Sabtu, 31 Oktober 2015

:: Dendam Membara...... ::

Dendam berpunca daripada marah. Ia merupakan perasaan yang disimpan dalam hati untuk membalas kejahatan seseorang dengan kejahatan yang serupa atau lebih daripada itu. Orang yang berdendam berazam untuk membalasnya ke atas seseorang yang melakukan kejahatan kepadanya. Sekiranya dia tidak dapat membalas kejahatan kepada orang yang dibencinya, dia akan membalasnya kepada sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan orang yang dibenci itu seperti anak, saudara mara dan kroninya.
Sebenarnya dendam menyebabkan hilang ketenangan jiwa. Ia lebih menyusahkan diri kerana fikirannya rungsing, tidurnya tidak nyenyak, pekerjaannya tidak menjadi dan hatinya tidak tenteram selagi dendamnya tidak terbalas. Dendam bukanlah sifat sebenar orang yang beriman. Orang yang beriman sepatutnya memenuhi hatinya dengan menyayangi manusia lain.
Jika anda dizalimi atau teraniaya, maka kezaliman itu sememangnya amat pahit untuk ditelan. Namun jika anda redha menerimanya dengan hati yang bebas daripada dendam kesumat, maka ia akan memberi kebaikan kepada anda. Sekiranya anda berpegang kepada hakikat bahawa orang yang zalim pasti menerima balasan daripada Allah yang Maha Adil, maka anda tidak akan menghabiskan masa untuk memikirkan tindakan kepada penzalim dan kroni- kroninya. Sebaliknya, kehidupan anda diteruskan seperti biasa, seolah- olah tiada apa yang berlaku ke atas anda.
Sekiranya anda berdendam, maka sebahagian masa dan hidup anda akan sibuk dengan perancangan membalas dendam. Anda berazam suatu masa nanti, anda akan berbuat sesuatu untuk menyusahkan individu- individu yang anda dendam. Jika anda tidak membalasnya kepada mereka, maka individu- individu yang mempunyai kaitan dengan mereka menjadi sasaran anda.

Jalan yang terbaik adalah dengan melupakan sahaja niat untuk membalas dendam. Anda akan menjadi manusia terbaik apabila membalas kejahatan seseorang dengan kebaikan. Musuh anda itu pasti akan terkejut dengan kebaikan anda. Lama kelamaan dia akan berbaik- baik dengan anda dan meminta maaf kepada anda. Anda pula bersedia melupakan kejahatannya kepada anda. Oleh itu janganlah berdendam. Biarlah orang buat jahat kepada anda tetapi anda tidak berniat untuk membalasnya.

Read more...

Sabtu, 5 September 2015

:: Hari-hari yang Penuh Berliku...... ::

Bismillahirrahmanirrahim.. 

Hari-hari yang penuh berliku, dilalui setiap insan beriman dengan bekalan-bekalan amal yang tiada pernah jemu memohon rahmat dan belas kasihan dari Tuhannya. Setiap sudut dan setiap detik pergerakannya, tiada pernah lalai akan dirinya dari lirikan mengingati Tuhan, lidah tiada putus memuji kebesaran Tuhan, masa lapangnya cuba diisi dengan alunan al-Quran, membuatkan jiwanya terasa tenang, hatinya damai, fikirannya lapang. Bukan kerana tiada ujian yang ditimpakan padanya, dan bukan juga kesenangan hidup yang dimilikinya. Kehidupannya hanya seperti insan biasa, ada masa dihadapinya ujian itu dengan titisan air mata, seolah tiada sanggup lagi membebankan diri menghadapinya, kadang leka dibuai keasyikan mimpi, kesenangan pandangan pada indahnya dunia yang melalaikan dan penuh tipudaya, seolah tiada kematian dihadapannya. Gembiranya hidup dengan kesenangan yang ada dihadapan mata, keasyikan dilamun cinta dunia.

Menjadi insan soleh disisi Tuhan didambakan setiap insan beriman. Walau dibadai gelora akan imannya, dihina akan kehidupannya, diuji walau sepahit manapun ujian, hatinya masih terpaut untuk menyembah syukur pada Tuhan, kerana keyakinan yang pasti pada hatinya, itulah kehidupan sebenar untuk menuju kebahagian, tiada difikirnya kebahagiaan sementara, dihadapkan pada hatinya untuk dicari hanyalah yang kekal abadi. Doa penguat dirinya tika tiada siapapun disisi. Dipohon kepada Tuhan agar dibesarkan imannya untuk menghadapi ujian dan rintangan yang penuh noda. Yang pasti, selangkah dirinya mendekati Tuhan, sudah pasti Tuhan menghampirinya beribu-ribu langkah.

Tika titis air mata segar mengalir kerana mengingati perihal dosa-dosa terdahulu, hatinya terbuku sayu, apakah belas kasihan Tuhan akan melindungi dirinya dari azab dan siksa neraka Tuhan, apakah amalan-amalannya yang sentiasa dibelenggu ujub diterima Tuhan, kusutnya pikiran tiada tergambar untuk diluahkan, keresahan-keresahan bermain-main di benak fikiran, buntu jalan dihadapannya. Cinta yang didambakan adakah ia menjadi permainan antara nafsu dan syaitan, menjadi persoalan yang tiada berkesudahan.

Al-Quran pernah menyebut bahawa manusia itu adalah dekat dengan Tuhannya. Tiada batas pengataraan yang menjadi halangan bagi hamba dengan Tuhannya. Kemuliaan yang telah diberikan Tuhan untuk hambanya, Maha Pengasih dan Penyayang Allah pada hamba-hambanya. Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (surah Al-Baqarah: 186)




Sungguh, pintu rahmat Tuhan sentiasa terbuka luas kepada hambanya, dan orang yang beriman itu selalu berbisik dengan Tuhannya setiap waktu, dengan mengerjakan sembahyang dan berdoa kepada Ilahi. Walau diuji, hatinya mendapat ketenangan yang tiada disangka-sangka datangnya ia, benarlah firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu[99], Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (ada pula yang mengartikan: Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat. Berdoa dan mengadulah pada Allah, kerana hanya pada Allah letaknya ketenangan hati.) (surah Al-Baqarah: 153)

Doa Rasulullah kepada Allah yang menjadikan hati baginda tenteram dan tenang, sekembalinya baginda dari Taif dengan keadaan kedua kakinya luka berdarah, serta hati yang amat kecewa:
“Ya Allah! Aku mengadukan kepada Engkau kelemahan kekuatanku dan kekurangan tipudayaku, serta kelemahanku menghadapi orang ramai. Ya Allah yang Maha Penyayang! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkau adalah Tuhanku.”

Jangan menjadikan suatu kelemahan dalam diri menangisi semalam yang telah pergi, kerana orang yang beriman kuat keyakinannya terhadap Tuhan, percaya akan qada’ dan qadar Tuhan, tiadalah mahu menyerahkan dirinya menjadi mangsa peristiwa yang telah lalu, bahkan dia menyakini, bahawa sesuatu yang telah ditentukan Allah mesti berlaku, diterimanya dengan hati yang penuh redha. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Allah telah mentaqdirkan, dan apa yang dikehendakiNya diperbuatNya, kerana mengucapkan ‘kalau…..’ hanya membukakan kerja syaitan.” (diriwayatkan oleh Muslim)

Orang yang beriman tidak akan terumbang-ambing antara “kalau” dan “seandainya” kerana ia akan melahirkan rasa kekecewaan dan keluh kesah yang menyebabkan hilangnya ketenangan hati, membuatkan rasa penyesalan kepada perkara yang telah lalu dan benci kepada yang sedang dihadapinya. Hidupnya dibelenggu kepahitan cubaan yang diulang-ulang mengingatinya, kesedihan yang melanda seolah-olah racun berbisa yang tiada penawar baginya.

Ya Allah, jauhkanlah kami dari kegelapan hati yang penuh noda dan domba, hati yang tiada khusuk dalam ibadah kepadaMu, hati yang tiada tenang dalam mencari jalan pulang. Selamatkanlah kami dari kebencianMu ya Tuhan, dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa dinaungi rahmat dan kasih sayangMu, agar nur kehidupan meresap kedalam batin dan jiwa kami, ditunjukkan kami jalan redhamu, agar kami bersama-sama para anbia’ , para syuhada’, para solehin dalam perjalanan di mahsyarmu kelak, diberi kebaikan dan diberi anugerah syurgaMu yang tiada terlintas akan istimewa ianya tercipta hanyalah dijadikan untuk hamba yang Engkau redhai. Wassalam..

Read more...

Isnin, 31 Ogos 2015

:: Bingkisan Ramadhan 1436H ::


Dalam meniti kehidupan yang dilalui, terselit jua sedikit rimbunan kasih sayang tuhan terhadap hambanya. Seringkali kita mendengar ungkapan jika seluruh bulan adalah noda, maka ramadanlah penyucinya. Walaupun ramadan telah meninggalkan kita 14 hari yang lalu, masih belum terlewat untuk berkongsi catatan ramadan yang dilalui pada ramadan kali ini. Tiada siapa yang mampu menghitung adakah ramadan yang telah lepas merupakan ramadan yang terakhir bagi dirinya, atau adakah masih lagi ada ruang dan kesempatan untuk bertemu ramadan seterusnya. Apapun, niat yang utama perlulah diperbetulkan. Kita perlu melakukan ibadah yang bersungguh bukan sahaja pada bulan ramadan, tetapi pada bulan-bulan seterusnya. Jadilah hamba yang rabbaniyah dan bukan hamba ramadaniyah. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, salah satu yang menjadi ibadah tumpuan dalam bulan ramadhan adalah solat tarawih. Kenikmatan dalam menunaikan solat tarawih adalah sesuatu yang tidak boleh digambarkan dengan sesuatu. Menjadi kebiasaan bagiku untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Zahir yang juga merupakan Masjid Negeri Kedah serta digelar juga sebagai Masjid Diraja. Sungguh solat tarawih di sini tidak pernah menghampakan bagi mereka yang pernah bersembahyang ini. Ramai imam-imam tahfiz yang dilantik menjadi imam di sini. Antaranya Sheikh Roslan Abdul Halim-Al-Hafiz (Imam Besar Masjid Zahir), Sheikh Kadri Abdul Hamid Al-Hafiz (Pensyarah Tahfiz), Sheikh Muhammad Idrus bin Ismail Al-Hafiz (Pensyarah Tahfiz), Sheikh Muhammad bin Musa Al-Hafiz (Pengetua Maahad Tahfiz Yayazah Al-Huffaz), Sheikh Usamah bin Muhammad Iqbal bin Sheikh Muhammad (Guru Al-Quran yang mengajar di Al-Quran di dalam halaqah di masjidil haram serta menjadi imam di masjid sekitar bandar Makkah Al-Mukarammah). Selain itu terdapat juga imam-imam muda yang mempunyai bakat dan seni suara dalam mengalunkan bacaan Al-Quran yang mampu menyentuh jiwa bagi mereka yang mentadabbur bacaannya. Antaranya ialah Ustaz Mohd Ersyad bin Abdullah Al-Hafiz (Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan & Antarabangsa) serta Ustaz Abdul Hadi bin Ismail Al-Hafiz (Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2013) dan ramai lagi imam-imam jemputan yang dijemput oleh pihak pengurusan masjid untuk mengimarahkan masjid pada bulan ramadhan kali ini.


Antara kata-kata hikmah yang sempat saya titipkan untuk menjadi pedoman bagi kita sebagai hamba ini adalah…. setiap malam kita diperdengarkan dengan bacaan al-quran 1 juzuk 1 malam. Jika ditakdirkan oleh Allah tiang-tiang dan dinding-dinding masjid ini hidup, tentu sekali akan bergegar jiwa mereka, sebagai manusia yang dikurniakan jiwa dan akal yang sempurna, jika hati kita tidak mampu bergetar apabila mendengar kalimah tuhan yang maha agung, maka kita perlulah munasabah jiwa kita, setakat manakah keimanan kita kepada Allah SWT. Sedangkan Allah berfirman di dalam Surah Al-Anfal Ayat 2 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Begitulah sepatutnya yang diteladani, sebaik-baiknya adalah kita mentadabbur apa yang dibaca, agar hikmah al-quran itu sampai ke dalam lubuk hati kita untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Kesyahduan dan ketenangan dalam solat tarawih terakhir untuk ramadhan 1436H kali ini. Seperti biasa ianya menggamit perasaan sedih dan pilu, adakah masih ada umur untuk bertemu ramadan pada masa akan datang.... apapun sesuai dengan intipati doa qunut yang dibacakan tadi, harapanku biarlah sejahat mana pun kejahatan yang telah dilakukan, biarlah dosa seluas langit dan bumi, ku mengharapkan pada akhir hidupku hanya kalimat tauhid " لا إله إلا الله " mengiringi nafas terakhir dalam mengakhiri kehidupan di dunia ini.......

Ya Allah Jadikanlah kalam terakhir ketika mana pengakhiran ajal kami ialah kalimah لا إله إلا الله

Mudah-mudahan kita semua diizinkan ALLAH SWT untuk bertemu RAMADHAN 1437H plak.. 











Read more...

Ahad, 30 Ogos 2015

:: Keberkatan yang Didamba ::

Saya kongsi peristiwa ini untuk dijadikan renungan bersama..

Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dia alami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang upahan dengan gaji sebanyak 5 dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi untuknya.


Namun anehnya, Imam Syafie langsung menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4 dirham. Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sekalipun dia tidak faham apa maksud dari suruhan itu.


Setelah berlalu beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang kehidupannya yang tidak ada kemajuan. Lalu Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan minta untuk mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. Lelaki itupun pergi melaksanakan anjuran Imam Syafie dengan perasaan sangat hairan.


Setelah berlalu sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih atas nasihatnya. Dia menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya, bahkan hidupnya menjadi lapang. Dia menanyakan apa rahsia di sebalik semua itu?


Imam Syafie menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia jalani itu tidak berhak mendapatkan upah lebih dari 3 dirham. Dan kelebihan 2 dirham itu telah mencabut keberkatan harta yang dia miliki ketika bercampur dengannya.


Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir:


جمع الحرام على الحلال ليكثره


دخل الحرام على الحلال فبعثره


Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak.

Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya.
_____

Barangkali kisah ini dapat menjadi pelajaran yang sangat berharga bagi kita dalam kehidupan harian. Jangan terlalu berharap gaji besar bila pekerjaan kita hanya sederhana. Dan jangan berbangga mendapat gaji besar, padahal kerjabuat kita sangat lemah atau tidak seimbang dengan gaji yang diterima.


Bila gaji yang kita terima tidak seimbang dengan kerja, ertinya kita sudah menerima harta yang bukan hak kita. Itu semua akan menjadi penghalang keberkatan harta yang ada, dan mengakibatkan hisab yang berat di akhirat kelak.

Harta yang tidak berkat akan mendatangkan permasalahan hidup yang membuat kita susah, sekalipun bertaburkan benda-benda mewah dan serba lengkap. Wang banyak di bank tapi setiap hari bergaduh dengan isteri. Anak-anak tidak mendatangkan kebahagiaan. Dengan teman dan jiran sekeliling tidak sehaluan.


Kenderaan selalu bermasalah. Ketaatan kepada Allah semakin hari semakin melemah. Fikiran hanya dunia dan dunia. Harta dan harta. Penglihatan selalu kepada orang yang lebih dalam masalah dunia. Tidak pernah puas, sekalipun mulutnya melantunkan alhamdulillah tiap minit.

Kening selalu berkerut. Satu persatu penyakit datang menghampiri. Akhirnya gaji yang besar habis untuk cek up ke hospital dan periksa ke klinik. Tidak ada yang dapat dibahagikan untuk sedekah, infak dan amal-amal demi tabung masa depan di akhirat. Menjalin silaturrahim dengan sanak keluarga pun tidak. Semakin kelihatan mewah tapi sifat kedekutnya juga semakin menguasai.


Semoga Allah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk serius dalam bekerja, hingga rezeki kita menjadi berkat dunia dan akhirat !


‪#‎kreditutksahabat‬ whatassap group..

Read more...

Jumaat, 24 Julai 2015

:: Andai ini Ramadhan Terakhirku ::















Tika titis air mata segar mengalir kerana mengingati perihal dosa-dosa terdahulu, hati terbuku sayu, apakah belas kasihan Tuhan akan melindungi diri ini dari azab dan seksa api neraka. Apakah amalan-amalan yang sentiasa dibelenggu ujub diterima Tuhan, kusutnya fikiran tiada tergambar untuk diluahkan, keresahan-keresahan bermain-main di benak fikiran, buntu jalan dihadapannya. Cinta yang didambakan adakah ia menjadi permainan antara nafsu dan syaitan, menjadi persoalan yang tiada berkesudahan.




Read more...

Rabu, 15 Julai 2015

:: Harapan Ramadhan ::

Lumrah.. Apa yg ada di depan mata, jarang kita syukuri.. Bila ianya hilang, baru kita merasai kenikmatannya..

SIHAT, akan kita rasa penting bila kita sedang sakit..

MUDA, akan kita kesali bila kita telah tua..

LAPANG, akan kita buru pula ketika kita dilanda sibuk..

BERHARTA, akan kita dambakan ketika gaji atau poket menipis.. Baru terfikir utk jimat..

HIDUP, membuatkn kita meminta ditangguhkan kematian..

RAMADAN, dirindui bila tabir syawal menjelma..

Read more...

Isnin, 29 Jun 2015

:: Antara Suka dan Duka ::



“Senyumlah kembali dan kesatlah air matamu kerana setelah jatuh air mata yang mengalir laju-laju, pasti dengan cepat dan pantas empangan matamu akan kering-kontang.” Apabila kita mahu menangis, keluarlah tangisan itu sepuas-puasnya untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan. Mengapa harus menafi kan hak untuk menitiskan air mata?

Menitiskan air mata bukan melambangkan kelemahan sebaliknya menggambarkan bahawa kita telah terlalu lama bertahan dengan ujian yang melanda dan itulah waktu yang tepat untuk meraikan ketabahan. Menitiskan air mata dalam doa adalah lebih indah nikmatnya, kerana kita berkongsi rasa dengan ALLAH S.W.T. Tiada hijab yang boleh mengekang doa kita dengan-NYA. ALLAH S.W.T pasti mengerti, kerana DIAlah yang mencipta kita.

Setelah sampai tempoh, berhentilah menangis dan kembalilah tersenyum. Tunjukkan kepada dunia, selepas mendung berlalu kita masih mampu berdiri seperti pelangi dan tidak sekali-kali mengaku lemah!









Read more...

Jumaat, 19 Jun 2015

:: Imbasan Kenangan ::

Sesekali kita membuka lembaran lama, terpahat catatan yang penuh dengan makna untuk diingati pada masa depan. Walaupun sudah hampir 10 tahun saya meninggalkan maktab perguruan ipoh, namun kenangan bersama dengan pensyarah2 di sana masih berkekalan.

Antaranya dengan tuan haji zahari bin ahmad sarji. Kaunselor di jabatan HEP. Lulusan master dalam bidang kaunseling dari Amerika Syarikat. Walaupun hanya tinggal beberapa tahun saja lagi untuk bersara wajib, beliau sedang finalize tesis phd beliau. Bukan saja dengan beliau tetapi isteri beliau juga saya sangat rapat. Masih teringat satu projek sempena persaraan timbalan pengarah maktab ketika itu, Puan Hajah Nor Azizi yg lebih mesra dipanggil sebagai ibu, saya bermalam di rumah beliau. Menghadap komputer sehingga terbit matahari.... yg bagusnya isteri beliau boleh dikatakan setiap 2 jam akan bangun membuat air dan makanan.yg pertama karipap, 2 jam berikutnya pizza, dan 2 jam berikutnya nasi goreng sebagai sarapan pagi.


Sehingga hari ini, jika saya ke ipoh, jika saya tidak ada kekangan, rumah beliaulah tempat saya bermalam. Ramai lagi pensyarah di sana yang masih berhubung. Diharapkan hubungan ini berkekalan sehingga akhir hayat. Apapun... kenangan lepas sesekali perlu diimbas bagi melepaskan rindu yang ada. Di bawah gambar semasa beliau dan isteri datang atas urusan kerja sambil menziarahi saya beberapa bulan yang lalu.





Read more...

Sabtu, 4 April 2015

:: Destinasi kita selepas ini..... ::



Dalam jiwa yang masih lagi meronta, sering alpa menjenguk hati yang sentiasa lupa, dalam hati yang masih menunggu masak, sering datang jelmaan yang mungkin ghaib di kala nampak.

Dalam jasad yang sering menagih tagihan kasih sering datang godaan & nodaan yang mampu membuang murninya jiwa. Nampak tenang, namun derita yang menerjah. Untuk apa kita meletakkan harapan tinggi, namun jalan ke sana belum kita lalui. Dalam mencapai apa yang kita maksudkan, ia perlukan sejuta langkah untuk ke sana. Sejuta langkah bermula dengan setapak. Sedang melabuhkan diri di perbaringan untuk menghitung masih adakah lagi nafas yang berbaki.
Malam ini mungkin kita sedang enak tidur di perbaringan menghadap dinding mengharapkan diulit mimpi yang indah, namun bagaimana tika tersedar dari lamunan, tubuh ini sudah menghadap tanah, berbalut kain putih tanpa bisa bergerak.......... Kaku dalam perbaringan,
Masihkah ada lagi nafas yang masih berbaki buat diriku ini???




Read more...

Isnin, 2 Februari 2015

:: Sesekali kita menyendiri dan merenung..... ::

Masa berlalu tanpa kita sedari ,akhirnya kenangan lalu meninggalkan kita..semakin hari,dosa kita dengan maha pencipta kian bertambah..sama ada dosa kecil ataupun dosa besar..tetapi kita sebagai hamba tidak pernah peduli dengan dosa yang kita lakukan..bahkan merasa seronok kerana dapat melakukan dosa..Astaghfirullah..hanya istighfar sebaik-baik jalan untuk memohon keampunan..Apabila Allah hadirkan ujian besar ataupun kecil baru kita terkial-kial mencari keampunan Allah...itulah ragam kehidupan manusia..tiada insan yang sempurna melainkan kekasih Allah s.w.t ,Nabi Muhammad s.a.w yang memiliki Akhlak baik & sifat-sifat yang sempurna...Allahumma solli ala sayyidina muhammad wa alihi muhammad..

Wahai teman,dan sahabat-sahabat yang dikasihi Allah s.w.t..Ujian yang hadir mampu mematangkan diri kita demi menggapai redha ilahi..Janganlah cepat mengeluh dan cepat merungut kerana setiap titik kesabaran yang kita semaikan dalam ujian yang hadir itu InsyaAllah , Allah s.w.t akan menggantikannya dengan kemanisan kehidupan, sekiranya kita ikhlas,redha dan sabar dengan ujian yang hadir itu..InsyaAllah..Dan yang paling penting janganlah kita cepat berputus asa dengan RahmatNYA, kerana Rahmatnya terlalu luas buat hamba-hambanya,.hanya kita yang tidak perasan terhadap Rahmat yang telah dia berikan kepada kita..Hanya Hati dan Iman yang mampu mencari Rahmat tersebut..InsyaAllah, Allah s.w.t perkenankan jika kita sentiasa sujud dan bersyukur dengan Rahmat ujian yang hadir..

Firman Allah s.w.t : Wahai anak-anakku ! pergilah kamu ,carilah berita tentang Yusuf & saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah..Sesungguhnya yang berputus dari Rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir... (Surah ,Yusuf, Ayat 87)

Subhanallah..Indahnya kalam Allah itu,..betapa sayangnya dia pada hambanya...hanya kita yang tidak mengerti setiap Rahmat yang dia limpahkan kepada hambanya...hanya sabar sebagai pengubat jiwa..yakinlah,setiap ujian yang hadir itu sedikit sebanyak telah mengajar kita erti kesabaran..semakin banyak kita mampu bersabar maka semakin dekat kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t dengan kita..Sesungguhnya Allah sentiasa bersama insan-insan yang bersabar.. Jadikanlah titik kesabaran itu sebagai Motivasi dalam diri kita demi menggapai Redha Ilahi...InsyaAllah..

Ketahuilah wahai teman dan sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, Rahmat ujian yang hadir juga mampu mendidik akhlak kita dari keadaaan yang tidak sempurna ke arah yang lebih sempurna, sekiranya niat kita ikhlas demi mengejar redhaNya..Jangan terlalu cepat menghukum diri sekiranya sesuatu ujian itu hadir..berfikirlah sejenak,lihatlah ke langit..hanya diatas sana sahaja yang mampu memberi segala jawapan demi menyelesaikan segala ujian dan memberi ketabahan hati demi menempuh segala ujian yang telah Allah berikan kepada hamba-hambanya..Janganlah rasa berduka diatas ujian yang hadir..Allah sengaja hadirkan ujian itu kerana dia tahu,ujian yang dia hadirkan keatas hambanya itu mampu merapatkan diri hamba dan diriNYA..Hayatilah kalam indah Imam Besar As-Shafie ini ,agar dirimu sentiasa tabah dengan ujian yang hadir :-

Tinggalkan rasa duka semampumu..kerana memikul beban duka itu boleh membuatmu gila..

Kelmarin Allah s.w.t telah menolongmu,percayalah esok pun Dia masih tetap akan menolongmu...

Subhanallah..indah sungguh kalam seorang Ulama dan Imam besar ini, Jadi tidak hairanlah mengapa Allah mengitiraf ulama sebagai pewaris Nabi s.a.w..jadikan kata-kata hikmah ini sebagai dinding atau tembok penghalang senjata-senjata syaitan yang mampu menghasut ke lembah kehinaan..Nauzubillah min Zalik..Wahai teman,sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, banyakkanlah bersujud ketika sesuatu ujian itu hadir,yakinlah semakin kerap kita bersujud maka semakin dekatlah Allah dengan kita..Banyakkanlah berzikir tentang kebesaran Alam ciptaannya..Buat teman dan sahabat-sahabat yang berdekatan dengan lautan yang membiru,.manfaatkanlah nikmat lautan yang Allah berikan kepadamu dengan zikir-zikir yang indah kepadanya,agar dirinya bertambah sayang kepadamu..

Alihkanlah matamu ke laut..Airnya canitk membiru dan penuh dengan ketenangan..tapi hanya Allah sahaja yang tahu rahsia didalamnya..Begitulah kehidupan manusia,riang bergelak ketawa tapi hanya Allah sahaja yang tahu rahsia kehidupannya..Jika rasa kecewa,pandanglah ke sungai..Airnya tetap mengalir biarpun sejuta batu menghalangnya..Jika rasa sedih pandanglah ke langit..dirimu akan sedar bahawa Allah s.w.t sentiasa bersamamu..jika kita tabah,sabar,dan redha dengan segala ujian yang hadir..maka itulah kemanisan ujian..

Akhir kalam, sebelum saya mengundur diri saya ingin memohon beribu kemaafan kepada teman dan sahabat-sahabat sekiranya ada tersalah bicara dengan kalam diatas..hayatilah kata-kata ini agar dirimu sentiasa tabah dengan ujian yang mendatang ;

Bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu yang menciptakan segalanya,yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu , yang membuatkan keinginanmu terhalang dan menyusahkan hidupmu, pasti akan damailah hatimu kerana masakan Dia sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia..Bukan Dia tidak tahu deritanya hidupmu..Retaknya hatimu ,tapi mungkin itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab denganNYA..

Jadi marilah kita bersama-sama berdoa agar sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan hati dalam menghadapi cabaran dan dugaan dariNYA ,Semoga dipermudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat..dimurahkan segala rezeki..dikurniakan kesihatan yang baik..dilembutkan hati..dijauhkan dari perasaan hasad dengki dan tamak haloba..Moga doa kita dimakbulkan..InsyaAllah, Aminn Ya Rabb..Apa yang baik itu segalanya dari Allah s.w.t dan apa yang buruk itu datang dari diri saya sendiri...Hanya taqwa sebaik-baik kesempurnaan..Jagalah apa yang kita miliki..dan tambahlah apa yang kurang, InsyaAllah keberkatan dan keredhaan kehidupan mengiringi buat hamba-hambanya yang sentiasa merindui RedhaNya..Aminnn..

~Biarkan Redha itu Sentiasa Bernafas...

~Nukilan dari Hati yang berkata-kata...

~Jadikan ujian pada detik lalu sebagai penambah iman..

Read more...

Sabtu, 24 Januari 2015

:: Dunia yang menipu Manusia ::

Kehidupan dunia ini merupakan tempat persinggahan yang tidak kekal untuk dihuni. Tempat sementara buat sang musafir berkelana untuk mencari bekalan menuju destinasi yang telah dicipta dan diduga iaitu AKHIRAT.

Dunia selalu membuat kita leka dan alpa dengan segala bentuk kecintaan; jika tidak ditangani dengan ilmu dan akal, pasti iman dan takwa tidak menjadi bekal. Hargailah dunia yang dicipta dengan mensyukuri segala yang dikurniakan Allah SWT untuk menjadi hamba-NYA yang qanaah dan redha dalam Qada dan Qadar-NYA.

Beruntunglah orang yang tidak terpaut dengan dunia sebelum dia meningalkan dunia ini. Beruntunglah orang yg menghiasi kuburnya dengan amal soleh sebelum dia berkunjung ke dalamnya. Dan beruntung orang yang redha dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya sebelum dia bertemu Allah dan menganugerahkan redhaNya.


Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP