Isnin, 31 Ogos 2015

:: Bingkisan Ramadhan 1436H ::


Dalam meniti kehidupan yang dilalui, terselit jua sedikit rimbunan kasih sayang tuhan terhadap hambanya. Seringkali kita mendengar ungkapan jika seluruh bulan adalah noda, maka ramadanlah penyucinya. Walaupun ramadan telah meninggalkan kita 14 hari yang lalu, masih belum terlewat untuk berkongsi catatan ramadan yang dilalui pada ramadan kali ini. Tiada siapa yang mampu menghitung adakah ramadan yang telah lepas merupakan ramadan yang terakhir bagi dirinya, atau adakah masih lagi ada ruang dan kesempatan untuk bertemu ramadan seterusnya. Apapun, niat yang utama perlulah diperbetulkan. Kita perlu melakukan ibadah yang bersungguh bukan sahaja pada bulan ramadan, tetapi pada bulan-bulan seterusnya. Jadilah hamba yang rabbaniyah dan bukan hamba ramadaniyah. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, salah satu yang menjadi ibadah tumpuan dalam bulan ramadhan adalah solat tarawih. Kenikmatan dalam menunaikan solat tarawih adalah sesuatu yang tidak boleh digambarkan dengan sesuatu. Menjadi kebiasaan bagiku untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Zahir yang juga merupakan Masjid Negeri Kedah serta digelar juga sebagai Masjid Diraja. Sungguh solat tarawih di sini tidak pernah menghampakan bagi mereka yang pernah bersembahyang ini. Ramai imam-imam tahfiz yang dilantik menjadi imam di sini. Antaranya Sheikh Roslan Abdul Halim-Al-Hafiz (Imam Besar Masjid Zahir), Sheikh Kadri Abdul Hamid Al-Hafiz (Pensyarah Tahfiz), Sheikh Muhammad Idrus bin Ismail Al-Hafiz (Pensyarah Tahfiz), Sheikh Muhammad bin Musa Al-Hafiz (Pengetua Maahad Tahfiz Yayazah Al-Huffaz), Sheikh Usamah bin Muhammad Iqbal bin Sheikh Muhammad (Guru Al-Quran yang mengajar di Al-Quran di dalam halaqah di masjidil haram serta menjadi imam di masjid sekitar bandar Makkah Al-Mukarammah). Selain itu terdapat juga imam-imam muda yang mempunyai bakat dan seni suara dalam mengalunkan bacaan Al-Quran yang mampu menyentuh jiwa bagi mereka yang mentadabbur bacaannya. Antaranya ialah Ustaz Mohd Ersyad bin Abdullah Al-Hafiz (Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan & Antarabangsa) serta Ustaz Abdul Hadi bin Ismail Al-Hafiz (Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2013) dan ramai lagi imam-imam jemputan yang dijemput oleh pihak pengurusan masjid untuk mengimarahkan masjid pada bulan ramadhan kali ini.


Antara kata-kata hikmah yang sempat saya titipkan untuk menjadi pedoman bagi kita sebagai hamba ini adalah…. setiap malam kita diperdengarkan dengan bacaan al-quran 1 juzuk 1 malam. Jika ditakdirkan oleh Allah tiang-tiang dan dinding-dinding masjid ini hidup, tentu sekali akan bergegar jiwa mereka, sebagai manusia yang dikurniakan jiwa dan akal yang sempurna, jika hati kita tidak mampu bergetar apabila mendengar kalimah tuhan yang maha agung, maka kita perlulah munasabah jiwa kita, setakat manakah keimanan kita kepada Allah SWT. Sedangkan Allah berfirman di dalam Surah Al-Anfal Ayat 2 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Begitulah sepatutnya yang diteladani, sebaik-baiknya adalah kita mentadabbur apa yang dibaca, agar hikmah al-quran itu sampai ke dalam lubuk hati kita untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Kesyahduan dan ketenangan dalam solat tarawih terakhir untuk ramadhan 1436H kali ini. Seperti biasa ianya menggamit perasaan sedih dan pilu, adakah masih ada umur untuk bertemu ramadan pada masa akan datang.... apapun sesuai dengan intipati doa qunut yang dibacakan tadi, harapanku biarlah sejahat mana pun kejahatan yang telah dilakukan, biarlah dosa seluas langit dan bumi, ku mengharapkan pada akhir hidupku hanya kalimat tauhid " لا إله إلا الله " mengiringi nafas terakhir dalam mengakhiri kehidupan di dunia ini.......

Ya Allah Jadikanlah kalam terakhir ketika mana pengakhiran ajal kami ialah kalimah لا إله إلا الله

Mudah-mudahan kita semua diizinkan ALLAH SWT untuk bertemu RAMADHAN 1437H plak.. 











1 ulasan:

Telkom University 2 Mac 2024 pada 10:12 PTG  

How has the Ramadan experience this year been different or similar to previous years, considering the unique challenges and blessings it brings?Telkom University

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP