening titisan embun pagi yang masih segar di atas daun sambil sang burung berkicau riang menantikan fajar yang sedang terbit, aku telah bertolak dari Alor Setar ke tempat bertugas.

Pulang saja dari menjalankan tanggungjawab, aku mencari damai di bumi bertuah ini. Menyusur jalan menempuh hamparan sawah padi yang terbentang luas di kiri dan kanan jalan. Merasakan betapa segarnya air mineral di Tanjung Jaga (kaki gunung jerai), sesegar embun pagi, sesejuk ais yang dibekukan. Memang dapat melupakan seketika jerih perih seharian bertugas. Dalam perjalanan yang panjang itu, menongkah arus membadai laluan kampung di sungai limau dan Kuala Sala bagi menikmati pula Nira nipah dan Air Tebu yang segar beserta Pisang Nipah yang digoreng panas. Mengingatkan aku kenangan bersama Dr. Ghazali Taib berkembara bersama menikmati keindahan alam semulajadi yang masih belum tercemar.

Harga bukan tandingan. Aku beruntung kerana dapat menikmati nira nipah segar pada harga hanya RM1.50 sebungkus. Rasanya susah benar untuk mendapatkan Nira Segar pada harga itu di tempat lain barangkali. Tetapi, kadang-kadang terfikir betapa susahnya seorang pengusaha untuk mendapatkan nira nipah. Perlu berjalan di tengah laluan muara sungai, memangkas batang bagi mendapatkan nira. Pernah sekali semasa berkembara bersama Dr. Ghazali, aku yang menjadi pemandunya disuruh berhenti di gerai atau warung kecil bagi beliau membeli makanan atau minuman.

Pernah juga aku bertanya, “ Dr. Buat apalah beli banyak-banyak, kita hanya berdua saja.... siapalah yang akan habiskan makanan ini” apa jawapannya “Fazli, saya tak boleh melihat orang menjual terutamanya warga emas yang berniaga, kerana saya kesiankan meraka... terbayangkan wajah ibu dan ayah saya yang telah membesarkan saya sehingga berjaya di tahap sekarang dengan jerih perih mereka. Saya bukannya orang senang. Dari kesusahanlah saya bangkit mencari semangat untuk merubah hidup saya. Lagi pula saya kesian melihat bangsa kita yang masih banyak lagi bergelumang dengan kehidupan yang semakin menghimpit.” Aku hanya sekadar menganggukkan pernyataannya saja. Ada benar juga kata-katanya. Apapun ambillah iktibar dari kehidupan yang telah, sedang dan akan kita alami semoga ianya tidak menjadi sia-sia di alam selepas kita menghadap pencipta kita. – Bersambung -

Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP