Khamis, 19 November 2009

:: Coretan Perpisahan. Menangisi Kerinduan Pada Semua Insan Yang Pernah Bersama ::

Alhamdulillah...masih lagi diberi kesempatan oleh Allah S.W.T, dapat merasai nikmat-nikmat di dunia ini..Maaf kepada sahabat-sahabat dan para pengunjung di sini kerana lebih kurang 3 minggu jari jemari saya tidak digerakkan untuk melakar sesuatu di sini. Masa cukup mencemburui kita semua.

Alhamdulillah diri ini baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan, syukur semuanya berjalan dengan lancar, doakan saya berjaya di dalam ujian yang lain pula..maka selepas ini, saya akan mula mengorak langkah ke alam perguruan yang sebenar di sebuah sekolah yang masih samar lagi di manakah lokasinya..moga-moga Allah mempermudahkan semuanya untuk saya dan sahabat-sahabat lain...Insyaallah.

Coretan ini kutujukan kepada semua pelajar dan pensyarah yang pernah bersama dengan diri ini dari Julai 2004 sehingga November 2009. Rasanya tak mampu untuk diri ini menaip sebanyak mungkin nama yang ada, yang pernah berjasa padaku selama ini, yang banyak membantuku semasa kesusahan, berkongsi kisah suka dan duka. Pertemuan dan perpisahan adalah ketentuan Allah. Sedih juga apabila berpisah dengan sahabat-sahabat karib di sini, seterusnya bakal memulakan kerjaya sebagai pendidik. Ini semester terakhir kami bersama-sama dan telah pun berakhir. Mereka inilah sahabat, mereka inilah teman, mereka inilah pendengar yang setia, merekalah inilah sahabat saya di dunia dan akhirat. Di sinilah saya mengenali mereka.

Terasa baru semalam kami berkenalan. Masalah, suka dan duka dikongsi bersama, dugaan ditempuhi bersama dan cuba untuk mencari penyelesaian bersama-sama. InsyaAllah selagi nafas berdegup, saya tak akan melupakan mereka. Allah menemukan kami di sini, tempat sama-sama mencari ilmu untuk menjadi pendidik yang cemerlang yang bakal mendidik anak-anak bangsa..Senyuman dan ketawa sempena pertemuan akan berakhir dengan tangisan bagi mengakhiri perjumpaan kami tempoh hari.

SMS 1
Salam.. Abang Fazli… saya ucapkan terima kasih kerana selama ini banyak member erti untuk hidup dan agama. Tanpa abang Fazli susah untuk saya jadi imam dan pemimpin yang baik… selama ini jika ada sikap saya yg mengecewakan, saya minta maaf banyak kerana x mampu nak jadi mcm abang Fazli harapkan… segala jasa yang dicurahkan saya akan ingat sampai mata saya tertutup…

SMS 2
”Fazli, aku pohon maaf di atas segala kelemahan dan kekurangan sepanjang bersahabat. Terkadang mungkin aku pernah mengguris perasaanmu tanpa ku sedari. Kau telah banyak mengajarku erti hidup seorang mukmin, Cuma aku yg mungkin masih lemah melawan nafsuku. Aku terus bermujahadah agar dapat menjadi sepertimu. Kenangmu dalam doaku, kenangku dalam doamu”

SMS 3
”Kadang-kadang kita tak sedar ada orang yang mengasihi kita, ada orang yang sayangi kita, Tak bermakna sesutu yang tak terucap, tak mampu diucap atau tidak mahu diucap itu tak ada. Cuma caranya berbeza. Moga kita jumpa lagi eh. Salam maaf + kerinduan...”

Sebak hati dan perasaan saya tatkala membaca pesanan ringkas tersebut. Tidak dapat tergambar perasaan saya tatkala meembaca perkataan demi perkataan pesanan ringkas tersebut. Inilah beberapa mesej yang dihantar kepadaku dalam tempoh sebulan ini yang masih kusimpan dan kutitipkan buat kenangan kepada semua sahabat-sahabatku. Sungguh indah pertemuan itu. Begitu jugalah indahnya sebuah perpisahan.

Kita sering kali mengharapkan yang kita akan bersama, namun sudah menjadi kemestian setiap yang awal ada pengakhirannya. Jika kita tidak mahukan sebuah perpisahan berlaku jgnlah kita membungakan sebuah pertemuan.
Belumpun kita sempat menjalinkan hubungan akrab, hanya sekadar bertegur sapa, hanya menyambut salam seusai solat.. hanya membalas senyum dari jauh.. Belum sempat untuk aku menggali hati budimu wahai sahabatku.. belum sempat kita bertampar mesra meluah rasa.. Belum sempat aku menumpah kasih menebar sayang padamu sahabat..

Ya Allah betapa bersalahnya aku membiarkan seorang adik.. teman.. sahabat.. terbiar membawa rasa hati.. menyendiri.. kamarmu jarang sekali aku singgahi.. menabur bicara senda tanda cinta ukhuwwah... Apalagi memanggil mesra untuk berjalan menuju medan juang..

Rasa berdosa kepadamu wahai sahabat.. Aku hanya pandai berbicara menyata kata yang kerap tidak dikota.. Maafkan wahai sahabat.. Ampunkan seorang hambamu ini yang berdosa pada Tuhannya.. berbahagialah dikau di jalan mujahadah berteman bidadari syurga.. berpayung di bawah Rahmat yang Esa... Semoga segala kenangan akan tersimpan kemas dalam ingatan kami. Saya berdoa semoga ikatan ukhwah yang dibina dengan hati yang ikhlas hanya kerana Allah akan berkekalan hingga ke akhirnya.. Untukmu Teman

Di sini kita pernah bertemu

Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ikatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan
Bersimpul padu


Kenangan bersamamu
Takkan ku lupa
Walau badai datang melanda
Walau bercerai jasad dan nyawa

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan

Munkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjinya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihnya
Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah derita hadirlah cahaya

Renung-renungkanlah....
:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::
Pohon yang berguna
19 November 2009
1 Zulhijah 1430H 6.59 Petang

Read more...

Isnin, 2 November 2009

:: Dalam Sepi Aku Menyapa ::

Hari ini izinkan aku bermadah
Menjadi bulan kepada purnama
Menjadi terik pada mentarinya
Setelah Kalam dizahir disanggah maksud
Biarlah Kalam tulisan menjadi pembelaan
Agar kita nampak benda yang nyata

Bukanlah layak untuk aku nukilkan
Kerana aku bukanlah orang yang menjadi asas
Tetapi perjuangannya ku sanjung tinggi
Ibarat daripada hidup menanggung malu
Biar mati di kandung tanah

Bila kalam tersalah bicara
Maka lautan kalam menjadi juara
Jika angin sudah tidak terasa kelembutannya
Maka tunggulah badai datang menimpa

Bila bertindak tidak berhikmah
Runtuhlah nilai yang sarat dengan falsafah
Apabila rasa mencengkam jiwa
Haluan nafsu menjadi penggoda

Dimanakah imanmu wahai rijal
Jika dikatakan ia sehebat pemimpin agung yang kau sanjung
Berjuang bukannya kerana setia
Tetapi kerana syariaat dari Allah SWT

Andai lidah bertikam rasa
Luhurkan hati untuk didamba
Moga ada ikatan kasih menyulam mesra
Baru bahagia kehidupan kita

Jika kita terlajak haluan
Bawalah berundur bahtera kasih
Ingat, berundur tak semestinya kalah
Mara tak semestinya kan menang

Ingatlah sahabatku
Andai taksub dan setia menjadi pegangan
Sandarkan balik kepada sunnah dan al-quran
Kata-kata Ulama yang muktabar menjadi ikutan
Agar tidak terumbang niat di hati
Ingin mengubah masyarakat yang sepi

Perihal alam dijadikan saksi
Andai nostalgia lama menggamit di hati
Bukankah indah kalam tuhan
“ Sesungguhnya kamu semua adalah bersaudara”
“ Jika datang kepada kamu membawa berita, maka siasatlah dulu kebenarannya”

Bukankah rasul pernah bersabda
Begini lebih kurang maksudnya

“ Tidaklah beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi Allah dan rasul melebihi dirinya”
“ Tidaklah beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya”

Nah, apa lagi yang dipinta
Apa lagi yang ingin di bawa bicara
Membawa aib yang belum tentu benar atau salah beritanya
Andai berasa bimbang, jangan gadaikan prinsip untuk berjuang
Andai diri rasa benar, bawalah bicara mohon dizahirkan
Kepada yang salah di dalam pertemuan

Alangkah murninya kita Saling faham-memahamkan
Seperti ulama-ulama dahulu
Biar berlawanan pendapat
Biar lidah bertingkah silat
Namun sentiasa menjadi tumpuan umat
Bukan sahaja dari kalangan musuh dan sahabat
Tetapi kekal sehingga riwayat tamat

Akhir kalam sebelum diriku kelam
Maafkan diri andai ada yang terluka
Membaca ia menyakitkan mata
Menyesakkan dada dengan nada
Mengenang ia membuatkan kita tertanya-tanya
Apakah gerangan yang ingin diri ini maksudkan
Mohon maaf darimu wahai sahabat
Mohon taubat darimu tuhan
Moga yang benar dapat diangkat
Moga yang salah terus bertaubat
Supaya hidup menjadi berkat

Renung-renungkanlah....


:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::


Pohon yang berguna


2 November 2009


15 Zulkaedah 1430H


6.15 Petang

Read more...

Selasa, 27 Oktober 2009

:: MONOLOG JIWA KU.... SETELAH BERJUMPA DENGAN SESEORANG SEBAIK SELESAI EXAM... YANG MEMBUATKAN AKU TERFIKIR TENTANG SESUATU ::

Assalamualaikum....Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T yang masih meneguhkan hati ini untuk berada di jalanNya, mengurniakan nikmat terbesar, iman dan Islam... selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W beserta para sahabat yang telah berjuang fisabilillah sehingga Islam yang kita cintai mengharum di seluruh dunia serta tidak lupa buat semua pejuang agama ALLAH di mana sahaja berada. Semoga berada dalam keredhaan Allah S.W.T.

MONOLOG JIWA KU.... SETELAH BERJUMPA DENGAN SESEORANG SEBAIK SELESAI EXAM... YANG MEMBUATKAN AKU TERFIKIR TENTANG SESUATU

Adakah ada hari esok untukku? Aku hanya mampu bermonolog dalam diriku...tak berani hendak luahkan kepada sesiapa. Hanya aku dan Allah yang mengetahui isi hatiku. Aku sering bertanya dalam diriku, cukup ke amal kebaikan untuk aku bawa menghadap Allah nanti? Dimanakah akan aku diletakkan? Syurga yang begitu indah tempatnya atau neraka jahanam??? Aku insan yang lemah lagi hina. Sering melakukan kesalahan. Kadang-kadang ada yang secara sengaja atau tak sengaja. Aku tidak begitu kuat untuk melawan nafsu dan godaan yang yang sering mengekoriku...Ya ALLAH bantulah aku dalam melawan nafsu dan godaan malah penyakit-penyakit hati yang sering menghantui diriku...Aku insan lemah. Tiada sesiapa yang dapat membantuku melainkan KAU Lagi Yang Maha Kuasai dan membolak-balikkan hati hambamu...Pimpinlah aku ke jalan yang KAU redhai... Jangan biarkan aku terus leka dan leka dengan dunia yang sementara. Amin... Itulah luahan seseorang kepada Allah yang tidak jemu mendengar luahan hati hambanya...Bergenang titis-titis air mata mengenangkan dosa-dosa yang selama ini dilakukan...Terimalah taubatku..

Pernah tak anda terfikir sekiranya HARI INI MERUPAKAN HARI TERAKHIR ANDA??? SUJUD TERAKHIR ANDA?Meninggalkan keluarga, kawan2 dan orang yang anda sayang???Bersediakah anda menghadap kepada Tuhan sekiranya anda dijemput oleh malaikat Maut?Jawapannya ADA DALAM DIRI ANDA!!! Bangkitlah wahai manusia....!!!JANGAN TIDUR LAGI!!! Banyakkanlah berdoa supaya kita sentiasa berada di jalan yang betul. Sesungguhnya peraturan yang ditetapkan oleh ALLAH ada hikmahnya. Sesuatu yang menimpa diri kita, SENANG, SUSAH, PUJIAN, KECANTIKAN, KECEMERLANGAN DALAM PEPERIKSAAN dan lain2, ada hikmah dan rahsia di sebalik apa yang berlaku. Cuma manusia sahaja yang tidak mengetahui. Sudahkah aku tinggalkan segala kekufuran dan kemaksiatan?

Masa ku?? Berapa banyak dihabiskan untuk membaca buku-buku yg ilmiah dan akademik? Atau adakah aku lebih banyak bersengkang mata untuk bermain facebook dan friendster?? Bersengkang mata juga untuk chatting dgn seseorang melalui YM?

Puasaku? Adakah hanya sekadar menahan lapar dan dahaga? Sama sahaja tahapnya macam yang lepas-lepas? puasa umum lagikah? atau dah meningkat ke tahap puasa khusus atau puasa khususil khusus? (tiga golongan orang yang berpuasa seperti yang dikategorikan oleh Imam Al-Ghazali)

Bagaimana pula dengan amalan sedekahku? Sedangkan apabila bersedekah, masih ada keberatan dalam hati, masih ada rasa su'udzon kepada sang penerima sedekah, walaupun sedikit, seperti setitik garam di lautan, masih kuhitung rezekiku, padahal rezekiku itu sememangnya milik Allah dari awal hingga akhirnya.

Bacaan Al Qur'an? Atau masa lebih banyak dihabiskan dengan majalah picisan yang berselerakan di almari? Kedekut sangatkah dengan kalimah alif, lam, mim sedangkan Rasulullah S.A.W telah menjelaskan dalam hadis baginda, yang mana satu huruf al-Quran bersamaan dengan 10 kebaikan...

Qiamullail? Hmm.. adakah telah ku dapatkan kekhusyukan itu? Mengapa mata ini masih berat untuk mengalirkan air mata penyesalan di pengakhiran sujud? Tetapi kenapakah mata ini terlampau ringan untuk dibukakan untuk benda lain???

Seruan ku?? Adakah aku pernah mengajak seseorang melakukan kebaikan?? Kalau sudah dan orang itu mengambil kebaikan yang disampaikan oleh kita, adakah kita akan terus istiqamah dalam perjuangan kita? Adakah kita akan meninggalkannya setelah kita berjaya mengajak orang lain ke arah kebaikan?? Muliakah kita dengan mengata dan merendahkan orang lain yang sama perjuangannya dengan kita, tetapi uslub yang digunakan tidak sama dengan uslub kita?? Tepuk dada tanyalah iman...

Cuma nya..ada satu jer pengalaman yang aku x dapat rasai sampai sekarang...cuba teka..??? kawan2 aku ada yang hanyut dalam pengalaman ini..pengalaman yang aku kira tidak akan aku capai sekiranya belum waktunya..pengalaman cinta..!!!Entah lah..aku pun masih x faham sampai sekarang bagaimana rasanya perasaan cinta pada seorang hawa..apa yang akan mereka dapat..??apa yang mereka mahu sebenarnya..??Kalau boleh mereka mahu sentiasa berada dalam pengalaman ini selamanya..Ya Allah, jauhilah aku daripada sebarang maksiat...Perlu ke aku cari pengalaman ini???...

Sesungguhnya ALLAH MAHA LUAS dan BIJAKSANA. Kita sebagai hamba memang layak diuji. Allah memberikan kita kesenangan, kecantikan, ketampanan, kehebatan yang luar biasa, itu semuanya ALLAH nak uji hambanya sama ada tahu bersyukur atau tak...Tapi manusia sering lupa. Hanya ketika susah atau ditimpa bala baru hendak mengadu dengan ALLAH... Tapi ALLAH tetap SETIA mendengar dan terus mendengar rintihan hamba-hambanya. Itulah CINTA dan KASIHnya ALLAH kepada hamba-hambanya.

Kita yang bakal bergelar GURU lagilah perlu banyak bersyukur. Elaun dapat, tempat tinggal selesa, kenderaan ada, nak pergi kuliah pun senang... tapi kita tak tau nak zahirkan syukur kita melalui perbuatan. Kenape ye? Marilah kita cuba untuk zahirkan kesyukuran. Marilah sama2 kita membentuk diri dalam menjadi GURU YANG MEMENTINGKAN DUNIA DAN AKHIRAT....supaya murid-murid yang bersahsiah baik dan cemerlang dari segi agama, mental, fizikal dan rohani dapat dibentuk.

Tanamkan niat dalam hati SAYA MAHU BERUBAH!!!tp ingat ke arah yang lebih baik...FIKIR-FIKIRLAH ANDAI TIADA HARI ESOK UNTUK ANDA!!!Mesti anda tak tidur malam dan akan terus dan terus nak buat amal kebaikan...Itu sebab ada HIKMAH ALLAH merahsiakan tarikh kita meninggal dunia...KATAKAN "SAYA MAHU BERUBAH!!!

Hampir 40% dari coretan di atas diambil daripada beberapa blog2 sahabat-sahabat IPGM. Diambil kerana ada manfaatnya. Selamat membaca Renung-renungkanlah....

:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::
Pohon yang berguna
27 Oktober 2009
9 Zulkaedah 1430H
6.20 Petang

Read more...

Isnin, 12 Oktober 2009

:: BELANGSUNGKAWA : AL-FATIHAH UNTUK USTAZ NOH BIN IDRIS ::

“ (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

Surah Al-Baqarah : Ayat 156



“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.”

Surah Al-Imran: Ayat 185-186.



"Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun,”

"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang menghadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);”

Surah Asy-Syu`araa’ : Ayat 88-89



Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

Surah Al-Mulk : Ayat 2



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, segala puji itu hanya bagi Allah, tuhan sekalian alam, sebagai pujian yang mendatangkan segala nikmatnya dan mendapat balasan yang berlipat kali ganda darinya. Ya tuhan kami, bagi engkau segala puji-pujian yang selayak dengan kebesaran zat engkau dan juga kebesaran pemerintahan engkau, rahmat dan salam sejahtera ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w dan di atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.



Hari ini, 12 Oktober 2009 menjadi saksi kepada kemuncak kesedihan yang menyelubungi hati ini. Tatkala menantikan majlis perasmian Ulang tahun Ke-10 IPGM Kampus Sultan Mizan oleh YB Dr Hj Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, aku mendapat berita sedih dari sahabat dari IPGM Kampus Islam, Bangi tentang berita pemergian Ustaz Noh Bin Idris ke Rahmatullah (Meninggal lebih kurang 8.30 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah kerana Stroke). Terasa sebak meniti di hati, bagaikan luruh segala petala bumi, mengenang ustazku ini. Seorang yang banyak jasanya dalam perkembangan diriku ini. Melalui beliaulah aku banyak belajar tentang ilmu fikah dan ibadat, bahasa Arab, fikrah manusia dan cara pentarbiyahan manusia. Insya-Allah, jenazah beliau akan dikebumikan di Kampung parit panjang selepas Asar ini.



Untuk makluman pembaca, Ustaz Noh merupakan guru Bahasa Arab Tinggi ku dari Tingkatan 4 dan 5. Banyak jasa beliau telah kepadaku terutamanya dalam membolehkan aku menguasai Bahasa Arab dengan lancar. Walaupun, tidak dibayar gaji atau elaun lebih masa kerana mengajar aku bahasa Arab (Masa aku di tingkatan 4 dan 5, aku ambil subjek sains tulen, bahasa Arab adalah mata pelajaran tambahan yang aku ambil dan tidak dimasukkan dalam jadual waktu induk sekolah). Beliau sanggup bersengkang mata memandu ada waktu malam walaupun kadar penglihatannya merosot (beliau memakai cermin mata yang paling tinggi powernya), selain aktif dalam mengajar agama di beberapa buah masjid di negeri kedah. Beliau juga merupakan pakar rujuk bahasa Arab kepada ustaz-ustaz dan ustazah di sekitar daerah Kota Setar. Beliau juga aktif menyampaikan motivasi kepada sekolah-sekolah tentang kepentingan bahasa Arab kepada insan yang bergelar Muslim.



Seperti biasa, setiap kali cuti sekolah, kami bekas anak-anak muridnya akan menziarahi beliau. Dan 3 minggu lepas, adalah pertemuan aku yang terakhir berjumpa dengannya (Ziarah Raya dengan Mohd Sharil – Pelajar Semester 6 Bahasa Arab IPGM Kampus Islam). Kelihatan seperti biasa. Masih sihat dan bertenaga. Masih mampu menyampaikan kuliah pengajian agama di masjid. Sungguh indah pertemuan itu, apabila ustaz ada menyebut dia ingin berehat dengan sebaik-baiknya dalam masa 3 tahun lagi jika diberikan kesempatan usia untuk berkhidmat sebagai seorang pendidik. Rupanya 3 tahun yang diungkapkan itu menjadi Kinayah (Perbandingan) kepada 3 minggu lagi kehidupannya di atas muka bumi ini. Sungguh sedih sekali mengenangkan akan semua ini.



Apa yang aku kagumi adalah semangat kentalnya yang tidak mudah mengalah. Beliaulah yang berjaya menghidupkan seterusnya menggerakkan hatiku untuk terus belajar bahasa Arab. Beliau berkata yang benar dalam meletakkan hukum walaupun tidak berapa digemari oleh sesetengah pentadbir.



Dilahirkan dalam keluarga yang berlatar belakangkan agama. Lahir di Kampung Parit Panjang, Tokai, Pendang. Kesemua abang-abangnya adalah guru agama di sekolah agama rakyat. Salah seorang abangnya yang terkenal adalah Ustaz Majid, Pengasas pondok di Tobiar, Kubur Panjang. Namun, kesemua abang-abang beliau meninggal dunia dalam usia yang muda sekitar pertengahan 40 tahun usia. Ustaz Noh juga adalah antara tenaga pengajar di Pondok Pak Majid. Sekarang ni Pondok Pak Majid telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk dijadikan salah satu cawangan Maahad Mahmud Daerah Pendang.



Meneruskan pengajian ke peringkat pengajian hadis di India bersama dengan Al-Muhadith Maulana Muhammad bin Zakaria dan Khatam pengajian Sunan as-Sittah ( 6 buah kitab hadis yang terkenal iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Ibnu Majjah, Sunan At-tarmizi, Sunan Abi Daud dan Sunan An-Nassai). Namun disebabkan ijazahnya tidak diiktiraf di Malaysia, maka beliau berangkat pula ke Mesir dan meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dalam pengkhususan Syariah. Di sinilah beliau banyak mempelajari ilmu-ilmu Islam terutamanya Ilmu Fiqh, Bahasa Arab, Usuluddin dan Al-quran. Sekembalinya ke Malaysia beliau telah berkhidmat sebagai guru bahasa Arab dan pendidikan Islam di sekolah-sekolah kerajaan. Dan di SMK Syed Mohamed Al-Bukhary lah takdir tuha telah menemukan aku dengan ustaz Noh. Walaupun dia mengajar aku hanya pada tahun 2002 dan 2003, namun hubungan kami sebenarnya telah bermula sejak tahun 1999 lagi. Dan kesungguhan beliau mengajar menyebabkan aku terasa berkatnya ilmu beliau. Dan pada tahun 2006 beliau telah bertukar ke SMK Syed Omar. Dan dalam usianya 53 tahun, beliau telah pergi dahulu menghadap sang penciptanya. Bagaikan Mutiara kehilangan Permata, Bagaikan bulan kehilangan purnama, bagaikan mentari kehilangan teriknya, bagaikan bintang kehilangan sinarnya, bagaikan laut kehilangan ombaknya, bagaikan hutan yang kehilangan rimbanya, begitulah aku yang aku rasai. Betapa luluhnya hatiku ini mengenang seorang yang aku anggap sebagai ayahku sendiri telah pergi meninggalkan aku. Kepada Ustazah Fatimah, tabahkan semangat dalam menghadapi ujian ini. Moga Allah mencampakkan sinar ketenangan ke dalam hati ustazah dan ahli keluarga. Semoga segala ilmu yang dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Insya-Allah pada kesempatan di masa cuti yang akan datang, kami akan melawat ustazah bagi menyampaikan salam takziah.



Buat semua anak-anak muridnya, marilah sama-sama kita mendoakan kebahagiaan beliau. Tanpa beliau, mungkin kita tidak akan menguasai bahasa arab dengan mudah. Semoga Allah memakbulkan doa kita untuk kesejahteraan ustaz.



Nabi s.a.w amat menggalakkan kita untuk menziarahi kubur dengan sasaran untuk lebih mengingati kematian. Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menziarahi kuburnya dan berdoalah serta ingatlah akan kematian itu pasti. Kematian itu menuntut PERSEDIAAN. Persediaan menuntut kepada ILMU, ilmu menuntut kepada AMAL, dan amal menuntut KEIKHLASAN.



Bagaimanakah nanti keadaan kita ketika hari kematian...masanya belum diketahui namun ia adalah sebuah pemergian yang akan datang. Sama-samalah kita berusaha dan bersedia, kerana ia adalah satu pemergian yang tiada peluang ulangan. Hidup adalah sebuah exam yang gagalnya tiada ruang untuk mengulang. Nauzubillah.



Begitulah sedikit coretan ringkas mengingati keterkaitan saya dengan Allahyarham. Akhirnya, saya berdoa kepada Allah swt agar memberikan belas, rahmat dan ihsan terbaik buat almarhum serta mengurniakan keampunan atas segala jenis kesilapan yang dilakukannya.Allahyarham Ustaz Noh Bin Idris (1956 - 2009). Sesungguhnya dari Allah Kita datang dan kepada Allah Jualah kita kembali. Al-Fatihah.



Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami, kerana dialah penjaga urusan agama kami,


Perbaikilah bagi kami duni kami, kerana di dalamnya kami hidup,


Perbaikilah bagi kami akhirat kami, kerana ia tempat kembalinya kami,


Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan terhadap segala kebaikan,


Dan jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghabisannya,


Dan sebaik-baik amal kami adalah penutupnya,


Dan sebaik-baik hari bagi kami adalah hari kami berjumpa dengan mu.


Ya Allah, kami memohon kepadamu kehidupan yang tenteram, kematian yang tenang dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan membuka aib.


Ya Allah, perbaikilah akhir hayat kami dalam segala perkara dan selamatkanlah kami dari kenistaan hidup di dunia dan seksaan di akhirat.



Renung-renungkanlah....


:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::


Pohon yang berguna


12 Oktober 2009


23 Syawal 1430H


1.23 Petang

Read more...

Sabtu, 10 Oktober 2009

:: ............................ ::

Assalammualaikum..

Pohon kemaafan kepada semua pihak yang telah menghubungi diri ini semenjak 3 Oktober 2009 hingga sekarang. Disebabkan berlakunya peningkatan kadar panggilan dan sms yang amat tinggi, maka saya terpaksa mengabaikan sebahagian daripadanya. Insya-Allah, jika masih diberikan kesempatan dan kelapangan ruang dan masa dalam masa terdekat ini, keadaan akan kembali seperti sedia kala. Jangan Marah Ye.... Pohon maaf jika ianya membuatkan anda semua mengalami kesulitan.

Haqun Lianfusi, Haqun Ala Allah

Read more...

Rabu, 30 September 2009

:: Coretan Ramadhan 1430H ::


Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah Darul Aman


Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan rahmat serta kasih sayangNya dan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW, keluarga Baginda dan juga para sahabat. Alhamdulillah sekali lagi kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan ini. Masa pantas berlalu dan sedar tak sedar kita sudah mengakhiri Ramadhan.

Sebelum kita ke menerjah lebih jauh, izinkan diri ini mencoretkan apa yang tesimpan di hati ini. Alhamdulillah, seperti mana yang dirancang dalam perjalanan ramadhan di IPGM terutamanya pengurusan imam di dalam bulan ramadhan ini berjalan dengan lancar. Walaupun terdapat sedikit kelemahan kecil pada sudut-sudut tertentu (gementar, lupa bacaan dan sebagainya), namun pujian harus diberikan kerana berusaha jua untuk melaksanakan tugasnya dengan baik. Dan diharapkan untuk ramadhan akan datang kelemahan-kelemahan kecil ini akan dapat diatasi oleh barisan kepimpinan yang baru.



Dalam kekalutan mencari pengisian untuk ramadhan kali ini, Biro Agama & Pendidikan berjaya juga melaksanakan Majlis Iftar secara berkala iaitu pada setiap hari isnin dan rabu. Selain itu, Program Iftar untuk meraikan pelajar-pelajar PPISMP Pendidikan Agama Islam Semester, Imam-imam & Muazzin serta AJK yang bernaung di bawah Biro Agama & Pendidikan berjaya juga dilaksanakan dengan jayanya.



Sebagai tambahan kepada pengisian jiwa yang sentiasa mengharapkan keberkatan Ramadhan ini, MABIT juga berjaya dilaksanakan. Apa itu MABIT? MABIT adalah singkatan kepada Malam Bina Iman dan Takwa. Mudahnya citenya adalah Qiamullail. Ia dilaksanakan pada malam 21 Ramadhan. Alhamdulillah sambutan yang diterima agak memuaskan dengan kehadiran lebih kurang 50 jemaah. Qiamullail kali ini mungkin adalah yang terakhir untuk aku pimpin. Qiamullail pada malam itu bermula jam 4.15 pagi dan berkahir tepat pada jam 5.15 pagi. Pengisiannya adalah Solat sunat taubat, Solat sunat hajat dan 4 Rakaat Solat tahajud serta diakhiri dengan 3 rakaat solat witir. Alhamdulillah untuk kesekian kalinya, Allah terus menganugerahkan diri ini kekuatan dan kelancaran untuk membuat doa qunut nazilah pada witir yang terakhir. Dan ini juga mungkin qunut nazilah terakhir yang aku buat secara berjemaah bersama-sama pelajar-pelajar IPGM disini. Selesai solat witir, jemaah dihidangkan dengan jamuan sahur. Selesai solat subuh pula, aku menyampaikan sedikit tazkirah untuk disampaikan kepada jemaah sebagai santapan rohani di awal pagi.



Selain itu, ada juga kumpulan usrah yang melakukan iftar. Ini menambahkan lagi keceriaan pada surau Al-Firdaus. Majlis Khatam Al-Quran juga pada kali ini berjaya juga dilaksanakan walaupun pada saat-saat akhir ramadhan. Walaupun kehadiran pelajar perempuan amat menggalakkan, namun daripada penyertaan pelajar lelaki agak hambar. Alhamdulilah, kerana Allah telah menyelamatkan majlis ini daripada dihadiri hanya 5 orang pelajar lelaki sahaja. Terima kasih kepada pelajar semester enam yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk memeriahkan majlis ini. Tidak lupa juga kepada 2 orang pelajar PPISMP kerana sudi menerima undangan untuk menambahkan kehadiran pelajar lelaki. Sebenarnya, diri ini juga tidak mahu bersama ke pentas, tetapi membayangkan kesediaan pelajar sem 6 yang sanggup naik, maka aku gagahi juga untuk memberi sokongan moral dan menjaga maslahat majlis.



Saudara-saudara seislamku, sudah menjadi lumrah seroang mukmin sentiasa menjadi sasaran iblis untuk disesatkan. Namun jika segala amal yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mampu menyelamatkan setiap mukmin dari tipu daya iblis. Namun, ternyata jalan menuju keikhlasan tidaklah semudah yang disangkakan, kerana terdapat sangat banyak onak dan duri yang bertebaran dijalannya. Sungguh amat banyak tipu muslihat yang boleh menggelincirkan setiap kita dari beramal ikhlas, dari mulai takjub pada kelebihan diri sendiri, riya’ dan segala penyakit hati sehingga sampai ke tahap menyombongkan diri di hadapan Allah. Na’uzubillahi min zalik.



Bagaimana pula ikhlas ini dapat dikaitkan dengan kehidupan kita sebagai seorang mahasiswa? Bagi kita yang sedang menuntut ilmu ini, kita hendaklah sentiasa memperbaharui niat kita setiap kali kita ingin atau sedang belajar. Ikhlaskan niat setiap hari dengan menanamkannya dalam jiwa bahawa kita menuntut ilmu adalah kerana Allah dan ingin meningkatkan lagi martabat agama kita yang tercinta. Selain itu, janganlah kita bersifat iri hati dan sombong terhadap sahabat-sahabat, pensayarah-pensyarah dan orang lain. Janganlah kita kikir atau kedekut dalam berkongsi ilmu dengan sahabat handai. Kita tidak akan rugi dari segi ilmu serta masa kerana apabila kita berkongsi, kita akan lebih memahami dan mengingati apa yang dipelajari. Tidak mustahil untuk kita menjadi insan yang sentiasa melakukan amalan dengan keikhlasan jika kita berusaha untuk mencapainya. Tepuk dada, tanya iman kita.



Diharapkan pada masa depan lebih ramai lagi pelajar-pelajar junior yang akan naik ke pentas untuk bertadarus dan khatam al-quran. Semoga Allah membalas balik masa dan tenaga yang telah dikorbankan untuk jalan Allah. Sesungguhnya, ingatlah wahai sahabat-sahabatku, jika kita ikhlas dalam mengorbankan masa dan tenaga kita untuk membuat sesuatu pekerjaan yang dianggap ibadah, janganlah kita gusar tentang kerja-kerja kita yang masih banyak tidak disiapkan. Memang benar faktor sebagai pelajar banyak menyumbang kepada kesibukan masa. Namun ingatlah Allah akan membalasnya dengan lebih baik. Jangan khuatir tentang tidak sempatnya membuat sesuatu, kerana Allah akan memudahkan urusan hambanya jika seseorang itu berada dalam kesempitan. Ingatlah Allah akan mengurniakan kesempatan dalam kesempitan kepada hamba-hambanya yang berkorban ikhlas kerana Allah. Kepada sahabat-sahabatku yang sangat ku harapkan kehadiran mereka, namun tidak dapat datang, jadikan ia sebagai pengajaran berguna untuk masa akan datang. Yakinlah dengan sesuatu janji yang datang daripada Allah, kerana ia pasti akan berlaku. Ihfazillah Yahfadzka ( Jagalah ALLAH, ALLAH pasti akan menjaga kamu).





Pemandangan dalam Masjid Zahir yang juga merupakan
Masjid Negeri Kedah & Masjid Diraja



Berbalik kepada perjalanan terakhir untuk ramadan pada tahun ini, alhamdulillah Allah masih memberikan kesempatan untuk diri ini merasai kemanisan dalam mengerjakan amal ibadat. Antara yang paling memberi kesan kepada diri ini adalah dapat merasainya kelazatan ayat-ayat al-quran dengan mentaddabur makna dalam bacaan imam di dalam solat tarawikh. Masihkan anda semua ingat, dalam posting yang lalu aku ada ceritakan betapa seronoknya bersolat tarawikh di Masjid Zahir, yang juga merupakan masjid negeri dan masjid diraja bagi negeri Kedah. Ini kerana pelbagai imam dari kalangan anak tempatan negeri kedah yang mempunyai kemahiran dalam hafazan Al-Quran. Kebanyakan imam ini adalah pensyarah di Kolej Universiti INSANIAH dan Maahad Tahfiz di sekitar Negeri Kedah.



Tarawikh terakhir untuk aku sempurna pada tahun ini adalah pada malam 29 Ramadhan & ia dipimpin oleh seorang imam yang masih muda. Kelahiran Negeri Sembilan. Namun menetap sepenuhnya di Kedah. Walaupun masih muda (dalam lingkungan awal 30-an), jika direnung mukanya kelihatan tenang sekali. Sungguh jelas fikrahnya yang sangat bersih. Beliau adalah Sheikh Muhammad bin Musa Al-Hafiz As-Sembilani. Beliau merupakan Mudir (pengetua) Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Misbahul Munir, Parit Panjang, Kedah. Sedikit biodata ringkas beliau adalah seperti berikut.



1996 : Wakil Negeri Perlis ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan


1997-2000 : Wakil Negeri Sembilan ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan


1999 : Wakil Malaysia ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi


2000 : Wakil Malaysia ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Iran


2001 : Wakil Malaysia ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Jordan


2001 : Johan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan


2004 : Mewakili Negeri Selangor ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan



Dan bagi sesiapa yang ingin memberikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz ini bolehlah memberikan sumbangan dengan mendebitkan terus sumbangan ke dalam Akaun Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Munir di akaun CIMB : 02-048-01-0035416. Semoga Allah membalas jasa mereka yang memberikan sumbangan dengan sebaik-baik ganjaran.



SubhanaAllah. Kelunakan suara beliau sungguh menyentuh perasaan tatkala beliau sendiri menangis dalam solatnya. Dapat aku rasakan dari permulaan solat tarawikh sehinggalah selesainya solat witir bergenang air mata ini membasahi pipi dalam merasai kelazatan al-quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk dijadikan pedoman kepada umatnya. Dari rakaat ke-10 hinggalah ke solat witir, diri ini menangis dengan sesungguhnya. Kebanyakan jemaah juga aku rasakan mempunyai perasaan yang sama dengan aku. Pada waktu inilah juga aku merasakan bahawa aku masih beruntung kerana Allah telah membukakan pintu hatiku untuk terus mengambil Bahasa Arab Tinggi pada peringkat SPM, walaupun aku mengambil subjek Sains Tulen & terpaksa belajar sendiri Bahasa Arab ini. Walaupun 14 orang saja yang ambil Bahasa Arab di sekolah aku dulu, namun kepayahan mengajar aku erti bahawa ilmu yang dimiliki sangat berharga. Masih aku ingat kata-kata ustazku bahawa sesuatu ilmu itu jika diperolehi dengan cara yang mudah, maka mudah jugalah untuk ia hilang. Namun jika sesuatu ilmu itu diperolehi dengan cara yang sukar, maka sukar jugalah sesuatu ilmu itu akan hilang. Alhamdulillah, Ilmu bahasa arab yang dipelajari dapat digunakan sehingga sekarang untuk memahami ayat-ayat Al-Quran. Dan sebenarnya satu lagi impian aku selepas SPM dahulu adalah untuk mengambil bidang Hafazan Al-Quran. Namun Allah lebih mengetahui tentang kehidupan aku pada masa akan datang. Walaupun aku memasuki bidang pendidikan, aku masih meneruskan hafazan al-quran secara berkala sehingga hari ini.



Seperti kebiasaannya pada solat tarawikh aku akan rakamkan bacaan imam, namun pada malam itu, aku terlupa membawa MP3 player untuk merakamkan bacaan imam. Namun sesuatu itu ada hikmahnya. Bila kita kehilangan sesuatu Allah akan menggantikannya dengan benda yang lebih baik. Dan semasa qunut nazilah dibacakan, dalam hati aku berdoa agar Allah memberikan peluang untuk ku temui bacaan yang hampir serupa dengan bacaan imam malam ini. Alhamdulillah. Allah Maha Besar. Mendengar rintihan hambanya yang inginkan sesuatu walaupun ada ketika hambanya ini ada melakukan kesilapan. Seminggu selepas raya, seorang sahabat aku yang warganegara Kuwait mengirimkan satu link ke laman web yang menempatkan pelbagai bacaan al-quran dari negara-negara timur tengah terutamanya Ajman, UAE, Jordan, Syria, Kuwait dan Dubai. Dan dalam kebanyakan qari itu terdapat seorag bacaan Qari yang hampir sama dengan bacaan Sheikh Muhammad bin Musa iaitu Sheikh Muhammad Amir Al-Mohalhal. SubhanaAllah.



Selesai solat tarawikh malam itu, semasa doa selepas solat dibacakan imam masih membacakan doa yang begitu panjang sehingga seolah-olah sudah tiada lagi peluang untuk berdoa selepas itu. Dalam nada yang sebak itu, imam membacakan satu doa yang cukup ringkas tetapi padat untuk dihayati iaitu



“Allahuma innaka Afuwun karim, tuhibbu afwa fa’fuaanna”. Dan Alhamdulillah, sebagai mengambil berkat dari ilmu al-quran yang ada pada Sheikh Muhammad Bin Musa Al-Hafiz, selesai solat sahaja aku bersalaman sambil mencium tangan dan memeluknya. Aku harapkan barakah dari keberkatan ilmu al-quran yang ada dalam dirinya dapat memberikan aku sesuatu kebaikan dengan izin Allah. Ya Allah, kau telah saksikan bahawa inilah jalan yang aku pilih, dan engkau mudahkanlah ia ya Allah. Wahai tuhan yang maha mendengar rintihan hambanya.



Bacaan Sheikh Muhammad Amir Al-Mohalhal aku perdengarkan di Surau Al-Firdaus. Alhamdulillah terdapat beberapa orang pelajar junior berminat untuk mendapatkan bacaan ini. Semoga Allah memberikan mereka kerahmatan dengan berkatnya mendengar kalam suci tuhan ini.



Berbalik kepada solat tarawikh pada malam itu, aku sempat berjumpa dengan seorang pegawai khas kepada seorang ahli parlimen di Sarawak. Beliau merupakan adik kepada ahli parlimen itu. Dan aku berbual panjang dengan beliau. Satu benda yang aku tertarik dengan beliau adalah beliau telah bermastautin di negeri kedah selama hampir sebulan ramdhan semata-mata untuk solat tarawikh di Masjid Zahir ini. Katanya lagi, ini merupakan tahun ketiga beliau berpuasa dan bersolat tarawikh di Negeri Kedah. Dan selama sebulan itu jugalah beliau menyewa hotel untuk menginap. Inilah yang dinamakan rahmat Allah yang melimpah ruah untuk hambanya. Kerana kehebatan imam-imam dalam mengalunkan bacaan dapat menarik hati-hati manusia yang supaya lebih dekat dengan tuhan.



Rasanya sekian sahaja coretan untuk ramadhan yang telah pergi meninggalkan diri kita semua. Entah masih ada kesempatan lagikah untuk aku bertemu dengan ramadan kembali. Semoga segala amalan kita pada bulan ramadhan yang lalu diterima oleh Allah sebagai amal soleh kita. Taqabala Allahu Minna Waminkum A’mala Solihan. Insya-Allah, dalam masa terdekat ini aku akan coretkan pula bingkisan syawal 1430H.



Renung-renungkanlah....


:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::


Pohon yang berguna


30 September 2009


11 Syawal 1430H


2300 PM


Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP