Khamis, 29 Januari 2009

:: Di penghujung 2008 ::

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, dengan rahmatnya, diri ini masih mampu bernafas di muka bumi ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda yang telah menegakkan syiar islam di muka bumi ini sehingga diri ini diberi kenikmatan menikmati kemanisan iman dan islam yang murni.

Sudah lama juga blog ini tidak dikemaskinikan lantaran kekangan masa dan ruang. Berbekalkan sedikit masa yang ada di kala cuti ini, maka bolehlah aku zahirkan sedikit perkongsian sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya.

Program keduaku pada musim cuti ini adalah kesinambungan dari program di Bachok. Namun kali ini, kumpulan sasaran program yang diberi nama KBM-ESQ untuk staf sokongan diadakan di sebuah hotel di Kota Baharu dari 28 – 30 November 2008. Perjalanan dari utara ke timur cukup meletihkan. Namunku tabahkan juga hati untuk terus cekal demi menimba ilmu dan meneruskan perjuangan kepada saudara-saudara seagamaku yang lain.

Aku tiba di bumi serambi mekah ini pada pagi 27/12/2008 dengan disambut oleh seorang saudaraku. SMS yang telah aku hantar semasa aku di Pasir Pekan :

Ke hadapan saudaraku yang driahmati sekalian, yang enak tidur dibuai mimpi indah. Hamba ingin memaklumkan bahawa hamba akan sampai di bumi serambi Mekah pada jam 5 pagi ini.. Sekian saja warkah hamba untuk pagi ini. Maaf kalau menggangu.

Saja je nak bergurau sebenarnya. Menghilangkan rasa bosan atas bas. Sebab itulah aku kirimkan sms ini. Terpaksalah menumpang di rumahnya buat sehari semalam. Layanan mesra yang diberikan oleh keluarga ini menyebabkan diri ini seperti berada di dalam keluarga tersebut. Terima kasih saudaraku. Semoga ada ganjarannya. Selesai solat jumaat aku bertolak ke hotel untuk check in. Berjumpa dengan sahabat-sahabat seperjuangan ini mencetuskan perasaan rindu yang amat sangat. Indahnya sebuah pertemuan apabila perpisahan yang sementara telah dilepasi. Program ini tidak banyak bezanya dengan program seperti di Bachok. Cuma ada beberapa slot ditambah bagi menjadikan program ini sesuatu yang bermakna buat pesertanya. Antara slot yang ditambah adalah lafaz yang tersimpan. Suatu slot yang cukup indah untuk diselami dengan jiwa bagi mereka yang ingin bermuhasabah tentang kasih sayang.

Program ini diserikan dengan kehadiran Pengarah yang mengambil bahagian dalam program ini. Beliau telah berjaya menyampaikan Profesional Talk berkaitan dengan kehidupan. Banyak sungguh nasihat yang telah dilontarkan kepada para peserta. Tidak terkecuali kepada kami para fasilitator. Fikrah islam yang sungguh murni jelas kelihatan dari riak wajah dan tutur katanya. Tidak hairanlah jika dapat aku katakan susah sekali untuk bertemu dengan seorang yang berjawatan tinggi yang hatinya dekat dengan islam. Mungkin aku boleh coretkan dua kisah ringkas yang mungkin diriku ini boleh mengambil iktibar dari keperibadiannya.

Kisah Pertama :
Kejadian ini berlaku semasa sambutan hari kemerdekaan di surau. Program itu adalah Majlis bacaan yassin dan Solat Hajat. Puan pengarah adalah salah seorang daripada tiga orang yang hadir. Aku mengimamkan solat maghrib dengan Puan Pengarah sebagai makmumnya. Selesai solat maghrib, Puan Pengarah menyelak tabir lalu bertanya, mana yang lain, takkan kita bertiga saja. Jawapan ringkas dariku, “Begitulah”. Tiada langsung riak marah pada mukannya. Lantas beliau berkata kepada KJ JAPIM, kita teruskan jugalah ustaz. Tiga orang pun, tigalah. Jangan putus asa. Kuatnya semangat beliau walaupun program ini telah diwar-warkan sebelum ini. Namun, biasalah program keagamaan....

Kisah Kedua :
Kisah yang berlaku sekitar penghujung Ramadan 1429H. Selepas habis saja solat tarawikh, saudaraku Nabil membuat pengumuman bahawa satu Program Qiamullail ntuk menghidupkan malam ramadhan bertemakan “Keindahan Bersamamu” akan diadakan seawal jam 4 pagi. Alhamdulillah, ramai juga jemaah yang hadir sekitar 40 orang. Namun, jika ada anugerah peserta paling awal tentu sekali ia adalah milik Puan Pengarah. Beliau merupakan muslimah yang paling awal tiba di surau iaitu tepat pada pukul 4 pagi. Secara logiknya, jika seseorang manusia itu mudah untuk bangun di awal pagi dengan mudah, maka tidak syak lagi ia adalah tanda bahawa amalan itu merupakan kebiasaan bagi insan tersebut.

Berbalik kepada program KBM-ESQ, puan pengarah menceritakan bahawa dalam hidup ini, beliau hanya mendapat ketenangan yang hakiki dengar melakukan dua perkara iaitu dengan membaca al-quran dan berzikir. Beliau sangat tidak meminati lagu untuk didengar. Alasannya mudah, iaitu beliau mengungkapkan bahawa apabila kita mendengar lagu, secara tidak langsung hati kita turut menyanyi sehingga melalaikan kita daripada mengingati Allah. Tetapi hati yang sentiasa mengingati Allah akan menyebabkan jiwa yang mendengar mendapat ketenangan yang hakiki. Ketenangan yang hanya dapat dinikmati oleh orang yang diberikan Allah penyucian jiwa. Subhana Allah.

Program di Kota Bharu ini berakhir dengan penuh emosi. Yang pastinya meninggalkan kesan yang mendalam ke atas para peserta. Kami yang terdiri daripada fasilitator juga turut menerima tempiasnya apabila pengorbanan kami berakhir dengan pemberian penghargaan oleh para peserta. Para peserta telah bersepakat untuk menyumbangkan kembali segala hadiah yang dimenangi oleh mereka kepada kami. Bukan hadiah yang menjadi keutamaan tetapi hadiah yang paling berharga adalah apabila para peserta berjaya menunjukkan perubahan diri yang ketara dengan berakhirnya kursus ini.

Begitulah berakhirnya program pertama aku di Kota Bharu. Sebelum semua bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing, kami berkampung di rumah Naqibku untuk menjamah hidangan makanan tengah hari. Selesai semuanya berakhir, kami mengambil hala tuju masing-masing untuk pulang ke destinasi. Aku bertolak balik ke kedah pada malam itu juga. Seorang sahabatku, Ahmad Shaher menumpangkan aku buat sementara waktu untuk aku berehat sebentar. Alhamdulillah perjalanan aku ke Stesen Bas berjalan lancar walaupun Kota Bharu terkenal dengan kesesakan jalan rayanya. Saat aku berada di dalam bas teringat kembali segala kenangan 4 hari bersama dengan sahabat-sahabat seperjuanganku. Terasa indahnya suatu pertemuan. Tidak dapat dinukilkan dengan kata-kata. Malam itu jugalah aku enelefon naqibku memberitahu bahawa aku telah selamat berada di dalam bas. Saat melintasi hadapan TESCO mengimbaukan aku kepada seorang sahabatku dan keluarganya yang sudi memberikan bantuan semasa aku transit ke hotel. Inilah antara sms yang aku kirimkan kepadanya:

Salam. Semoga Allah merahmati saudara dan keluarga. Semoga ada sinar kejayaan dan kebahagiaan menanti atas pertolongan yang diberikan. Maha suci Allah yang telah memudahkan urusan saya untuk datang ke Kelantan untuk menimba ilmu.Sampaikanlah salam kasih saya kepada ibu dan ayah saudara. Semoga Allah memberkati mereka semua.

Selesai di program di Bachok, program di Kota Bharu dan menyambut Aidil Adha, Aku meneruskan program kali ini jauh di Malaysia Tengah iaitu Shah Alam. Program PKN 2008 ang diadakan di Shah Alam adalah matlamatnya. Sebelum ke sana, sahabat-sahabatku datang untuk menziarahi aku di Kedah. Mereka bermalam di rumah aku selama 2 malam. Sempat jugalah membawa mereka ke beberapa destinasi di sini. Tidak perlulah aku coretkan kisah ini (sila rujuk :
http://diariseorangsyabab.blogspot.com/2009/01/kembara-iman-bersama-sahabat.htmln-bersama-sahabat.html

Perjalanan kami ke Shah Alam sekali lagi transit di Kuala Kangsar. Kami bermalam semalaman sebelum bertolak ke Shah Alam ada keesokan harinya. Kami tinggal di rumah abangku di Bandar Tasik Selatan. Bagi sahabat-sahabatku yang datang mereka seperti familiar dengan wajah abangku ini. Masakan tidak wajah abangku ini sering kali terpapar di Media Massa terutamanya apabila ada perlawanan bola yang melibatkan negeri Kedah. Kami bermalam di sini selama 2 malam. Alhamdulillah, sepanjang kami berjalan di Kuala Lumpur dan Selangor, tidak banyak masalah yang kami hadapi. Berbekalkan pengalaman dan bantuan abangku, kami semua tidak
menghadapi kesukaran untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju.

Dalam pengembaraan ini juga, kami sempat menziarahi Pusat Rawatan Islam Darussyifa, bangi dan Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut latihan Islam Malaysia serta IPGM Kampus Islam Bangi. Selesai melawat sekitar bandar Bangi, sengaja aku lencongkan perjalanan kami supaya tidak memasuki Lebuh raya Damansara Puchong sebaliknya menggunakan lebuh raya KLIA-Seremban. Inilah masanya untuk mengembara bersama-sama sahabat-sahabatku.

Aku coretkan di sini perjalanan
Program PKN 08. Antara objektif perlaksanaan PKN ialah:1. mengumpul perwakilan dan pengerak KARISMA di seluruh negara bagi tujuan mencari kesepakatan dalam menentukan halatuju dan masa depan organisasi.2. memantapkan penguasaan konseptual pemimpin terhadap segala perubahan strategi serta pelan tindakan alaf baru.3. memupuk kesepakatan dan kerjasama terhadap mencapai matlamat yang jelas terhadap vidi serta misi organisasi.4. mengeratkan ukhuwwah Islamiyyah di kalangan ahli KARISMA.Tema "Pemimpin Berorganisasi, Penggalas Misi" dipilih sebagai penegasan betapa perlunya sebuah barisan pemimpin yang berorganisasi dalam KARISMA yang bersama-sama dengan seluruh ahlinya untuk menggembleng mahasiswa di sekitar kita agar turut sama menggalas misi FIDAK 2015.

Ucapan dasar oleh presiden KARISMA Nasional 2008. Dalam ucapan tersebut, beliau memfokuskan kepada 4 isu utama. Isu pertama, "menggalas visi dan misi". Dalam mengetengahkan isu ini, beliau mengajak hadirin untuk mengamati kembali visi KARISMA yang didokong selama ini iaitu, "Menjadi sebuah gerakan mahasiswa kontemporari yang menjana perubahan kearah tertegaknya syariat Islam di Malaysia." Selanjutnya beliau membincangkan dengan lebih lanjut istilah ’kontemporari’, ’perubahan’ dan ’syariat islam’ serta kepentingan perlaksanaan syariah berdasarkan keadaan semasa di Malaysia terutamanya dari segi peningkatan statistik jenayah. Selain perbahasan ucapan dasar, slot-slot lain yang turut mengisi aturcara PKN kali ini ialah, slot anugerah Karisma, pembentangan laporan KARISMA Nasional dan pembentangan laporan kewangan. PKN ditutup dengan acara perletakan jawatan KARISMA Nasional 2008 dan pengumuman jawatankuasa KARISMA Nasional 2009.

Dengan berakhirnya program kami di Shah Alam, maka berlabuhlah tirai 208 dengan segala aktiviti yang dirancang. Moga masih ada sinar lagi untuk ka
mi semua mengikuti program-program seumpama ini di masa akan datang. Kami bertolak pulang ke Kelantan dan aku bermalam selama 5 hari di rumah sauadaraku di Bachok. Alhamdulillah. Segala puji itu hanya bagi tuhan sekalian alam yang telah menjadikan manusia, mengajarkan manusia dan memberikan rahmatnya kepada manusia untuk terus mengabdikan diri kepadanya.

P/S : Penulis mewakili keluarga di Utara dan Keluarga abang penulis di KL, memohon maaf jika terdapat ketidaksempurnaan atau ketidakselesaan di atas layanan semasa sahabat-sahabatku berkunjung menjadi tetamu di rumah mereka. Sekadar itu saja yang mampu kami berikan.

0 ulasan:

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP