Isnin, 12 Oktober 2009

:: BELANGSUNGKAWA : AL-FATIHAH UNTUK USTAZ NOH BIN IDRIS ::

“ (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

Surah Al-Baqarah : Ayat 156



“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.”

Surah Al-Imran: Ayat 185-186.



"Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun,”

"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang menghadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);”

Surah Asy-Syu`araa’ : Ayat 88-89



Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

Surah Al-Mulk : Ayat 2



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, segala puji itu hanya bagi Allah, tuhan sekalian alam, sebagai pujian yang mendatangkan segala nikmatnya dan mendapat balasan yang berlipat kali ganda darinya. Ya tuhan kami, bagi engkau segala puji-pujian yang selayak dengan kebesaran zat engkau dan juga kebesaran pemerintahan engkau, rahmat dan salam sejahtera ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w dan di atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.



Hari ini, 12 Oktober 2009 menjadi saksi kepada kemuncak kesedihan yang menyelubungi hati ini. Tatkala menantikan majlis perasmian Ulang tahun Ke-10 IPGM Kampus Sultan Mizan oleh YB Dr Hj Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, aku mendapat berita sedih dari sahabat dari IPGM Kampus Islam, Bangi tentang berita pemergian Ustaz Noh Bin Idris ke Rahmatullah (Meninggal lebih kurang 8.30 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah kerana Stroke). Terasa sebak meniti di hati, bagaikan luruh segala petala bumi, mengenang ustazku ini. Seorang yang banyak jasanya dalam perkembangan diriku ini. Melalui beliaulah aku banyak belajar tentang ilmu fikah dan ibadat, bahasa Arab, fikrah manusia dan cara pentarbiyahan manusia. Insya-Allah, jenazah beliau akan dikebumikan di Kampung parit panjang selepas Asar ini.



Untuk makluman pembaca, Ustaz Noh merupakan guru Bahasa Arab Tinggi ku dari Tingkatan 4 dan 5. Banyak jasa beliau telah kepadaku terutamanya dalam membolehkan aku menguasai Bahasa Arab dengan lancar. Walaupun, tidak dibayar gaji atau elaun lebih masa kerana mengajar aku bahasa Arab (Masa aku di tingkatan 4 dan 5, aku ambil subjek sains tulen, bahasa Arab adalah mata pelajaran tambahan yang aku ambil dan tidak dimasukkan dalam jadual waktu induk sekolah). Beliau sanggup bersengkang mata memandu ada waktu malam walaupun kadar penglihatannya merosot (beliau memakai cermin mata yang paling tinggi powernya), selain aktif dalam mengajar agama di beberapa buah masjid di negeri kedah. Beliau juga merupakan pakar rujuk bahasa Arab kepada ustaz-ustaz dan ustazah di sekitar daerah Kota Setar. Beliau juga aktif menyampaikan motivasi kepada sekolah-sekolah tentang kepentingan bahasa Arab kepada insan yang bergelar Muslim.



Seperti biasa, setiap kali cuti sekolah, kami bekas anak-anak muridnya akan menziarahi beliau. Dan 3 minggu lepas, adalah pertemuan aku yang terakhir berjumpa dengannya (Ziarah Raya dengan Mohd Sharil – Pelajar Semester 6 Bahasa Arab IPGM Kampus Islam). Kelihatan seperti biasa. Masih sihat dan bertenaga. Masih mampu menyampaikan kuliah pengajian agama di masjid. Sungguh indah pertemuan itu, apabila ustaz ada menyebut dia ingin berehat dengan sebaik-baiknya dalam masa 3 tahun lagi jika diberikan kesempatan usia untuk berkhidmat sebagai seorang pendidik. Rupanya 3 tahun yang diungkapkan itu menjadi Kinayah (Perbandingan) kepada 3 minggu lagi kehidupannya di atas muka bumi ini. Sungguh sedih sekali mengenangkan akan semua ini.



Apa yang aku kagumi adalah semangat kentalnya yang tidak mudah mengalah. Beliaulah yang berjaya menghidupkan seterusnya menggerakkan hatiku untuk terus belajar bahasa Arab. Beliau berkata yang benar dalam meletakkan hukum walaupun tidak berapa digemari oleh sesetengah pentadbir.



Dilahirkan dalam keluarga yang berlatar belakangkan agama. Lahir di Kampung Parit Panjang, Tokai, Pendang. Kesemua abang-abangnya adalah guru agama di sekolah agama rakyat. Salah seorang abangnya yang terkenal adalah Ustaz Majid, Pengasas pondok di Tobiar, Kubur Panjang. Namun, kesemua abang-abang beliau meninggal dunia dalam usia yang muda sekitar pertengahan 40 tahun usia. Ustaz Noh juga adalah antara tenaga pengajar di Pondok Pak Majid. Sekarang ni Pondok Pak Majid telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk dijadikan salah satu cawangan Maahad Mahmud Daerah Pendang.



Meneruskan pengajian ke peringkat pengajian hadis di India bersama dengan Al-Muhadith Maulana Muhammad bin Zakaria dan Khatam pengajian Sunan as-Sittah ( 6 buah kitab hadis yang terkenal iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Ibnu Majjah, Sunan At-tarmizi, Sunan Abi Daud dan Sunan An-Nassai). Namun disebabkan ijazahnya tidak diiktiraf di Malaysia, maka beliau berangkat pula ke Mesir dan meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dalam pengkhususan Syariah. Di sinilah beliau banyak mempelajari ilmu-ilmu Islam terutamanya Ilmu Fiqh, Bahasa Arab, Usuluddin dan Al-quran. Sekembalinya ke Malaysia beliau telah berkhidmat sebagai guru bahasa Arab dan pendidikan Islam di sekolah-sekolah kerajaan. Dan di SMK Syed Mohamed Al-Bukhary lah takdir tuha telah menemukan aku dengan ustaz Noh. Walaupun dia mengajar aku hanya pada tahun 2002 dan 2003, namun hubungan kami sebenarnya telah bermula sejak tahun 1999 lagi. Dan kesungguhan beliau mengajar menyebabkan aku terasa berkatnya ilmu beliau. Dan pada tahun 2006 beliau telah bertukar ke SMK Syed Omar. Dan dalam usianya 53 tahun, beliau telah pergi dahulu menghadap sang penciptanya. Bagaikan Mutiara kehilangan Permata, Bagaikan bulan kehilangan purnama, bagaikan mentari kehilangan teriknya, bagaikan bintang kehilangan sinarnya, bagaikan laut kehilangan ombaknya, bagaikan hutan yang kehilangan rimbanya, begitulah aku yang aku rasai. Betapa luluhnya hatiku ini mengenang seorang yang aku anggap sebagai ayahku sendiri telah pergi meninggalkan aku. Kepada Ustazah Fatimah, tabahkan semangat dalam menghadapi ujian ini. Moga Allah mencampakkan sinar ketenangan ke dalam hati ustazah dan ahli keluarga. Semoga segala ilmu yang dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Insya-Allah pada kesempatan di masa cuti yang akan datang, kami akan melawat ustazah bagi menyampaikan salam takziah.



Buat semua anak-anak muridnya, marilah sama-sama kita mendoakan kebahagiaan beliau. Tanpa beliau, mungkin kita tidak akan menguasai bahasa arab dengan mudah. Semoga Allah memakbulkan doa kita untuk kesejahteraan ustaz.



Nabi s.a.w amat menggalakkan kita untuk menziarahi kubur dengan sasaran untuk lebih mengingati kematian. Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menziarahi kuburnya dan berdoalah serta ingatlah akan kematian itu pasti. Kematian itu menuntut PERSEDIAAN. Persediaan menuntut kepada ILMU, ilmu menuntut kepada AMAL, dan amal menuntut KEIKHLASAN.



Bagaimanakah nanti keadaan kita ketika hari kematian...masanya belum diketahui namun ia adalah sebuah pemergian yang akan datang. Sama-samalah kita berusaha dan bersedia, kerana ia adalah satu pemergian yang tiada peluang ulangan. Hidup adalah sebuah exam yang gagalnya tiada ruang untuk mengulang. Nauzubillah.



Begitulah sedikit coretan ringkas mengingati keterkaitan saya dengan Allahyarham. Akhirnya, saya berdoa kepada Allah swt agar memberikan belas, rahmat dan ihsan terbaik buat almarhum serta mengurniakan keampunan atas segala jenis kesilapan yang dilakukannya.Allahyarham Ustaz Noh Bin Idris (1956 - 2009). Sesungguhnya dari Allah Kita datang dan kepada Allah Jualah kita kembali. Al-Fatihah.



Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami, kerana dialah penjaga urusan agama kami,


Perbaikilah bagi kami duni kami, kerana di dalamnya kami hidup,


Perbaikilah bagi kami akhirat kami, kerana ia tempat kembalinya kami,


Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan terhadap segala kebaikan,


Dan jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghabisannya,


Dan sebaik-baik amal kami adalah penutupnya,


Dan sebaik-baik hari bagi kami adalah hari kami berjumpa dengan mu.


Ya Allah, kami memohon kepadamu kehidupan yang tenteram, kematian yang tenang dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan membuka aib.


Ya Allah, perbaikilah akhir hayat kami dalam segala perkara dan selamatkanlah kami dari kenistaan hidup di dunia dan seksaan di akhirat.



Renung-renungkanlah....


:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::


Pohon yang berguna


12 Oktober 2009


23 Syawal 1430H


1.23 Petang

3 ulasan:

Tanpa Nama,  12 Oktober 2009 3:53 PTG  

takziah...muge arwh dcucuri rhmatnya..
sedih brpnjngn tak mrubh ape2..
redha dan salam doa dititpkn adalah sebaik2nya..

Tanpa Nama,  16 November 2009 2:01 PTG  

info yg lebih mengenai autobiografi ustaz Noh dapat ditimba di sini. terima kasih saudara blogger....

Tanpa Nama,  20 Mei 2015 7:57 PTG  

Al fatihah utk allahyarham baba

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP