:: Dunia yang Mempersonakan sang Pemujanya ..... ::
Coretan ini telah lama ditinta oleh kalam, namun belum sempat disunting dari segi stuktur ayat dan kefahaman. Coretan kali ini agak panjang. Namun bersabarlah membacanya untuk memahami. Sebelum itu, aku memohon seribu kemaafan jika terdapat fakta atau hujah yang tersilap dalam penyampaian kali ini. Manusia kerdil dan lemah seperti aku seringkali melakukan kesalahan.
Nukilan kali ini adalah manifestasi kesinambungan coretan yang lalu. Dalam coretan yang lalu aku telah titipkan satu ungkapan iaitu “Manusia sering kali berada di dalam 2 keadaan saja, walaupun di bawah 2 keadaaan itu masih terdapat banyak jalan yang masih boleh ditempuhi”. Ya.. dalam kita meniti kehidupan seharian adakalanya kita bersedih. Sedih adalah sifat manusia, sediah adalah sifat semulajadi manusia yang diciptakan Allah SWT, mustahil ada manusia tidak pernah bersedih. Sedih, suka, duka , bahagia dan derita adalah merupakan Sunnatullah dalam kehidupan ini. Bukankah Allah SWT telah menciptakan tiap sesuatu itu secara berpasang-pasangan. Sedih lawannya adalah gembira atau sedih pasangannya adalah gembira. Derita pasangannya adalah suka dan bahagia. Maka, adakalanya kita merasa sedih dan itu adalah sifat semulajadi manusia. Namun yang paling utama adalah bagaimana kita mengatasi kesedihan. Bagaimana untuk tidak menjadikan sedih itu suatu perasaan yang boleh mengikat diri kita, membelengu diri kita, sehingga kita menjadi hamba kepada perasaan. Sehingga manusia yang hilang pertimbangan dan sebagainya. Sedih, tidak akan membawa kita kepada kehancuran. Bagaimana untuk kita menjadikan sedih, untuk menghampirkan diri kita kepada Allah. Kekadang allah menyempitkan supaya kita tidak hanyut dalam kesenangan. Kekadang dia melapangkan supaya kita tidak selalu dipagut kesempitan. Kekadang dia melepaskan kita daripada kedua-duanya supaya kita tidak bergantung kepada sesuatu selain-Nya.
Hidup ini adalah satu siri pelajaran yang panjang dan berterusan. Allah mendidik kita dalam setiap apa yang berlaku dalam hidup ini. Tujuannya? Untuk menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik. Berbalik kepada kehidupan dunia kita, belajarlah untuk bersyukur dan menggunakan nikmat yang diberikan Allah dengan sebaik-baiknya. Penah aku titipkan kepada mereka yang rajin bertanya. Bagaimanakah caranya untuk kita menikmati kelazatan dunia tanpa meminggirkan kehidupan akhirat yang bakal menjelma. Aku tidak mempunyai jawapan yang tepat. Namun, aku hanya boleh membuat analogi ringkas saja. Kita sebagai manusia bekerja keras membanting tulang untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup sedangkan masih ramai lagi manusia diluar sana yang terhimpit dengan luasnya pancaroba dunia. Rezeki hasil titik peluh kita kebiasaannya dibayar dalam bentuk wang. Di mana wang itulah menjadi salah satu instrumen untuk kita membeli barang. Mudahnya. wang yang telah kita miliki itu belum tentu akhirnya akan menjadi hak kita. Mungkin ketika mana kita sedang memiliki wang sebanyak RM100, Allah mentakdirkan kita untuk sakit, maka sebahagian wang itu mungkin akan menjadi milik doktor yang merawat kita. Andai kata, kita sihat kita membeli makanan untuk dihadamkan, belum tentu ianya menjadi satu nikmat kepada tubuh badan kita. Mengapa??? Kerana ada orang yang dapat menikmati makanan itu, tetapi mendapat penyakit daripada apa yang dimakan dan jika apa yang dimakan tidak mendatangkan masalah kepada kita barulah ianya menajdi nikmat kepada tubuh badan kita.
Persoalan yang seringkali aku ditanya di penghujung tahun, tentang cara bagaimanakah untuk menjadikan rezeki kita berkat. Ya…. Aku bukanlah cerdik pandai yang mampu menjawab 1001 persoalan dengan tepat. Tapi, aku gagahkan diri juga untuk mencari jawapan dari pakar dalam bidangnya. Salah satu cara untuk kita memperolehi keberkatan kepada rezeki kita adalah dengan mengeluarkan zakat. Allah SWT berfirman didalam surah At-Taubah ayat 103 bermaksud
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Aku mengimbau kenangan silam belajar ilmu faraid dengan seorang tokoh agama di Negeri Kedah. Mungkin nama beliau kurang popular, tetapi mempunyai ilmu yang banyak. Orangnya penuh tawaduk, mahir dalam bidang al-quran, bahasa arab dan usul fikh. Beliau ialah Sheikh Ahmad bin Salleh, merupakan bekas Kadi Daerah Pendang dan Baling dan jawatan terakhir beliau sebelum bersara adalah di salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Negeri Kedah. Dalam menghuraikan bab faraid ini secara kita tidak sedar sebelum pembahagian harta pusaka kita mestilah menyelesaikan hak-hak dan kewajipan kepada peninggalan si mati. Salah satunya adalah hutang si mati dengan tuannya iaitu Allah SWT. Apa dia yang dikatakan hutang dengan Allah? Salah satunya ialah zakat. Masih ada lagi diantara kita yang kabur atau kurang jelas untuk memahami tentang kewajipan berzakat. Kenapa aku berkata demikian, kerana manusia hari ini bimbang mengeluarkan sedikit nikmat yang diperolehi bakal menyebabkan rezeki yang dimilik menyusut.
Pernah satu ketika semasa aku ingin mengeluarkan zakat pendapatan, aku memprovokasi pegawai zakat yang bertugas. Aku bertanyakan tentang kewajipan berzakat. Bukankah zakat dari segi bahasa bermaksud lebihan harta? Contohnya, jika pendapatan aku sebulan RM2000, saya akan membelanjakan kesemua RM2000 untuk bayar kereta, rumah, nafkah kepada anak dan isteri, pemberian kepada ibu bapa, perlukah juga saya membayar zakat, sedangkan saya tidak memiliki lebihan harta? Terdiam sebentar perbualan kami . Maka pegawai zakat itu dengan tenang berkata, Ya benar, zakat dari segi bahasa bermaksud lebihan harta, namun kefarduan tentang kewajipan membayar zakat telah disebut oleh Allah SWT di dalam al-quran dan hadis nabi. Saidina Abu bakar dan para sahabat berikirar untuk memerangi orang yang tidak membayar zakat. Dengan lembut dan sabar aku mendegar hujah beliau. Sambungnya lagi, saudara, saya ingin memberitahu saudara, jika saudara mengatakan dengan membayar zakat pendapatan ini seolah-olah Allah menzalimi saudara, saudara patut bersyukur kerana saudara hanya dizalimi sebanyak 2.5% saja berbanding dengan para petani seperti pesawah yang dikenakan zakat sebanyak 10% atau 1 per 10 dari hasil tanaman. Kalau lah seorang pesawah memperolehi hasil sebanyak RM 20 000 semusim menuai, maka zaktnya adalah 1 per 10 daripada RM 20 000 sebanyak RM 2000. Bayangkan jika saudara bekerja dan hasil pendapatan keseluruhan saudara sebanyak RM 20 000 setahun, maka saudara hanya dikenakan zakat sebanyak RM 500 saja iaitu 2.5%. Aku hanya mampu tersenyum. Aku bersetuju dengan hujah beliau. Fahamlah Allah tidak pernah menzalimi manusia, bahkan Manusia itu sendirilah yang menzalimi dirinya. Manusia dijadikan dalam keadaan sempurna, namun seringkali melakukan perbuatan yang tidak sempurna.
Sebab itu, Sheikh Ahmad bin Salleh dalam kuliah pengajiannya juga mengatakan orang zaman dahulu apabila membuat sesuatu pekerjaan, mereka akan mengutamakan zakat sebelum hasilnya dimakan oleh anak isteri. Orang dahulu, selepas musim menuai berjumpa dengan tok-tok guru bagi tujuan menyukat zakat dan mengeluarkan terus zakat. Malah katanya, ramai orang dulu bayar zakat lebih, habuan kepada padi yang masak tetapi jatuh ditiup angin. Tidak hairanlah orang dahulu mampu menyara anak-anak sehingga berjaya ke menara gading. Berkat hasil yang diperolehi.
Pembayaran zakat pada masa kini telah banyak dipemudahkan oleh Jabatan zakat negeri masing-masing. Kalau mengikut Imam Syafie zakat mestilah diberikan dalam bentuk yang diperolehi. Contohnya, jika kita menanam padi, maka kita mesti membayar zakat menggunakan padi juga. Maka jawatankuasa fatwa telah mengambil ijtihad dari Imam Hanafi bahawa zakat boleh dibayar menggunakan wang. Tetapi manusia hari ini telah melupai kewajipan untuk mengeluarkan zakat. Tidak hairanlah pelbagai bala, masalah dugaan dan musibah menimpa manusia pada hari ini. Sebab itu dalam kitab lama dalam bab zakat ini, ulama membuat satu kiasan bahawa jika sesuatu negeri itu tidak ada orang miskin yang boleh menerima zakat, maka zakat wajib juga dibayar. Ulama zaman dahulu juga mmberi peringatan seperti ini. Sebagai contoh iaitu jika kita memperolehi hasil padi sebanyak RM 10 000 maka zakatnya adalah RM 1 000, maka jika kita tidak membayar zakat sebanyak RM 1000 maka ianya menjadi haram keseluruhan harta kita kerana bercampur antara yang hak dan batil. Sebab itu orang yang membayar zakat akan memperolehi ketenangan dalam hidup, diberkati rezeki mereka. Zakat adalah penyubur harta seperti mana baja yang menyuburkan tanaman.
Sedarlah, Nilai diri kita bukanlah terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki. Jika nilai kita adalah barang-barang yang bernilai itu, siapakah diri kita jika ditakdirkan barang-barang itu hilang. Nilaian kita di sisi Allah ialah takwa. Nilaian kita di sisi manusia adalah akhlak. Apa yang diberikan oleh Allah sebenarnya adalah lebih banyak daripada apa yang inginkan. Di saat kita takut ketika memberi, kita terlupa sesuatu yang diberikan itu adalah pemberian daripada-Nya.
Berzakatlah, kerana zakat itu membawa berkat. Niatkan dengan niat yang utama semasa membayar zakat bahawa aku mengeluarkan zakat ini kerana kewajipan dan kefarduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hambanya yang memiliki harta sebagai tanda bersyukur dan menyucikan harta. Jangan diniatkan membayar zakat kerana ingin terlepas dari membayar cukai pendapatan.
:: Sedikit yang mengingatkan lebih baik dari banyak yang melalaikan ::
0 ulasan:
Catat Ulasan