Ahad, 18 Julai 2010

:: Bingkisan Hati Dariku Selama Menyepi ::

Salam pertemuan. Salam kehormatan ke atas pembaca blogku ini. Rasanya sudah lama aku tidak mengemaskini blog ini dengan coretan-coretan semasa. Namun, hatiku tergerak untuk kembali meluahkan apa yang terbuku di hatiku selama ini. Tidak lupa juga, selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad SAW dan sekalian para sahabat yang telah membawa sinar dan nur islam sehingga ianya menyinggah masuk ke dalam diri.

Penempatan (Posting)

Mari kita lihat sejenak ke belakang. Alhamdulillah, setelah lama aku berhempas pulas untuk menghabiskan sesi pengajian akademikku dalam bidang pendidikan, maka saat yang paling ditunggu adalah mendapat tahu dimanakah aku akan ditempatkan untuk mengajar dan mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna. Dan Alhamdulillah, aku ditempatkan di sebuah negeri di sebelah utara, negeri yang suatu ketika dulu terkenal dengan jelapang padinya. Mengetahui negeri manakah aku ditempatkan tidak bermakna itulah adalah pengakhiran kepada pertanyaanku selama ini. Banyak lagi persoalan yang tertanya-tanya di daerah manakah aku akan ditempatkan? Di sekolah mana pula aku akan ditempatkan. Dan akhirnya satu demi satu persoalan terjawab. Ya Allah…. Sesungguhnya aku bersyukur di atas nikmatmu ini…. Rasanya sudah cukup banyak nikmat yang telah diberi…….. tetapi adakah aku telah bersyukur sebagaimana banyaknya nikmat yang telah engkau kurniakan kepadaku. Ramai juga yang tertanya-tanya bagaimanakah aku boleh mendapatkan negeri yang diidamkan oleh ramai orang ini….. Pelbagai spekulasi mula timbul. Antaranya adalah :

1) “Bolehlah dia dapat situ, dia banyak kabel. Tentu dia guna kabelnya ……”

2) “Mungkin dah rezeki dia disitu…….”

Kepada para sahabatku, renunglah balik kepada dua unsur ini iaitu manusia dan Allah. Siapakah diantara keduanya ini yang lebih kita harapkan apabila membuat keputusan. Jawapannya, terpulang kepada individu itu sendiri. Namun bagiku, aku lebih memilih Allah dalam membuat keputusan tentang sesuatu. Dan setiap kali aku selesai solat, antara doa yang akan aku baca adalah. “YA ALLAH, ENGKAU TEMPATKANLAH AKU DI TEMPAT YANG AKU BOLEH MENYESUAIKAN DIRI DENGAN PERSEKITARANNYA”. Itu serba sedikit tentang posting (penempatan)

Berkatnya Rezeki

Sering kali semasa aku di kampus dahulu, aku sering ditanya tentang hukum sesuatu perniagaan atau pelaburan. Dan daripada banyaknya soalan yang aku terima, kebanyakkan jawapannya adalah lebih baik kita menjauhinya bimbang berlakunya syubahat yang boleh menjerumuskan kita ke arah dosa. Namun, aku banyak mendapat berita bahawa kejadian melabur tanpa menghiraukan halal haramnya sesuatu pelaburan itu semakin menjadi-jadi. Antaranya, memasuki pelaburan yang telah dijamin keuntungannya (tetap pendapatan). Selain itu, ada juga yang bermain forex. Dilaburkan dengan sedikit wang dan dalam masa seminggu saja boleh untung sehingga RM 1500. Wow…… Memang lunaknya hati ini mendengar wang sebanyak itu. Namun sahabat-sahabatku, fikir-fikirkanlah bahawa antara tempat yang perlu kita jumpa sebelum disoal oleh Allah di Mahkamah Rabbul Jalil adalah alam Kubur. Alam kubur adalah tempat persinggahan sementara (transit) untuk kita menghadap Allah. Ingatlah di alam kubur nanti kita hanya disoal oleh Malaikat saja. Ingatlah antara soalan-soalan yang akan ditanyakan oleh malaikat-malaikat tersebut adalah tentang punca wang kita milki. Sahabat-sahabatku, berfikirlah sejenak. Alam dunia ini hanya fana yang sementara. Cantiknya memang membuatkan kita tertawan. Indahnya dunia membuatkan kita lupa akan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan Allah kepada kita. Dan seringkali aku ingatkan juga. Kebahagian kehidupan seseorang itu bukanlah bergantung kepada banyaknya wang yang dimiliki, harta yang telah dikumpul. Namun kebahagiaan yang sebenar datangnya dari Allah SWT. Ingatlah setiap rezeki kita yang datang dari benda yang haram, maka api nerakalah yang lebih utama baginya.

Sahabat-sahabatku…… Beralihlah dari perbankan konvensional kepada perbankan islam, dari pinjaman peribadi kepada pembiayaan peribadi islam, menjauhkan diri dari melabur di dalam skim-skim MLM yang banyak mempunyai unsur penipuan dan sebagainya. Perbanyakkanlah sedekah, menginsafi akan betapa banyak nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Di antara ciri orang yang bahagia adalah sikitnya nikmat yang dikurniakan kepadanya, namun perasaan syukur itu lebih banyak dari nikmat yang diterima.


Alhamdulillah juga, Allah telah memudahkan perjalanan hidupku dengan dalam proses perlantikan ke jawatan dalam perkhidmatan awam. KISSM lulus dan temu duga juga sudah lulus. Ya Allah, janganlah engkau menarik balik nikmat yang telah engkau kurniakan kepadaku selama ini. Engkau tetapkanlah hatiku di atas agama islam yang suci ini.


Memanusiakan Manusia

Antara perkara penting yang perlu ada pada seseorang muslim yang mukmin adalah dengan memperkaya dan memperkasakan diri dengan ilmu-ilmu islam yang utama. Kebanyakan ilmu ini boleh diperolehi dengan mudah jika kita rajin untuk mencari masjid-masjid yang aktif. Alhamdulillah, betapa suburnya kuliah pengajian agama di sini. Boleh dikatakan kuliah pengajian agama di sini disusun dengan terancang dan sistematik. Di antara kuliah yang dihadiri adalah Kuliah Tafaqquh Fi Din, Kuliah Kitab Fiqh Al-Awlawiyat, Kuliah Tafsir Al-Quran, Kursus Haji bersiri, Seminar pemantapan akidah, Kelas bahasa arab, kelas perubatan islam dan banyak lagi.

Sahabat-sahabatku, melalui ilmu agamalah manusia dapat menjadikan dirinya manusia yang tulen. Melalui agamalah manusia dapat mengenal diri dan perwatakan sebagai seorang muslim. Agamalah yang akan memandu manusia ke jalan kebenaran. Sesungguhnya pada agama itulah terletak segala-galanya.


Keletihan Yang Teruji

Memang benarlah kata Ulama bahawa dunia ini cukup meletihkan jika kita mengejarnya. Namun, pernah tak kita terfikir bagaimana untuk menjadikan keletihan yang ada didunia ini dengan kerehatan yang abadi di alam akhirat sana??? Biarlah semasa kita diatas dunia ini kita letih, tetapi janganlah apabila kita masuk ke alam barzakh, tempat persinggahan sementara menunggu hari perhitungan kita juga terpaksa berletih-letih untuk menjawab soalan-soalan oleh malaikat Mungkar dan Nangkir.

Sahabat-sahabatku, kita telah ditakdirkan oleh Allah lahir diatas dunia. Dan diatas dunia jugalah kita akan menempuh segala-galanya, baik perkara yang baik mahupun jahat, kurniaan atau musibah dan akhir sekali mautlah yang akan menjemput kita. Masih terngiang-ngiang di telinga ini satu khutabh yang dibawakan oleh Sheikh Amer Al-Mohalhal, Imam dan Khatib di Riyadh, Arab Saudi tentang kematian. Dalam khutbahnya beliau telah mengingatkan bahawa

“ Maut itu tidak mengenal sesiapa. Baik Kecil atau besar, tua atau muda, kaya atau miskin, sihat atau sakit dan berpangkat atau hamba. Maka ingatilah mati itu sebagai pengajaran yang terbaik buat kamu semua.”

Ya. Mati itu adalah benar. Dan dengan mengingati mati hati kita selalunya akan menjadi tenang. Dan untuk tahun ini aku telah kehilangan dua orang yang begitu dekat dengan aku. Kehilangan pertama adalah 2 hari sebelum cuti penggal pertama persekolahan bermula dan yang keduanya adalah pada 11 Julai yang lalu. Kedua-dua insan ini banyak berjasa dan memberikan aku semangat untuk meneruskan kehidupan ini.

Insan yang pertama itu adalah ibu saudaraku, Allahyarhamah Norashikin Binti Salleh, seorang guru di sebuah daerah di Perak. Meninggal dunia kerana penyakit bengkak hati. Dan pemergiannya meninggalkan suami yang tercinta dan seornag anak. Walaupun baru berusia 36 tahun, namun telah ditakdirkan bahawa itulah saat dan peluang yang telah Allah berikan kepada beliau. Dan makcikku inilah juga yang menjadi penjamin semasa aku menandatangani borang biasiswa pendidikan persekutuan. Tanpa penjamin, agak sukar bagiku untuk mendapatkan biasiswa ini. Kematiannya pada pukul 4 petang agak menguji fizikal kerana terpaksa membelah ombak untuk menziarahi jenazahnya di Pendang, Kedah. Semoga Allah memberikan pengampunan diatas dosanya dan memberi balasan yang setimpal dengan segala kebaikan yang telah beliau berikan.

Dan kematian yang kedua ini lebih dekat kepadaku. Walaupun tiada talian persaudaraan, namun ianya bukanlah halangan dari kita untuk menyayanginya. Beliau ialah Allahyarham Kamarolzaman bin Yusof. Seorang anggota polis dari perlis dan sudah menetap lama di Alor Setar. Juga merupakan ayah kepada sahabatku dari Sekolah Menengah. Begitu tragisnya pemergiannya. Tiada pembelaan dari kita yang kononya prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan. Sebelum kita menginjak lebih jauh, marilah kita flash back sebentar dengan satu kejadian ini yang heboh diperkatakan. Bukanlah aku ingin menaikkan emosi sesiapa tetapi sekadar pengajaran buat kita berfikir betapa kadang-kadang dalam kes-kes pembelaan kita masih memilih.

Sahabat-sahabatku, Adik Aminurrasyid yang heboh dikatakan telah ditembak oleh polis begitu mendapat perhatian dari semua media dan masyarakat. Dari pemimpin atasan dan bawahan serta dari ssegenap lapisan masyarakat. Semuanya menuding jari kepada poliss sehingga semuanya menyalahkan polis itu. Ya. Benar. Kita tidak tahu apakah itu suatu kesengajaan atau kemalangan. Namun isu ini begitu mendapat tempat di hati masyarakat. Pelbagai pihak tampil untuk membantu. Tidak kira dari segi kewangan atau guaman. Namun, polis yang didakwa menyebakan kematian, siapakah yang membelanya?

Begitulah juga dengan ayah sahabatku ini. Beliau telah dilanggar lari oleh manusia yang berhati durjana. Dilanggar sehingga tempurung kepala pecah dan koma selama seminggu sebelum menghadap penciptanya pada petang 11 julai 2010. Meninggalkan anak-anak yang entah siapa akan membelanya. Untuk pengetahuan sahabat-sahabatku, anak sulung beliau ialah sahabat baikku. Pada bulan Mei 2008 yang lepas ibunya telah menghadap illahi, kini ayahnya pula. Semasa kematian ibunya, beliau memerlukan masa sehingga 3 bulan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun semasa itu, beliau masih mempunyai ayah. Namun 11 julai lalu tinggalah beliau dengan 4 orang adiknya. Terpaksalah beliau berkorban masa menguruskan adik-adiknya sehingga berjaya.

Sahabat-sahabatku, Alhamdulillah tuhan masih menyayangi aku sebagai manusia. Aku masih diberikan deria firasat yang tinggi. Disebabkan kekangan masa dan jarak, aku hanya sempat untuk menziarahi sahabatku ini dan ayahnya di ICU Hospital Tengku Fauziah (HTF) Kangar pada petang 10 Julai. Itupun setelah aku sudah menunaikan solat zuhur. Mataku tidak boleh terpejam lena. Betapa kuatnya ingatan aku kepada ayah kawanku ini. Aku mengambil keputusan segera untuk menziarahinya juga pada hari ini walau apapun rintangan yang bakal aku hadapi. Dari sinilah bermulanya keletihan yang bakal aku hadapi selama 3 hari. Pada 10 Julai aku menaiki feri dari Kuah ke Kuala Perlis pada jam 4 petang. Aku dibantu oelh seorang lagi sahabatku untuk menyediakan kemudahan pengangkutan semasa aku berada di Perlis. Jam 5 petang aku terus ke HTF dan sempat melihat keadaan ayahnya yang masih tidak sedarkan diri. Walaupun letih, aku masih setia untuk menunggu sehingga jam 12 Tengah Malam sebelum aku balik ke Alor setar untuk tidur. Sempat aku membawanya makan di kedai makan berhadapan hospital bagi menghilangkan perasaan duka dan sedih beliau. Jam 12 lebih aku terpaksa mengalah dengan keadaan. Aku terpaksa balik ke Alor Setar kerana aku akan bekerja pada petangnya.

Pada pagi 11 julai iaitu jam 9.30 pagi aku menaiki feri untuk pulang ke langkawi. Tengahari nanti aku ada mesyuarat Hari Anugerah Cemerlang. Selesai semuanya, aku merasakan tidak dapat memberikan perhatian kepada pengajaranku. Dan Sesudah solat zuhur kira-kira jam 4 petang aku mendapat panggilan dari sahabatku bahawa ayahnya telah meninggalkan dunia. Ya Allah, sekali lagi aku terpaksa membuat keputusan sama ada untuk pulang atau tidak. Sahabatku ini tidak mempunyai saudara mara di Kedah. Saudara mara mereka semuanya berada di Selangor dan Johor. Setelah difikirkan dengan mendalam, aku mengambil keputusan drastik untuk terus pulang ke Perlis bagi menguruskan jenazah ayah sahabatku ini. Mujurlah guru besar aku begitu memahami keadaan yang aku terpaksa hadapi. Borang cuti pun hanya aku isi sekembalinya aku semula ke sini.

Jam 5 petang aku bergegas pulang ke rumah. Terpaksalah membuat pecutan dengan keretaku. 130km/j juga aku memandu bagi memburu masa yang semakin suntuk. Alhamdulillah, aku berjaya mendapatkan tiket feri pada pukul 6 petang. Aku sampai pada pukul 7.15 petang. Sewaktu itu, jenazah allahyarham telah dibawa dari HTF ke kompleks perumahan polis untuk dimandikan serta dikafankan di situ. Pelbagai kejadian berlaku disini, sehingga memerlukan campur tangan Ketua Polis Daerah untuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit. Antaranya sama ada jenazah perlu dibedah siasat atau tidak, di mana arwah akan dikebumikan, di kampungnya di sungai buloh atau disebelah pusara isterinya di johor. Alhamdulillah segala kekusutan itu dapat diselesaikan dengan bantuan Ketua Polis Daerah.

Sejurus selesai solat maghrib aku pulang ke Alor Setar bagi mengambil kenderaan untuk bersama-sama mengiringin jenazah ke Sungai Buloh, Selangor. Aku memandu sendirian dari Alor Setar hinggalah ke Susur keluar Bidor. Sepatutnya aku berkonvoi dengan dengan diiringi polis Perlis. Namun, disebabkan ada kami terpkasa menunggu beberapa polis yang tertinggal, jadi kami terpaksa membiarkan konvoi yang lain pergi dulu. Malam tu speed jugaklah keretaku itu sehingga mencecah 140km/j. Dan Alhamdulillah kami sempat mengejar kereta polis sebelum susur keluar Bidor. Dan dari Bidor Ke Sungai Buloh aku berasa lega, kerana aku telah konvoi bersama dengan polis. Sampai saja di Sungai Buloh kami dibantu oleh MPV dari Balai Polis Petaling Jaya. Kami sampai lebih kurang jam 4 pagi.

Alhamdulillah. Urusan pengebumian selesai dijalankan pada pukul 9 pagi dan berakhir sejam kemudian. Selesai saja urusan pengebumian, aku dan beberapa rakanku menginap di Apartment sahabatku yang menetap di Kepong. Dan Alhamdulillah seorang dari ibu angkat (mak tengku, kerabat diraja kedah) kami yang begitu baik dengan memberikan bantuan membelanja kami makan sepanjang kami berada di sana. Dan petang 12 Julai itu, kami meminta diri untuk pulang ke Alor Setar. Sebelum berpisah sempat aku berpesan kepada sahabatku itu supaya tabah menghdapai dugaan yang melanda. Sesungguhnya ini semua adalah suratan takdir yang telah ditetapkan keatas kita. Janganlah berasa lemah semangat, keranah di bahunya sekarang sumber kekuatan adik-adiknya yang masih kecil. Walaupun telah kehilangan ibubapa, aku sebagai sahabatnya akan cuba membantu sahabatku ini untuk menguruskan adik-adiknya. Kepada sahabatku Akmal, segala kesulitan itu kadang-kadang menyebabkan kita lebih matang dalam kehidupan, musibah yang datang menguji ketabahan kita, dan segala-galanya telah diaturkan oleh Allah yang telah menciptakan kita. Dan Alhamdulillah aku selamat sampai ke Kedah pada jam 4 Pagi.

Walaupun sahabatku ini terpaksa extend final semester beliau pada pengajian peringkat Master, tetapi itulah pengorbanan yang terpaksa beliau ambil demi kasih saying kepada adik-adiknya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Memang benarlah kata orang, ujian yang dating dan berlalu memerlukan semangat dan ketabahan yang tinggi untuk kita menghadapinya.

Sahabat-sahabatku, Ingatlah suatu perkara@kisah tentang kematian. Walaupun dhoif dari segi sanad, namun kita boleh mengambil pengajaran darinya. Kisah di mana apabila Saidatina Fatimah, puteri kesayangan rasulullah wafat. Semasa sampai di kubur pada waktu malam, seorang sahabat telah berkata kepada kubur. Wahai kubur, sebentar lagi engkau akan menerima jenazah puteri kesayangan rasululllah. Engkau jagalah ia baik-baik. Lalu, dengan izin Allah, kubur itu berkata, Wahai manusia, sesungguhnya kami kubur tidak pernah membezakan sesiapapun yang masuk ke dalamnya. Semuanya bergantung kepada amalannya semasa di atas dunia. Maka, para sahabat menangis dan berkata ketika mana manusia mati maka kubur akan berkata. Nah, sekarang kau saksikanlah bahawa duniakah yang meninggalkan kamu atau kamu yang meninggalkan dunia?


Mengakhiri Kalam ini..........

Ntah bagaimana lagi yang aku ingin katakan. Rasanya terlampau banyak nikmat dunia yang telah Allah kurniakan kepadaku. Antara benda yang menyebabkan hati aku sentiasa menangis pada malam hari adalah ketika mana aku menghadiri kelas bahasa arab pada setiap minggu di masjid Al-Hana. Ada seorang pelajar wanita ini sangat menyentuh hatiku. Beliau hanya berbasikal saja untuk menimba ilmu bahasa arab ini dalam keadaan susah payah. Walaupun hujan atau terlewat beliau masih juga mengagahi dirinya untuk ke kelas bahasa arab. Ketika itulah aku terkenang betapa tuhan telah banyak memudahkan perjalanan hidupku. Dan jika Allah menarik balik nikmat itu, ntahlah apa yang akan terjadi.

Sahabat-sahabatku, kita sebagai manusia dikurniakan hati sebagai suatu alat untuk membimbing diri kita melakukan perkara yang diredhai oleh Allah SWT. Ketenangan itu berada di hati kita. Jika bersih hati itu, maka ketenanganlah yang ia akan pancarkan. Persoalan saya pada anda. Siapakah manusia yang paling tenang hatinya kalau bukan Nabi Muhammad s.a.w? dan bukankah sepanjang hayat baginda hanya berlegar di padang pasir. Tidak pernah baginda menyelam ke dasar lautan pasifik melihat keindahan hidupnya. Tidak pernah baginda menjelajah hingga ke eropah atau asia tengah;bumi yang penuh dengan flora dan fauna yang kita idam-idamkan peluang untuk kesana. Ramai yang menyangka bahawa dengan pergi ke tempat-tempat seperti itulah ketenangan dapat diperolehi dan kebahagian dapat dikecapi. Namun hakikatnya ketenangan itu wujud di mana-mana pun, tapi ia sebenarnya berada dalam hati.

Walau di mana sekalipun kita berada ketenangan itu sangat dekat dengan kita. Walau hidup kita di dalam gua yang tertutup tanpa cahahya atau hidup di kelilingi dengan hiruk-pikuk kesibukan kotaraya, ketenangan itu tetap dapat di perolehi. Kerana syarat untuk tenang itu bukannya ke pantai, ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat ketenanganitu ialah mengingati tuhan. Maksud firman Allah; “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan mejadi tenang.”

Maafkan aku wahai sahabat, jika tulisan ini terlampau panjang untuk dibaca, terlalu rumit untuk ditafsir dan terlalu mendalam untuk difahami. Ini saja yang dapat aku kongsikan untuk para pembaca blogku ini. Semoga ia bermanfaat untuk menjadi pengajaran yang berguna pada diri kita. Salam perjuangan, Salam Satu akidah. Semoga kita semua mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Wassalam.

:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik Dari Banyak Yang Melalaikan ::

Alhaqir Ila Allah
Pohon Yang Berguna
18 Julai 2010
12.54 Tengahari

4 ulasan:

Math Teacher 10 Ogos 2010 5:34 PTG  

teruskanlah perjuangan saundara moga beroleh berkat dan rahmay drpdnya.

Hans 30 September 2010 9:14 PG  

subhanalah.. panjang perjalanan enta yg dikongsi... moga segalanya dlm berkah ilahi..
wah.. seronoknya dapat belajar bahasa arab.. untung dirimu ya akhi..
teruskan usaha memenuhkan hati denga ncahaya ilmu, biar ia menerangi org disekelilingmu.. akhlak yg baik padamu seperti bunga... cantik dilihat org, moga2 cntik juga dari sisi pencipta...
salam rindu dr sahabat..hans87

Ariff @ Clever 2 Januari 2011 11:23 PG  

Semoga kehidupan kita semua berada dalam keadaan yang baik...

Tanpa Nama,  23 Januari 2011 7:09 PTG  

Apa yang posting bagus. Saya sangat suka membaca jenis atau artikel. Aku bisa? T menunggu untuk melihat apa yang orang lain katakan..

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP