Khamis, 4 Disember 2008

:: Dari Timur Ke Utara ::


Alhamdulillah, setelah selesai segalanya di Tanjung Chap Beach Resort maka bermulalah perjalananku untuk merentasi masa untuk kemabali ke tanah airku iaitu negeri kedah. Aku pulkang ke Kedah bersama naqib usrahku dan ditemani seorang lagi peserta “Keindahan Bersamamu : Not Me Not Know” iaitu saudara Ahmad Adhwan. Aku berasa bahagia sekali, kerana aku masih lagi diberi kesempatan utnuk bersama Naqib usrahku. Dalam perjalanan aku lebih banyak mendiamkan diri dengan
membiarkan saudara Adhwan untuk menemani naqib usrahku memandu. Sebelum itu, biarlah aku coretkan disini tentang perhubunganku dengan Adhwan.

Sebenarnya aku sudah mula mengenali Adhwan sejak 2005 lagi iaitu sebelum aku memasuki IPSMB. Aku bertemu di Institut Perguruan Darulaman (IPDA) pada tahun 2005 semasa kami menyertai Majlis Pertandingan Tilawah, Hafazan, dan Tafsir Al-Quran (MUTTQH). Dan yang paling mendekatkan persahabatan kami adalah kami memasuki bidang pertandingan yang sama iaitu Hafazan Al-Quran. Keputusan pertandingan itu tidak memihak kepada kami berdua. Namun dari segi peratusan markah Adhwan mendapat 87 markah berbanding aku hanya mendapat 85 markah. Setelah berakhirnya majlis itu, kami tidak pernah berhubungan sehinggalah aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di IPSMB. Dari situlah perhubungan yang terputus, kembali terjalin semula. Beliau telah menjadi AJK Minggu Pendaftaran dan Pengurusan Pelajar Baru. Aku sering kali teringatkan kata-kata daripada Bekas Ketua Jabatan HEP MPIP iaitu Puan Hajah Nor Azizi binti Haji Khalid dan staf-stafnya apabila ada pelajar-pelajar baru yang mendaftarkan diri. Beliau mengingatkan aku dengan berkata, “Fazli, sungguhpun pelajar KPLI itu lebih tua dari segi umur dan telah memperolehi Ijazah, namun itu hanya pengalaman mereka di Universiti. Mereka tidak pernah merasai suasana kehidupan di Maktab Perguruan.” Kata-kata beliau inilah yang telah membuatkan aku mempunyai keyakinan yang tinggi apabila berhadapan dengan orang yang lebih dewasa. Begitu juga di IPSMB ini, walaupun pelajar PISMP-IPGM yang mernguruskan kami ini adalah terdiri daripada kohort kedua, namun aku berpegang pada prinsip ini iaitu “Aku hanya Senior dalam kehidupan di maktab tetapi aku adalah junior dalam kehidupanku di IPSMB.

Walaupun beliau adalah lebih muda daripada aku, namun aku menghormatinya sebagai seorang yang berkebolehan di dalam kepakarannya seperti Qiraatul Quran (Pembacaan Al-Quran). Aku mengakui bahawa dari segi bacaan al-quran, bacaan Adhwan lebih baik daripada bacaan aku. Sebab itulah seringkali apabila adanya Adhwan di Surau Al-Firdaus, aku lebih suka untuk dia menjadi imam. Ini bertepatan dengan apa yang nabi katakana bahawa sebaik-baik imam adalah yang terbaik daripada bacaannya. Memang benar apa yang aku rasakan ini. Naqib usrahku pernah berkata semasa aku menginap di Emerald Puteri Hotel bahawa bacaan saudara Adhwan adalah bacaan yang muktabar yang mana mantap dari segi fasahahnya, tajwidnya dan makhrajnya. Sesungguhnya aku menghargai kelebihan yang dikurniakan Allah kepada beliau. Semoga beliau terus menggunakan nikmat yang diberikan oleh Allah dengan sebaik-baiknya.
Berbalik kepada perjalanan kami tadi, sebaik saja bersalaman dengan sahabat-sahabatku (adik-adik usrahku) aku meninggalkan mereka dengan mengh
antar beberapa orang pelajar perempuan ke Stesen Bas Jerteh. Setelah menghantar mereka kami meneruskan perjalan ke rumah Naqib usrahku untuk menukar kereta. Sampai di sana kami sempat berjemaah melakukan solat asar dan meneruskan perjalan ke Kedah. Di sepanjang perjalanan itu, aku banyak berehat dan tidur disebabkan keletihan yang amat sangat. Hanya Adhwan yang menemani Naqibku untuk memandu. Kami singgah sebentar di Jeli untuk solat Maghrib dan Isyak secara Jamak. Selesai solat kami menjamu selera dengan menikmati hidangan nasi goring dan Sup Belut. Sebenarnya aku tidak berapa suka sup belut kerana sifatnya seperti ular. Namun aku terima juga pelawaaan Naqib usrahku untuk menjamahnya sedikit. Begitu berselera Adhwan dan Naqibku makan. Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke Kedah.

Dalam perjalanan itu kami banyak mendengar lagu-lagu Nasyid terutamanya nasyid daripada Timur Tengah. Sedar tak sedar kami sudah samapi ke Kampung Bendang Pecah iaitu rumah Adhwan. Kami disambut oleh ayah dan emaknya. Kami sempat menjamah sedikit bihun goring dan Air Milo yang telah disediakan oleh mak Adhwan. Dalam kesempatan itu Ayah Adhwan sempat menceritakan pengalamnnya mengikuti satu program kerohanian yang dianjurkan oleh Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Setelah selesai segalanya, kami meneruskan perjalanan. Hanya tinggal sejam lagi untuk kami sampai ke destinasi kami iaitu Sungai Petani. Dalam perjalanan itu, aku banyak meluahkan perasaanku tentang keberkesanan program KBM kepada naqibku. Biarlah rahsia itu hanya kami berdua saja yang tahu. Sampai saja di Sungai petani kami terus mencari Emerald Puteri Hotel. Aku cuba mendapatkan bantuan sahabatku, Bull. Beliau telah memberikan
panduan untuk sampai ke hotel tersebut.

Alhamdulillah, semuanya selamat. Aku menelefon sahabatku yang juga merupakan sahabat usrahku iaitu saudara Nabil Fikri yang sedang berkursus di sini. Beliau juga tidak sabar untuk mengetahui program yang telah kami jalankan di Bachok tempoh hari. Alhamdulillah, aku sangkakan inilah malam dan saat terakhir untuk aku bersama dengan naqib usrahku, namun tuhan telah memanjangkan masa untuk kami bertiga bersama. Kebetulan bilik yang naqib usrahku tempah itu mempunyai katil kosong, maka naqib usrahku berkata “Anta tak payah baliklah, balik hari isnin ni, temankan ana di sini”. Aku menyambut pelawaan naqibku. Aku juga mengajak Nabil untuk tidur bersama kami. Alangkah indahnya ukhwah ini.

Keesokannya aku bangun sekitar jam 5 pagi dan aku mengejutkan Nabil dan Naqib usrahku. Alhamdulillah, kami sempat membuat tahajud dan menunaikan solat subuh secara berjemaah. Selesai solat subuh kami membaca Mathurat dan mendengar sedikit tazkirah daripada naqibku. Alangkah berharganya setiap bait-bait kata yang keluar dari tazkirah yang telah disampaikan. Selesai segalanya kami bersiap untuk menikmati sarapan pagi. Aku pergi dengan nabil. Manakala naqib usrahku turun lambat sikit. Di tempat makan, ramai pelajar yang sedang mengikuti kursus kepimpinan ini terkejut dengan kehadiranku. Mungkin mereka tertanya-tanya bagaimana aku boleh berada di sini? Apa yang aku buat disni? Aku hanya membisu saja. Tetapi rata-rata mereka adalah kawan-kawan yang kukenali di maktab.

Seharian berlalu, aku banyak duduk di dalam bilik, manakala naqibku terpaksa meneruskan kerjanya. Malam itu, aku dan naqib usrahku sempat untuk berjalan-jalan di Giant. Kami hanya berjalan kaki sahaja kerana Pasaraya Giant hanya terletak di belakang Hotel. Alangkah seronoknya saat tika aku bersama denganmu wahai baba. Terasa kalau boleh aku tidak inginkan perpisahan yang sementara ini denganmu baba. Selesai sahaja membeli belah, aku naik ke bilik dan naqib usrahku meninjau program kepimpinan pelajar. Malam itu, kami sekali lagi sempat untuk keluar menikmati makanan ringan iaitu roti canai di Pelita Nasi Kandar. Aku keluar bersamaNaqibku, Nabil, Imad dan Ikhwan. Naqibku sekali lagi menginfakkan hartanya dengan membelanja kami pada malam itu. Malam itu, terjadi satu peristiwa yang menarik perhatian aku iaitu apabila Nabil membuat tempahan untuk makan Roti MILO. Inilah kali pertama aku mendengar Roti MILO. Kami semua bergelak ketawa sambil menunggu roti MILO sampai.

Selesai semuanya, kami terus balik ke bilik. Nabil sudah mengambil tempat untuk tidur, manakala aku dan naqibku menyiapkan video tentang ukhwah kita. Selain itu, kami sempat berbincang dan bertukar-tukar bahan untuk program yang akan datang. Pada malam inilah naqib usrahku mengarang puisi untuk mereka yang masih bercinta. Kagum aku melihat kebolehannya mengarang puisi. Walaupun penat, namun kesempatan yang ada tidak dipersia-siakan. Ketahuilah sahabat-sahabat usrahku, Aku dan naqib usrahku seringkali teringatkan akan kalian semua. Seringkali apabila menatap gambar kalian, pasti berlinangan air mata. Terasa sunyi sekali kami tanpa kalian. Saat-saat kita berpelukan untuk berpisah masih lagi terasa. Namun, kehendak takdir memisahkan kita buat sementara waktu. Jam 3 pagi aku tidur, manakala naqib usrahku tidur pada jam 4.30 pagi. Jam 5.45 pagi aku dikejutkan oleh naqibku untuk bangun solat subuh. Hari ini aku terlepas tahajud. Alangkah ruginya aku. Selesai solat subuh berjemaah kami berehat sebentar melepaskan lelah yang masih berbaki.

Pagi ini, aku banyak duduk di bilik. Aku meminta kebenaran naqibku untuk mengikutinya. Alhamdulillah beliau mengizinkan. Naqibku telah diberikan peluang untuk menjadi VVIP untuk majlis penutup bagi menggantikan Puan Pengarah yang tidak dapat hadir. Alhamdulillah naqibku sempat membuat ucapan dan menyelitkan sedikit dakwah kepada peserta-peserta kursus. Naqibku banyak menekankan tentang kepimpinan dan kehendaknya dengan islam. Alhamdulillah aku rasakan peserta kursus ini cukup beruntung kerana mendapat sedikit sentuhan daripada naqibku.

Selesai majlis penutup, inilah saat yang tidak mahu aku hadapi. Saat perpisahan dengan naqibku dan sahabatku Nabil. Entah mengapa dalam seminggu ini, hati dan perasaanku menangis lagi. Rasanya seperti baru sangat kami bersama, tetapi perpisahan terjadi lagi.

Ya Allah, Ukhwah yang dibina antara kami, Biarlah seperti seutas tasbih, Ada awal, Tiada penghujungnya, Dicipta untuk mengingatiNYA, Dibahagi untuk cintaNYA, Diratib demi redhaNYA..~. Ya Allah, jadikan aku lelaki yang soleh dan muslim yang mukmin...yang baik di antara yang terbaik...dan kurniakan aku pendamping, sahabat dan rakan yang baik dan soleh...dlm mendapatkan sesuatu yang terbaik dariMu...Amin... Ya Allah Ya Tuhanku, muliakan & sayangi naqib usrahku dan sahabat-sahabat usrahku..Bahagiakan keluarga mereka, Sihatkan tubuh badan mereka, berkatilah rezeki mereka, kuatkn iman mereka. Berikan kenikmatan beribadah kepada mereka , jauhkn mereka semua dari fitnah. Suburkanlah benih KEISLAMAN dgn penuh rasa kasih sayang dan rahmatmu Ya Allah. Amin Ya Robbal Aalaminn

0 ulasan:

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP