:: Dendam Membara...... ::
Dendam berpunca daripada
marah. Ia merupakan perasaan yang disimpan dalam hati untuk membalas kejahatan
seseorang dengan kejahatan yang serupa atau lebih daripada itu. Orang yang
berdendam berazam untuk membalasnya ke atas seseorang yang melakukan kejahatan
kepadanya. Sekiranya dia tidak dapat membalas kejahatan kepada orang yang
dibencinya, dia akan membalasnya kepada sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan
orang yang dibenci itu seperti anak, saudara mara dan kroninya.
Sebenarnya dendam menyebabkan hilang
ketenangan jiwa. Ia lebih menyusahkan diri kerana fikirannya rungsing, tidurnya
tidak nyenyak, pekerjaannya tidak menjadi dan hatinya tidak tenteram selagi
dendamnya tidak terbalas. Dendam bukanlah sifat sebenar orang yang beriman. Orang
yang beriman sepatutnya memenuhi hatinya dengan menyayangi manusia lain.
Jika anda dizalimi atau
teraniaya, maka kezaliman itu sememangnya amat pahit untuk ditelan. Namun jika
anda redha menerimanya dengan hati yang bebas daripada dendam kesumat, maka ia akan
memberi kebaikan kepada anda. Sekiranya anda berpegang kepada hakikat bahawa
orang yang zalim pasti menerima balasan daripada Allah yang Maha Adil, maka
anda tidak akan menghabiskan masa untuk memikirkan tindakan kepada penzalim dan
kroni- kroninya. Sebaliknya, kehidupan anda diteruskan seperti biasa, seolah-
olah tiada apa yang berlaku ke atas anda.
Sekiranya anda berdendam,
maka sebahagian masa dan hidup anda akan sibuk dengan perancangan membalas
dendam. Anda berazam suatu masa nanti, anda akan berbuat sesuatu untuk
menyusahkan individu- individu yang anda dendam. Jika anda tidak membalasnya
kepada mereka, maka individu- individu yang mempunyai kaitan dengan mereka
menjadi sasaran anda.
Jalan yang terbaik adalah
dengan melupakan sahaja niat untuk membalas dendam. Anda akan menjadi manusia
terbaik apabila membalas kejahatan seseorang dengan kebaikan. Musuh anda itu
pasti akan terkejut dengan kebaikan anda. Lama kelamaan dia akan berbaik- baik
dengan anda dan meminta maaf kepada anda. Anda pula bersedia melupakan
kejahatannya kepada anda. Oleh itu janganlah berdendam. Biarlah orang buat
jahat kepada anda tetapi anda tidak berniat untuk membalasnya.
Read more...