Khamis, 22 April 2010

:: Allah Tidak Menjanjikan Hidup Ini Tidak Pernah Susah ::


Seorang Eksekutif muda yang berjaya sedang memandu disebuah perkampungan di pinggir Bandar. Ia memandu agak laju dengan sebuah kereta Waja yang berprestasi tinggi yang baru sahaja dibelinya. Sambil ia memandu perlahan-lahan ia sedang memerhatikan seorang anak kecil dicelah-celah kereta yang diletakkan ditepi jalan, ia memperlahankan keretanya untuk melihat sesuatu yang difikirkannya.


Seelok-elok sahaja kereta Waja tersebut melintasi kawasan tersebut; anak kecil tidak kelihatan tetapi seketul batu dilontarkan tepat mengena pintu disebelah kanan kereta Waja tersebut.


Apalagi Eksekutif muda tersebut menekan brek sekuat hatinya dan berundur ke tempat dimana Anak kecil tadi berdiri. Dengan marahnya dia keluar dari kereta terus meluru ke arah Anak kecil, menarik tangan anak kecil dan menghempasnya ke kereta yang terletak ditepi jalan dan terus memarahi Anak kecil tadi :

Kita selalu kasar... siapa kita ?
" Apa ni ? Siapa awak ? dan apa ke jadahnya awak berada disini ? Itu kereta baru, mahal dan susah nak baiki ? Awak tau tak ? Kenapa awak buat ini semua ?

Jerit Eksekutif tersebut..

Anak kecil itu tunduk sedih, sayu dan memohon maaf ;

" Saya meminta maaf Pakcik, Saya tak tahu apa patut saya buat, ia merayu. Saya melontar batu kerana tak ada orang yang berhenti disini apabila saya panggil".


Dengan linangan air mata ia menunjukkan ke satu sudut yang tidak jauh dari situ. "Itu abang saya , ia jatuh dari kerusi roda dari tebing disebelah dan tak ada orang yang dapat mengangkatnya kembali. Boleh tak Pakcik menolong saya, ia cedera dan ia terlalu berat untuk saya.

Dengan rasa terharu, Eksekutif muda tersebut melepaskan anak kecil tersebut dan terus mengangkat abangnya dan meletakkannya kembali ke kerusi roda.

Terima kasih, pakcik. Saya doakan pakcik selamat dunia dan akhirat. Tak dapat digambarkan dengan perkataan, Eksekutif muda hanya melihat dengan sayu, Anak kecil tersebut menyorong abangnya yang cacat dan cedera pulang menuju ke rumahnya. Anak sekecil itu boleh mendoakannya akan kesejahteraan hidupnya.

Eksekutif muda tersebut berjalan perlahan ke arah kereta, WAJA kemek teruk tetapi ia membiarkan saja tanpa dibaiki. Ia mengingatkannya bahawa kita tidak perlu berkejar-kejar dalam kehidupan ini sehinggakan seseorang melontar batu hanya kerana hendakkan perhatian .

Pengajaran

Allah tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah,
bersuka-ria tanpa kesedihan, Panas tanpa hujan tetapi
ia memberi kita kekuatan, menenangkan kita semasa
kesedihan dan menunjukkan jalan yang sebenar-benarnya.
Janganlah kita sombong dengan kelebihan yang sementara.

Read more...

Khamis, 19 November 2009

:: Coretan Perpisahan. Menangisi Kerinduan Pada Semua Insan Yang Pernah Bersama ::

Alhamdulillah...masih lagi diberi kesempatan oleh Allah S.W.T, dapat merasai nikmat-nikmat di dunia ini..Maaf kepada sahabat-sahabat dan para pengunjung di sini kerana lebih kurang 3 minggu jari jemari saya tidak digerakkan untuk melakar sesuatu di sini. Masa cukup mencemburui kita semua.

Alhamdulillah diri ini baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan, syukur semuanya berjalan dengan lancar, doakan saya berjaya di dalam ujian yang lain pula..maka selepas ini, saya akan mula mengorak langkah ke alam perguruan yang sebenar di sebuah sekolah yang masih samar lagi di manakah lokasinya..moga-moga Allah mempermudahkan semuanya untuk saya dan sahabat-sahabat lain...Insyaallah.

Coretan ini kutujukan kepada semua pelajar dan pensyarah yang pernah bersama dengan diri ini dari Julai 2004 sehingga November 2009. Rasanya tak mampu untuk diri ini menaip sebanyak mungkin nama yang ada, yang pernah berjasa padaku selama ini, yang banyak membantuku semasa kesusahan, berkongsi kisah suka dan duka. Pertemuan dan perpisahan adalah ketentuan Allah. Sedih juga apabila berpisah dengan sahabat-sahabat karib di sini, seterusnya bakal memulakan kerjaya sebagai pendidik. Ini semester terakhir kami bersama-sama dan telah pun berakhir. Mereka inilah sahabat, mereka inilah teman, mereka inilah pendengar yang setia, merekalah inilah sahabat saya di dunia dan akhirat. Di sinilah saya mengenali mereka.

Terasa baru semalam kami berkenalan. Masalah, suka dan duka dikongsi bersama, dugaan ditempuhi bersama dan cuba untuk mencari penyelesaian bersama-sama. InsyaAllah selagi nafas berdegup, saya tak akan melupakan mereka. Allah menemukan kami di sini, tempat sama-sama mencari ilmu untuk menjadi pendidik yang cemerlang yang bakal mendidik anak-anak bangsa..Senyuman dan ketawa sempena pertemuan akan berakhir dengan tangisan bagi mengakhiri perjumpaan kami tempoh hari.

SMS 1
Salam.. Abang Fazli… saya ucapkan terima kasih kerana selama ini banyak member erti untuk hidup dan agama. Tanpa abang Fazli susah untuk saya jadi imam dan pemimpin yang baik… selama ini jika ada sikap saya yg mengecewakan, saya minta maaf banyak kerana x mampu nak jadi mcm abang Fazli harapkan… segala jasa yang dicurahkan saya akan ingat sampai mata saya tertutup…

SMS 2
”Fazli, aku pohon maaf di atas segala kelemahan dan kekurangan sepanjang bersahabat. Terkadang mungkin aku pernah mengguris perasaanmu tanpa ku sedari. Kau telah banyak mengajarku erti hidup seorang mukmin, Cuma aku yg mungkin masih lemah melawan nafsuku. Aku terus bermujahadah agar dapat menjadi sepertimu. Kenangmu dalam doaku, kenangku dalam doamu”

SMS 3
”Kadang-kadang kita tak sedar ada orang yang mengasihi kita, ada orang yang sayangi kita, Tak bermakna sesutu yang tak terucap, tak mampu diucap atau tidak mahu diucap itu tak ada. Cuma caranya berbeza. Moga kita jumpa lagi eh. Salam maaf + kerinduan...”

Sebak hati dan perasaan saya tatkala membaca pesanan ringkas tersebut. Tidak dapat tergambar perasaan saya tatkala meembaca perkataan demi perkataan pesanan ringkas tersebut. Inilah beberapa mesej yang dihantar kepadaku dalam tempoh sebulan ini yang masih kusimpan dan kutitipkan buat kenangan kepada semua sahabat-sahabatku. Sungguh indah pertemuan itu. Begitu jugalah indahnya sebuah perpisahan.

Kita sering kali mengharapkan yang kita akan bersama, namun sudah menjadi kemestian setiap yang awal ada pengakhirannya. Jika kita tidak mahukan sebuah perpisahan berlaku jgnlah kita membungakan sebuah pertemuan.
Belumpun kita sempat menjalinkan hubungan akrab, hanya sekadar bertegur sapa, hanya menyambut salam seusai solat.. hanya membalas senyum dari jauh.. Belum sempat untuk aku menggali hati budimu wahai sahabatku.. belum sempat kita bertampar mesra meluah rasa.. Belum sempat aku menumpah kasih menebar sayang padamu sahabat..

Ya Allah betapa bersalahnya aku membiarkan seorang adik.. teman.. sahabat.. terbiar membawa rasa hati.. menyendiri.. kamarmu jarang sekali aku singgahi.. menabur bicara senda tanda cinta ukhuwwah... Apalagi memanggil mesra untuk berjalan menuju medan juang..

Rasa berdosa kepadamu wahai sahabat.. Aku hanya pandai berbicara menyata kata yang kerap tidak dikota.. Maafkan wahai sahabat.. Ampunkan seorang hambamu ini yang berdosa pada Tuhannya.. berbahagialah dikau di jalan mujahadah berteman bidadari syurga.. berpayung di bawah Rahmat yang Esa... Semoga segala kenangan akan tersimpan kemas dalam ingatan kami. Saya berdoa semoga ikatan ukhwah yang dibina dengan hati yang ikhlas hanya kerana Allah akan berkekalan hingga ke akhirnya.. Untukmu Teman

Di sini kita pernah bertemu

Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ikatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan
Bersimpul padu


Kenangan bersamamu
Takkan ku lupa
Walau badai datang melanda
Walau bercerai jasad dan nyawa

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan

Munkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjinya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihnya
Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah derita hadirlah cahaya

Renung-renungkanlah....
:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::
Pohon yang berguna
19 November 2009
1 Zulhijah 1430H 6.59 Petang

Read more...

Isnin, 2 November 2009

:: Dalam Sepi Aku Menyapa ::

Hari ini izinkan aku bermadah
Menjadi bulan kepada purnama
Menjadi terik pada mentarinya
Setelah Kalam dizahir disanggah maksud
Biarlah Kalam tulisan menjadi pembelaan
Agar kita nampak benda yang nyata

Bukanlah layak untuk aku nukilkan
Kerana aku bukanlah orang yang menjadi asas
Tetapi perjuangannya ku sanjung tinggi
Ibarat daripada hidup menanggung malu
Biar mati di kandung tanah

Bila kalam tersalah bicara
Maka lautan kalam menjadi juara
Jika angin sudah tidak terasa kelembutannya
Maka tunggulah badai datang menimpa

Bila bertindak tidak berhikmah
Runtuhlah nilai yang sarat dengan falsafah
Apabila rasa mencengkam jiwa
Haluan nafsu menjadi penggoda

Dimanakah imanmu wahai rijal
Jika dikatakan ia sehebat pemimpin agung yang kau sanjung
Berjuang bukannya kerana setia
Tetapi kerana syariaat dari Allah SWT

Andai lidah bertikam rasa
Luhurkan hati untuk didamba
Moga ada ikatan kasih menyulam mesra
Baru bahagia kehidupan kita

Jika kita terlajak haluan
Bawalah berundur bahtera kasih
Ingat, berundur tak semestinya kalah
Mara tak semestinya kan menang

Ingatlah sahabatku
Andai taksub dan setia menjadi pegangan
Sandarkan balik kepada sunnah dan al-quran
Kata-kata Ulama yang muktabar menjadi ikutan
Agar tidak terumbang niat di hati
Ingin mengubah masyarakat yang sepi

Perihal alam dijadikan saksi
Andai nostalgia lama menggamit di hati
Bukankah indah kalam tuhan
“ Sesungguhnya kamu semua adalah bersaudara”
“ Jika datang kepada kamu membawa berita, maka siasatlah dulu kebenarannya”

Bukankah rasul pernah bersabda
Begini lebih kurang maksudnya

“ Tidaklah beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi Allah dan rasul melebihi dirinya”
“ Tidaklah beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya”

Nah, apa lagi yang dipinta
Apa lagi yang ingin di bawa bicara
Membawa aib yang belum tentu benar atau salah beritanya
Andai berasa bimbang, jangan gadaikan prinsip untuk berjuang
Andai diri rasa benar, bawalah bicara mohon dizahirkan
Kepada yang salah di dalam pertemuan

Alangkah murninya kita Saling faham-memahamkan
Seperti ulama-ulama dahulu
Biar berlawanan pendapat
Biar lidah bertingkah silat
Namun sentiasa menjadi tumpuan umat
Bukan sahaja dari kalangan musuh dan sahabat
Tetapi kekal sehingga riwayat tamat

Akhir kalam sebelum diriku kelam
Maafkan diri andai ada yang terluka
Membaca ia menyakitkan mata
Menyesakkan dada dengan nada
Mengenang ia membuatkan kita tertanya-tanya
Apakah gerangan yang ingin diri ini maksudkan
Mohon maaf darimu wahai sahabat
Mohon taubat darimu tuhan
Moga yang benar dapat diangkat
Moga yang salah terus bertaubat
Supaya hidup menjadi berkat

Renung-renungkanlah....


:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::


Pohon yang berguna


2 November 2009


15 Zulkaedah 1430H


6.15 Petang

Read more...

Selasa, 27 Oktober 2009

:: MONOLOG JIWA KU.... SETELAH BERJUMPA DENGAN SESEORANG SEBAIK SELESAI EXAM... YANG MEMBUATKAN AKU TERFIKIR TENTANG SESUATU ::

Assalamualaikum....Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T yang masih meneguhkan hati ini untuk berada di jalanNya, mengurniakan nikmat terbesar, iman dan Islam... selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W beserta para sahabat yang telah berjuang fisabilillah sehingga Islam yang kita cintai mengharum di seluruh dunia serta tidak lupa buat semua pejuang agama ALLAH di mana sahaja berada. Semoga berada dalam keredhaan Allah S.W.T.

MONOLOG JIWA KU.... SETELAH BERJUMPA DENGAN SESEORANG SEBAIK SELESAI EXAM... YANG MEMBUATKAN AKU TERFIKIR TENTANG SESUATU

Adakah ada hari esok untukku? Aku hanya mampu bermonolog dalam diriku...tak berani hendak luahkan kepada sesiapa. Hanya aku dan Allah yang mengetahui isi hatiku. Aku sering bertanya dalam diriku, cukup ke amal kebaikan untuk aku bawa menghadap Allah nanti? Dimanakah akan aku diletakkan? Syurga yang begitu indah tempatnya atau neraka jahanam??? Aku insan yang lemah lagi hina. Sering melakukan kesalahan. Kadang-kadang ada yang secara sengaja atau tak sengaja. Aku tidak begitu kuat untuk melawan nafsu dan godaan yang yang sering mengekoriku...Ya ALLAH bantulah aku dalam melawan nafsu dan godaan malah penyakit-penyakit hati yang sering menghantui diriku...Aku insan lemah. Tiada sesiapa yang dapat membantuku melainkan KAU Lagi Yang Maha Kuasai dan membolak-balikkan hati hambamu...Pimpinlah aku ke jalan yang KAU redhai... Jangan biarkan aku terus leka dan leka dengan dunia yang sementara. Amin... Itulah luahan seseorang kepada Allah yang tidak jemu mendengar luahan hati hambanya...Bergenang titis-titis air mata mengenangkan dosa-dosa yang selama ini dilakukan...Terimalah taubatku..

Pernah tak anda terfikir sekiranya HARI INI MERUPAKAN HARI TERAKHIR ANDA??? SUJUD TERAKHIR ANDA?Meninggalkan keluarga, kawan2 dan orang yang anda sayang???Bersediakah anda menghadap kepada Tuhan sekiranya anda dijemput oleh malaikat Maut?Jawapannya ADA DALAM DIRI ANDA!!! Bangkitlah wahai manusia....!!!JANGAN TIDUR LAGI!!! Banyakkanlah berdoa supaya kita sentiasa berada di jalan yang betul. Sesungguhnya peraturan yang ditetapkan oleh ALLAH ada hikmahnya. Sesuatu yang menimpa diri kita, SENANG, SUSAH, PUJIAN, KECANTIKAN, KECEMERLANGAN DALAM PEPERIKSAAN dan lain2, ada hikmah dan rahsia di sebalik apa yang berlaku. Cuma manusia sahaja yang tidak mengetahui. Sudahkah aku tinggalkan segala kekufuran dan kemaksiatan?

Masa ku?? Berapa banyak dihabiskan untuk membaca buku-buku yg ilmiah dan akademik? Atau adakah aku lebih banyak bersengkang mata untuk bermain facebook dan friendster?? Bersengkang mata juga untuk chatting dgn seseorang melalui YM?

Puasaku? Adakah hanya sekadar menahan lapar dan dahaga? Sama sahaja tahapnya macam yang lepas-lepas? puasa umum lagikah? atau dah meningkat ke tahap puasa khusus atau puasa khususil khusus? (tiga golongan orang yang berpuasa seperti yang dikategorikan oleh Imam Al-Ghazali)

Bagaimana pula dengan amalan sedekahku? Sedangkan apabila bersedekah, masih ada keberatan dalam hati, masih ada rasa su'udzon kepada sang penerima sedekah, walaupun sedikit, seperti setitik garam di lautan, masih kuhitung rezekiku, padahal rezekiku itu sememangnya milik Allah dari awal hingga akhirnya.

Bacaan Al Qur'an? Atau masa lebih banyak dihabiskan dengan majalah picisan yang berselerakan di almari? Kedekut sangatkah dengan kalimah alif, lam, mim sedangkan Rasulullah S.A.W telah menjelaskan dalam hadis baginda, yang mana satu huruf al-Quran bersamaan dengan 10 kebaikan...

Qiamullail? Hmm.. adakah telah ku dapatkan kekhusyukan itu? Mengapa mata ini masih berat untuk mengalirkan air mata penyesalan di pengakhiran sujud? Tetapi kenapakah mata ini terlampau ringan untuk dibukakan untuk benda lain???

Seruan ku?? Adakah aku pernah mengajak seseorang melakukan kebaikan?? Kalau sudah dan orang itu mengambil kebaikan yang disampaikan oleh kita, adakah kita akan terus istiqamah dalam perjuangan kita? Adakah kita akan meninggalkannya setelah kita berjaya mengajak orang lain ke arah kebaikan?? Muliakah kita dengan mengata dan merendahkan orang lain yang sama perjuangannya dengan kita, tetapi uslub yang digunakan tidak sama dengan uslub kita?? Tepuk dada tanyalah iman...

Cuma nya..ada satu jer pengalaman yang aku x dapat rasai sampai sekarang...cuba teka..??? kawan2 aku ada yang hanyut dalam pengalaman ini..pengalaman yang aku kira tidak akan aku capai sekiranya belum waktunya..pengalaman cinta..!!!Entah lah..aku pun masih x faham sampai sekarang bagaimana rasanya perasaan cinta pada seorang hawa..apa yang akan mereka dapat..??apa yang mereka mahu sebenarnya..??Kalau boleh mereka mahu sentiasa berada dalam pengalaman ini selamanya..Ya Allah, jauhilah aku daripada sebarang maksiat...Perlu ke aku cari pengalaman ini???...

Sesungguhnya ALLAH MAHA LUAS dan BIJAKSANA. Kita sebagai hamba memang layak diuji. Allah memberikan kita kesenangan, kecantikan, ketampanan, kehebatan yang luar biasa, itu semuanya ALLAH nak uji hambanya sama ada tahu bersyukur atau tak...Tapi manusia sering lupa. Hanya ketika susah atau ditimpa bala baru hendak mengadu dengan ALLAH... Tapi ALLAH tetap SETIA mendengar dan terus mendengar rintihan hamba-hambanya. Itulah CINTA dan KASIHnya ALLAH kepada hamba-hambanya.

Kita yang bakal bergelar GURU lagilah perlu banyak bersyukur. Elaun dapat, tempat tinggal selesa, kenderaan ada, nak pergi kuliah pun senang... tapi kita tak tau nak zahirkan syukur kita melalui perbuatan. Kenape ye? Marilah kita cuba untuk zahirkan kesyukuran. Marilah sama2 kita membentuk diri dalam menjadi GURU YANG MEMENTINGKAN DUNIA DAN AKHIRAT....supaya murid-murid yang bersahsiah baik dan cemerlang dari segi agama, mental, fizikal dan rohani dapat dibentuk.

Tanamkan niat dalam hati SAYA MAHU BERUBAH!!!tp ingat ke arah yang lebih baik...FIKIR-FIKIRLAH ANDAI TIADA HARI ESOK UNTUK ANDA!!!Mesti anda tak tidur malam dan akan terus dan terus nak buat amal kebaikan...Itu sebab ada HIKMAH ALLAH merahsiakan tarikh kita meninggal dunia...KATAKAN "SAYA MAHU BERUBAH!!!

Hampir 40% dari coretan di atas diambil daripada beberapa blog2 sahabat-sahabat IPGM. Diambil kerana ada manfaatnya. Selamat membaca Renung-renungkanlah....

:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::
Pohon yang berguna
27 Oktober 2009
9 Zulkaedah 1430H
6.20 Petang

Read more...

Isnin, 12 Oktober 2009

:: BELANGSUNGKAWA : AL-FATIHAH UNTUK USTAZ NOH BIN IDRIS ::

“ (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

Surah Al-Baqarah : Ayat 156



“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.”

Surah Al-Imran: Ayat 185-186.



"Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun,”

"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang menghadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);”

Surah Asy-Syu`araa’ : Ayat 88-89



Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

Surah Al-Mulk : Ayat 2



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, segala puji itu hanya bagi Allah, tuhan sekalian alam, sebagai pujian yang mendatangkan segala nikmatnya dan mendapat balasan yang berlipat kali ganda darinya. Ya tuhan kami, bagi engkau segala puji-pujian yang selayak dengan kebesaran zat engkau dan juga kebesaran pemerintahan engkau, rahmat dan salam sejahtera ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w dan di atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.



Hari ini, 12 Oktober 2009 menjadi saksi kepada kemuncak kesedihan yang menyelubungi hati ini. Tatkala menantikan majlis perasmian Ulang tahun Ke-10 IPGM Kampus Sultan Mizan oleh YB Dr Hj Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, aku mendapat berita sedih dari sahabat dari IPGM Kampus Islam, Bangi tentang berita pemergian Ustaz Noh Bin Idris ke Rahmatullah (Meninggal lebih kurang 8.30 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah kerana Stroke). Terasa sebak meniti di hati, bagaikan luruh segala petala bumi, mengenang ustazku ini. Seorang yang banyak jasanya dalam perkembangan diriku ini. Melalui beliaulah aku banyak belajar tentang ilmu fikah dan ibadat, bahasa Arab, fikrah manusia dan cara pentarbiyahan manusia. Insya-Allah, jenazah beliau akan dikebumikan di Kampung parit panjang selepas Asar ini.



Untuk makluman pembaca, Ustaz Noh merupakan guru Bahasa Arab Tinggi ku dari Tingkatan 4 dan 5. Banyak jasa beliau telah kepadaku terutamanya dalam membolehkan aku menguasai Bahasa Arab dengan lancar. Walaupun, tidak dibayar gaji atau elaun lebih masa kerana mengajar aku bahasa Arab (Masa aku di tingkatan 4 dan 5, aku ambil subjek sains tulen, bahasa Arab adalah mata pelajaran tambahan yang aku ambil dan tidak dimasukkan dalam jadual waktu induk sekolah). Beliau sanggup bersengkang mata memandu ada waktu malam walaupun kadar penglihatannya merosot (beliau memakai cermin mata yang paling tinggi powernya), selain aktif dalam mengajar agama di beberapa buah masjid di negeri kedah. Beliau juga merupakan pakar rujuk bahasa Arab kepada ustaz-ustaz dan ustazah di sekitar daerah Kota Setar. Beliau juga aktif menyampaikan motivasi kepada sekolah-sekolah tentang kepentingan bahasa Arab kepada insan yang bergelar Muslim.



Seperti biasa, setiap kali cuti sekolah, kami bekas anak-anak muridnya akan menziarahi beliau. Dan 3 minggu lepas, adalah pertemuan aku yang terakhir berjumpa dengannya (Ziarah Raya dengan Mohd Sharil – Pelajar Semester 6 Bahasa Arab IPGM Kampus Islam). Kelihatan seperti biasa. Masih sihat dan bertenaga. Masih mampu menyampaikan kuliah pengajian agama di masjid. Sungguh indah pertemuan itu, apabila ustaz ada menyebut dia ingin berehat dengan sebaik-baiknya dalam masa 3 tahun lagi jika diberikan kesempatan usia untuk berkhidmat sebagai seorang pendidik. Rupanya 3 tahun yang diungkapkan itu menjadi Kinayah (Perbandingan) kepada 3 minggu lagi kehidupannya di atas muka bumi ini. Sungguh sedih sekali mengenangkan akan semua ini.



Apa yang aku kagumi adalah semangat kentalnya yang tidak mudah mengalah. Beliaulah yang berjaya menghidupkan seterusnya menggerakkan hatiku untuk terus belajar bahasa Arab. Beliau berkata yang benar dalam meletakkan hukum walaupun tidak berapa digemari oleh sesetengah pentadbir.



Dilahirkan dalam keluarga yang berlatar belakangkan agama. Lahir di Kampung Parit Panjang, Tokai, Pendang. Kesemua abang-abangnya adalah guru agama di sekolah agama rakyat. Salah seorang abangnya yang terkenal adalah Ustaz Majid, Pengasas pondok di Tobiar, Kubur Panjang. Namun, kesemua abang-abang beliau meninggal dunia dalam usia yang muda sekitar pertengahan 40 tahun usia. Ustaz Noh juga adalah antara tenaga pengajar di Pondok Pak Majid. Sekarang ni Pondok Pak Majid telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk dijadikan salah satu cawangan Maahad Mahmud Daerah Pendang.



Meneruskan pengajian ke peringkat pengajian hadis di India bersama dengan Al-Muhadith Maulana Muhammad bin Zakaria dan Khatam pengajian Sunan as-Sittah ( 6 buah kitab hadis yang terkenal iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Ibnu Majjah, Sunan At-tarmizi, Sunan Abi Daud dan Sunan An-Nassai). Namun disebabkan ijazahnya tidak diiktiraf di Malaysia, maka beliau berangkat pula ke Mesir dan meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dalam pengkhususan Syariah. Di sinilah beliau banyak mempelajari ilmu-ilmu Islam terutamanya Ilmu Fiqh, Bahasa Arab, Usuluddin dan Al-quran. Sekembalinya ke Malaysia beliau telah berkhidmat sebagai guru bahasa Arab dan pendidikan Islam di sekolah-sekolah kerajaan. Dan di SMK Syed Mohamed Al-Bukhary lah takdir tuha telah menemukan aku dengan ustaz Noh. Walaupun dia mengajar aku hanya pada tahun 2002 dan 2003, namun hubungan kami sebenarnya telah bermula sejak tahun 1999 lagi. Dan kesungguhan beliau mengajar menyebabkan aku terasa berkatnya ilmu beliau. Dan pada tahun 2006 beliau telah bertukar ke SMK Syed Omar. Dan dalam usianya 53 tahun, beliau telah pergi dahulu menghadap sang penciptanya. Bagaikan Mutiara kehilangan Permata, Bagaikan bulan kehilangan purnama, bagaikan mentari kehilangan teriknya, bagaikan bintang kehilangan sinarnya, bagaikan laut kehilangan ombaknya, bagaikan hutan yang kehilangan rimbanya, begitulah aku yang aku rasai. Betapa luluhnya hatiku ini mengenang seorang yang aku anggap sebagai ayahku sendiri telah pergi meninggalkan aku. Kepada Ustazah Fatimah, tabahkan semangat dalam menghadapi ujian ini. Moga Allah mencampakkan sinar ketenangan ke dalam hati ustazah dan ahli keluarga. Semoga segala ilmu yang dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Insya-Allah pada kesempatan di masa cuti yang akan datang, kami akan melawat ustazah bagi menyampaikan salam takziah.



Buat semua anak-anak muridnya, marilah sama-sama kita mendoakan kebahagiaan beliau. Tanpa beliau, mungkin kita tidak akan menguasai bahasa arab dengan mudah. Semoga Allah memakbulkan doa kita untuk kesejahteraan ustaz.



Nabi s.a.w amat menggalakkan kita untuk menziarahi kubur dengan sasaran untuk lebih mengingati kematian. Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menziarahi kuburnya dan berdoalah serta ingatlah akan kematian itu pasti. Kematian itu menuntut PERSEDIAAN. Persediaan menuntut kepada ILMU, ilmu menuntut kepada AMAL, dan amal menuntut KEIKHLASAN.



Bagaimanakah nanti keadaan kita ketika hari kematian...masanya belum diketahui namun ia adalah sebuah pemergian yang akan datang. Sama-samalah kita berusaha dan bersedia, kerana ia adalah satu pemergian yang tiada peluang ulangan. Hidup adalah sebuah exam yang gagalnya tiada ruang untuk mengulang. Nauzubillah.



Begitulah sedikit coretan ringkas mengingati keterkaitan saya dengan Allahyarham. Akhirnya, saya berdoa kepada Allah swt agar memberikan belas, rahmat dan ihsan terbaik buat almarhum serta mengurniakan keampunan atas segala jenis kesilapan yang dilakukannya.Allahyarham Ustaz Noh Bin Idris (1956 - 2009). Sesungguhnya dari Allah Kita datang dan kepada Allah Jualah kita kembali. Al-Fatihah.



Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami, kerana dialah penjaga urusan agama kami,


Perbaikilah bagi kami duni kami, kerana di dalamnya kami hidup,


Perbaikilah bagi kami akhirat kami, kerana ia tempat kembalinya kami,


Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan terhadap segala kebaikan,


Dan jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghabisannya,


Dan sebaik-baik amal kami adalah penutupnya,


Dan sebaik-baik hari bagi kami adalah hari kami berjumpa dengan mu.


Ya Allah, kami memohon kepadamu kehidupan yang tenteram, kematian yang tenang dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan membuka aib.


Ya Allah, perbaikilah akhir hayat kami dalam segala perkara dan selamatkanlah kami dari kenistaan hidup di dunia dan seksaan di akhirat.



Renung-renungkanlah....


:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::


Pohon yang berguna


12 Oktober 2009


23 Syawal 1430H


1.23 Petang

Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP