Rabu, 30 September 2009

:: Coretan Ramadhan 1430H ::


Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah Darul Aman


Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan rahmat serta kasih sayangNya dan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW, keluarga Baginda dan juga para sahabat. Alhamdulillah sekali lagi kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan ini. Masa pantas berlalu dan sedar tak sedar kita sudah mengakhiri Ramadhan.

Sebelum kita ke menerjah lebih jauh, izinkan diri ini mencoretkan apa yang tesimpan di hati ini. Alhamdulillah, seperti mana yang dirancang dalam perjalanan ramadhan di IPGM terutamanya pengurusan imam di dalam bulan ramadhan ini berjalan dengan lancar. Walaupun terdapat sedikit kelemahan kecil pada sudut-sudut tertentu (gementar, lupa bacaan dan sebagainya), namun pujian harus diberikan kerana berusaha jua untuk melaksanakan tugasnya dengan baik. Dan diharapkan untuk ramadhan akan datang kelemahan-kelemahan kecil ini akan dapat diatasi oleh barisan kepimpinan yang baru.



Dalam kekalutan mencari pengisian untuk ramadhan kali ini, Biro Agama & Pendidikan berjaya juga melaksanakan Majlis Iftar secara berkala iaitu pada setiap hari isnin dan rabu. Selain itu, Program Iftar untuk meraikan pelajar-pelajar PPISMP Pendidikan Agama Islam Semester, Imam-imam & Muazzin serta AJK yang bernaung di bawah Biro Agama & Pendidikan berjaya juga dilaksanakan dengan jayanya.



Sebagai tambahan kepada pengisian jiwa yang sentiasa mengharapkan keberkatan Ramadhan ini, MABIT juga berjaya dilaksanakan. Apa itu MABIT? MABIT adalah singkatan kepada Malam Bina Iman dan Takwa. Mudahnya citenya adalah Qiamullail. Ia dilaksanakan pada malam 21 Ramadhan. Alhamdulillah sambutan yang diterima agak memuaskan dengan kehadiran lebih kurang 50 jemaah. Qiamullail kali ini mungkin adalah yang terakhir untuk aku pimpin. Qiamullail pada malam itu bermula jam 4.15 pagi dan berkahir tepat pada jam 5.15 pagi. Pengisiannya adalah Solat sunat taubat, Solat sunat hajat dan 4 Rakaat Solat tahajud serta diakhiri dengan 3 rakaat solat witir. Alhamdulillah untuk kesekian kalinya, Allah terus menganugerahkan diri ini kekuatan dan kelancaran untuk membuat doa qunut nazilah pada witir yang terakhir. Dan ini juga mungkin qunut nazilah terakhir yang aku buat secara berjemaah bersama-sama pelajar-pelajar IPGM disini. Selesai solat witir, jemaah dihidangkan dengan jamuan sahur. Selesai solat subuh pula, aku menyampaikan sedikit tazkirah untuk disampaikan kepada jemaah sebagai santapan rohani di awal pagi.



Selain itu, ada juga kumpulan usrah yang melakukan iftar. Ini menambahkan lagi keceriaan pada surau Al-Firdaus. Majlis Khatam Al-Quran juga pada kali ini berjaya juga dilaksanakan walaupun pada saat-saat akhir ramadhan. Walaupun kehadiran pelajar perempuan amat menggalakkan, namun daripada penyertaan pelajar lelaki agak hambar. Alhamdulilah, kerana Allah telah menyelamatkan majlis ini daripada dihadiri hanya 5 orang pelajar lelaki sahaja. Terima kasih kepada pelajar semester enam yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk memeriahkan majlis ini. Tidak lupa juga kepada 2 orang pelajar PPISMP kerana sudi menerima undangan untuk menambahkan kehadiran pelajar lelaki. Sebenarnya, diri ini juga tidak mahu bersama ke pentas, tetapi membayangkan kesediaan pelajar sem 6 yang sanggup naik, maka aku gagahi juga untuk memberi sokongan moral dan menjaga maslahat majlis.



Saudara-saudara seislamku, sudah menjadi lumrah seroang mukmin sentiasa menjadi sasaran iblis untuk disesatkan. Namun jika segala amal yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mampu menyelamatkan setiap mukmin dari tipu daya iblis. Namun, ternyata jalan menuju keikhlasan tidaklah semudah yang disangkakan, kerana terdapat sangat banyak onak dan duri yang bertebaran dijalannya. Sungguh amat banyak tipu muslihat yang boleh menggelincirkan setiap kita dari beramal ikhlas, dari mulai takjub pada kelebihan diri sendiri, riya’ dan segala penyakit hati sehingga sampai ke tahap menyombongkan diri di hadapan Allah. Na’uzubillahi min zalik.



Bagaimana pula ikhlas ini dapat dikaitkan dengan kehidupan kita sebagai seorang mahasiswa? Bagi kita yang sedang menuntut ilmu ini, kita hendaklah sentiasa memperbaharui niat kita setiap kali kita ingin atau sedang belajar. Ikhlaskan niat setiap hari dengan menanamkannya dalam jiwa bahawa kita menuntut ilmu adalah kerana Allah dan ingin meningkatkan lagi martabat agama kita yang tercinta. Selain itu, janganlah kita bersifat iri hati dan sombong terhadap sahabat-sahabat, pensayarah-pensyarah dan orang lain. Janganlah kita kikir atau kedekut dalam berkongsi ilmu dengan sahabat handai. Kita tidak akan rugi dari segi ilmu serta masa kerana apabila kita berkongsi, kita akan lebih memahami dan mengingati apa yang dipelajari. Tidak mustahil untuk kita menjadi insan yang sentiasa melakukan amalan dengan keikhlasan jika kita berusaha untuk mencapainya. Tepuk dada, tanya iman kita.



Diharapkan pada masa depan lebih ramai lagi pelajar-pelajar junior yang akan naik ke pentas untuk bertadarus dan khatam al-quran. Semoga Allah membalas balik masa dan tenaga yang telah dikorbankan untuk jalan Allah. Sesungguhnya, ingatlah wahai sahabat-sahabatku, jika kita ikhlas dalam mengorbankan masa dan tenaga kita untuk membuat sesuatu pekerjaan yang dianggap ibadah, janganlah kita gusar tentang kerja-kerja kita yang masih banyak tidak disiapkan. Memang benar faktor sebagai pelajar banyak menyumbang kepada kesibukan masa. Namun ingatlah Allah akan membalasnya dengan lebih baik. Jangan khuatir tentang tidak sempatnya membuat sesuatu, kerana Allah akan memudahkan urusan hambanya jika seseorang itu berada dalam kesempitan. Ingatlah Allah akan mengurniakan kesempatan dalam kesempitan kepada hamba-hambanya yang berkorban ikhlas kerana Allah. Kepada sahabat-sahabatku yang sangat ku harapkan kehadiran mereka, namun tidak dapat datang, jadikan ia sebagai pengajaran berguna untuk masa akan datang. Yakinlah dengan sesuatu janji yang datang daripada Allah, kerana ia pasti akan berlaku. Ihfazillah Yahfadzka ( Jagalah ALLAH, ALLAH pasti akan menjaga kamu).





Pemandangan dalam Masjid Zahir yang juga merupakan
Masjid Negeri Kedah & Masjid Diraja



Berbalik kepada perjalanan terakhir untuk ramadan pada tahun ini, alhamdulillah Allah masih memberikan kesempatan untuk diri ini merasai kemanisan dalam mengerjakan amal ibadat. Antara yang paling memberi kesan kepada diri ini adalah dapat merasainya kelazatan ayat-ayat al-quran dengan mentaddabur makna dalam bacaan imam di dalam solat tarawikh. Masihkan anda semua ingat, dalam posting yang lalu aku ada ceritakan betapa seronoknya bersolat tarawikh di Masjid Zahir, yang juga merupakan masjid negeri dan masjid diraja bagi negeri Kedah. Ini kerana pelbagai imam dari kalangan anak tempatan negeri kedah yang mempunyai kemahiran dalam hafazan Al-Quran. Kebanyakan imam ini adalah pensyarah di Kolej Universiti INSANIAH dan Maahad Tahfiz di sekitar Negeri Kedah.



Tarawikh terakhir untuk aku sempurna pada tahun ini adalah pada malam 29 Ramadhan & ia dipimpin oleh seorang imam yang masih muda. Kelahiran Negeri Sembilan. Namun menetap sepenuhnya di Kedah. Walaupun masih muda (dalam lingkungan awal 30-an), jika direnung mukanya kelihatan tenang sekali. Sungguh jelas fikrahnya yang sangat bersih. Beliau adalah Sheikh Muhammad bin Musa Al-Hafiz As-Sembilani. Beliau merupakan Mudir (pengetua) Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Misbahul Munir, Parit Panjang, Kedah. Sedikit biodata ringkas beliau adalah seperti berikut.



1996 : Wakil Negeri Perlis ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan


1997-2000 : Wakil Negeri Sembilan ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan


1999 : Wakil Malaysia ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi


2000 : Wakil Malaysia ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Iran


2001 : Wakil Malaysia ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Jordan


2001 : Johan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan


2004 : Mewakili Negeri Selangor ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan



Dan bagi sesiapa yang ingin memberikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz ini bolehlah memberikan sumbangan dengan mendebitkan terus sumbangan ke dalam Akaun Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Munir di akaun CIMB : 02-048-01-0035416. Semoga Allah membalas jasa mereka yang memberikan sumbangan dengan sebaik-baik ganjaran.



SubhanaAllah. Kelunakan suara beliau sungguh menyentuh perasaan tatkala beliau sendiri menangis dalam solatnya. Dapat aku rasakan dari permulaan solat tarawikh sehinggalah selesainya solat witir bergenang air mata ini membasahi pipi dalam merasai kelazatan al-quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk dijadikan pedoman kepada umatnya. Dari rakaat ke-10 hinggalah ke solat witir, diri ini menangis dengan sesungguhnya. Kebanyakan jemaah juga aku rasakan mempunyai perasaan yang sama dengan aku. Pada waktu inilah juga aku merasakan bahawa aku masih beruntung kerana Allah telah membukakan pintu hatiku untuk terus mengambil Bahasa Arab Tinggi pada peringkat SPM, walaupun aku mengambil subjek Sains Tulen & terpaksa belajar sendiri Bahasa Arab ini. Walaupun 14 orang saja yang ambil Bahasa Arab di sekolah aku dulu, namun kepayahan mengajar aku erti bahawa ilmu yang dimiliki sangat berharga. Masih aku ingat kata-kata ustazku bahawa sesuatu ilmu itu jika diperolehi dengan cara yang mudah, maka mudah jugalah untuk ia hilang. Namun jika sesuatu ilmu itu diperolehi dengan cara yang sukar, maka sukar jugalah sesuatu ilmu itu akan hilang. Alhamdulillah, Ilmu bahasa arab yang dipelajari dapat digunakan sehingga sekarang untuk memahami ayat-ayat Al-Quran. Dan sebenarnya satu lagi impian aku selepas SPM dahulu adalah untuk mengambil bidang Hafazan Al-Quran. Namun Allah lebih mengetahui tentang kehidupan aku pada masa akan datang. Walaupun aku memasuki bidang pendidikan, aku masih meneruskan hafazan al-quran secara berkala sehingga hari ini.



Seperti kebiasaannya pada solat tarawikh aku akan rakamkan bacaan imam, namun pada malam itu, aku terlupa membawa MP3 player untuk merakamkan bacaan imam. Namun sesuatu itu ada hikmahnya. Bila kita kehilangan sesuatu Allah akan menggantikannya dengan benda yang lebih baik. Dan semasa qunut nazilah dibacakan, dalam hati aku berdoa agar Allah memberikan peluang untuk ku temui bacaan yang hampir serupa dengan bacaan imam malam ini. Alhamdulillah. Allah Maha Besar. Mendengar rintihan hambanya yang inginkan sesuatu walaupun ada ketika hambanya ini ada melakukan kesilapan. Seminggu selepas raya, seorang sahabat aku yang warganegara Kuwait mengirimkan satu link ke laman web yang menempatkan pelbagai bacaan al-quran dari negara-negara timur tengah terutamanya Ajman, UAE, Jordan, Syria, Kuwait dan Dubai. Dan dalam kebanyakan qari itu terdapat seorag bacaan Qari yang hampir sama dengan bacaan Sheikh Muhammad bin Musa iaitu Sheikh Muhammad Amir Al-Mohalhal. SubhanaAllah.



Selesai solat tarawikh malam itu, semasa doa selepas solat dibacakan imam masih membacakan doa yang begitu panjang sehingga seolah-olah sudah tiada lagi peluang untuk berdoa selepas itu. Dalam nada yang sebak itu, imam membacakan satu doa yang cukup ringkas tetapi padat untuk dihayati iaitu



“Allahuma innaka Afuwun karim, tuhibbu afwa fa’fuaanna”. Dan Alhamdulillah, sebagai mengambil berkat dari ilmu al-quran yang ada pada Sheikh Muhammad Bin Musa Al-Hafiz, selesai solat sahaja aku bersalaman sambil mencium tangan dan memeluknya. Aku harapkan barakah dari keberkatan ilmu al-quran yang ada dalam dirinya dapat memberikan aku sesuatu kebaikan dengan izin Allah. Ya Allah, kau telah saksikan bahawa inilah jalan yang aku pilih, dan engkau mudahkanlah ia ya Allah. Wahai tuhan yang maha mendengar rintihan hambanya.



Bacaan Sheikh Muhammad Amir Al-Mohalhal aku perdengarkan di Surau Al-Firdaus. Alhamdulillah terdapat beberapa orang pelajar junior berminat untuk mendapatkan bacaan ini. Semoga Allah memberikan mereka kerahmatan dengan berkatnya mendengar kalam suci tuhan ini.



Berbalik kepada solat tarawikh pada malam itu, aku sempat berjumpa dengan seorang pegawai khas kepada seorang ahli parlimen di Sarawak. Beliau merupakan adik kepada ahli parlimen itu. Dan aku berbual panjang dengan beliau. Satu benda yang aku tertarik dengan beliau adalah beliau telah bermastautin di negeri kedah selama hampir sebulan ramdhan semata-mata untuk solat tarawikh di Masjid Zahir ini. Katanya lagi, ini merupakan tahun ketiga beliau berpuasa dan bersolat tarawikh di Negeri Kedah. Dan selama sebulan itu jugalah beliau menyewa hotel untuk menginap. Inilah yang dinamakan rahmat Allah yang melimpah ruah untuk hambanya. Kerana kehebatan imam-imam dalam mengalunkan bacaan dapat menarik hati-hati manusia yang supaya lebih dekat dengan tuhan.



Rasanya sekian sahaja coretan untuk ramadhan yang telah pergi meninggalkan diri kita semua. Entah masih ada kesempatan lagikah untuk aku bertemu dengan ramadan kembali. Semoga segala amalan kita pada bulan ramadhan yang lalu diterima oleh Allah sebagai amal soleh kita. Taqabala Allahu Minna Waminkum A’mala Solihan. Insya-Allah, dalam masa terdekat ini aku akan coretkan pula bingkisan syawal 1430H.



Renung-renungkanlah....


:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::


Pohon yang berguna


30 September 2009


11 Syawal 1430H


2300 PM


Read more...

Rabu, 2 September 2009

:: Secangkir Kasturi, Ku Semakin Mengenalinya ..... ::

Subhanallah! Maha suci Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu kepada Nyalah kita semua akan dikembalikan. Selawat serta salam sejahtera kepada Nabi Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat yang diredhai semuanya. Rasanya sudah lama blog ini tidak dikemaskini lantaran kekangan masa dan kesempitan ruang untuk menulis. Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita berpuasa dan menjalankan pelbagai ibadah di bulan penuh keberkatan dan keampunan ini. Moga kita sama-sama dapat mempergandakan usaha bagi membersihkan hati dan jiwa yang kerap tercemar dengan
pelbagai dosa setiap hari. Malam ini 12 Ramadan 1430H, tika waktu dunia bergerak laju dan sambil menikmati alunan bacaan al-quran yang dibacakan di radio Ikim.Fm oleh Sheikh Mu`tassim (Imam Jemputan untuk solat Tarawikh Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun ini) ada beberapa beberapa perkara yang sudah lama ingin dikongsi bersama. Izinkan kemaafan untuk aku hulurkan sebelum kalian meneruskan pembacaan coretan ini.

Sebelum itu, aku ingin membawa pembaca untuk
flash back kembali aktiviti aku sepanjang bulan Jun hingga Ogos 2009. Antaranya aku telah mengikuti rombongan perkongsian budaya serumpun Nusantara ke Sarawak pada awal Jun. Balik saja dari Sarawak, aku ke berziarah ke Temerloh selama 3 hari. Balik saja dari Temerloh pelbagai aktiviti telah aku ikuti di Kedah. Dan pada semester ini juga, aku telah menjalani praktikum fasa 3. Aku ditempatkan di SK Alor keladi, Jerteh, Terengganu. Banyak masa dihabiskan pada waktu aku praktikum ini.

Alhamdulillah, ramadhan kali ini masih mampu untuk ku temui. Rasa sungguh rindu dan syahdunya akan kedatangan ramadhan kali ini. Ramadhan kali ini juga adalah yang terakhir unuk diriku untuk menyempurnakannya di IPGM ini. Namun, sesutu yang aku pasti, semakin ramadhan datang, semakin aku ternanti-nanti natijahnya yang berbeza. Mengimbau kembali ramadhan kali ini teringat aku kepada dua insan yang cukup memberikan aku kesan tentang takdir telah mendahului ramadhan. Pertama sekali ialah pemergian saudara Muhammad Amar, bekas pelajar MATRI, Beseri, Perlis yang juga sedang menuntut di Fakulti perubatan di Mesir. Beliau meniggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Seorang yang cukup tenang bila diamati wajahnya dan pemergiannya mengingatkan aku tentang bertuahnya beliau menghadap illahi dalam keadaan yang mulia. Ibu Amar sangat tabah menerima kematian anaknya. Sungguh terharu melihat ramainnya sahabat, pensyarah, guru-guru dan orang kampung yang menghadiri majlis pengebumian beliau. Dan yang keduanya, yang paling hampir dengan kita, yang tidak disangka akan kependekan umurnya iaiatu Ustaz Asri Rabbani. Meninggal dunia ketika majlis pelancaran siri Syahadah untuk ditayangkan di RTM pada ramadhan ini. Menatapi sebuah imbasan selama sejam yang ditayangkan di TV3 menyebabkan hati ini tersentuh. Betapa barakahnya umurnya, banyak dihabiskan dalam sisa dakwah terutamanya dalam mengalihkan industri hiburan tanah air yang penuh dengan budaya hedonisme kepada hiburan yang berbentuk keagamaan. Dan bukan itu saja. Jika kita mendengar zikir munajat Ustaz Asri pada malam hari, pasti meremang bulan roma kita mendengarnya. Amat terpukau dengan suara solonya yang bagiku adalah suara yang paling indah pernah aku dengari. Suara beliau begitu tawadhu dan insaf ketika bernasyid, tidak seperti beberapa penasyid muda hari ini yang nasyidnya berbunyi ssperti suara orang bercinta mendayu-dayu.

Pemergian Ustaz Asri mengingatkan kepada kata-kata seorang ustaz. Ustaz ini berkata, “Setiap kali bertemu, saya akan teringat betapa minatnya saya dengan suaranya khususnya di awal tahun 90 an dahulu, teringin rasanya untuk mengungapkannya di hadapan tuan punya suara, tetapi setiap kali itu jugalah saya batalkan hasrat tersebut, dengan niat untuk tidak merosakkan niat dan menguji beliau dengan perasaan kurang sihat di sisi agama. Nampaknya hasrat itu tidak mungkin lagi untuk direalisasikan selama-lamanya.” Bilakah pula giliran kita? Dan dapatkah jantung kita melaksanakan tugasnya bertemu Ramadhan akan datang ini. ??

Alhamdulillah, permulaan puasa pada ramadhan ini dimulakan dengan berpuasa di kampung iaitu Alor Setar, Kedah. Saat yang paling aku nantikan adalah solat terawih di MASJID ZAHIR (Masjid Negeri Kedah) terutamanya menjadi makmum kepada beberapa orang tokoh tahfiz dan qiraat negeri kedah. Antaranya Sheikh Kadri Abdul Hamid, Sheikh Hazli dan beberapa orang lagi. Mereka ini merupakan pensyarah kuliyah Al-Quran, Tahfiz & Qiraat Kolej Universiti Insaniah (KUIN) negeri Kedah. Sungguh begitu diri ini menghayati bacaan secara tadwir dalam solat tarawikh ini. Cukup menyentuh hati, hingga kadang-kadang tersa kesannya di hati ini. Entah sudah berapa banyak karat dan kekotoran di jiwa yang terpalit di hati ini. Maha Suci Allah, terasa rindunya mendengar bacaan quran mereka. Kekadang sambil mendengar dan mentaddabur makna bacaan, tidak aku sedari air mata mengalir laju mengenangkan banyak perkara yang tidak disempurnakan lagi. Selain itu, antar benda yang ditunggu oleh aku pada ramdan kali ini adalah Siaran Langsung Solat Tarawikh dari Masjidil Haram, Makkah dan Masjidil Nabawi, Madinah. Suatu benda yang telah menjadi tradisi aku sejak aku berumur 10 tahun. Inilah kesempatan aku untuk memperbetulkan bacaan Al-Quran terutamanya tentang gaya bacaan secara tadwir.

Aku juga diuji dengan kesibukan masa apabila ramadhan menjelma. Suatu benda yang aku tidak suka untuk diuji adalah berhadapan dengan kesibukan masa. Dan seperti biasa ada yang dapat aku sempurnakan bantuan yang diminta dan ada pulak yang terpaksa aku tolak. Bila ditolak, terasa kesian plak dengan mereka. Namun, aku terpaksa melakukannya juga. Dan aku baru saja selesai membantu beberapa orang pensyarah melaksanakan analisis data dan masih ada 3 lagi data yang perlu aku key in data dan analisis minggu depan. Moga Allah memudahkan urusan hidupku ini. Dan pada malam ini juga masih masuk message untuk berjumpa dengan aku. Mesej yang cukup ringkas ” abg klu ade kelapangn mintak izin jumpa skejap pon jadila..ade hal yg agak penting bg diri sy tuk sy tya abg..”. Tapi aku tidak sempat malam ini untuk berjumpa dengan orang ini. Mungkin malam besok kita boleh berjumpa. Itulah antara sms, mesej YM yang sering aku dapat. Dan ada kalanya pada masa yang sama 3-4 call masuk serentak. X tahu nak jawab yang mana satu. Namun aku telah luahkan juga kepada seseorang yang telah meminta nasihat dan pandangan dari aku tentang kehidupannya. Tanpa aku sedari juga, aku sering tersepit antara yang hak dan yang batil. Rupa-rupanya ada juga orang yang sama jiwanya dengan aku. Malam itu kami bertemu. Si dia meluahkan sedikit sebanyak yang tersimpan dalam hatinya. Alhamdulillah, walaupun masih
muda namun beliau masih dititipkan rasa keimanan kepada Allah untuk kembali kepada jalan yang benar walaupun sebelum ini beliau mengetahui jalan yang hak. Namun dek kerana mungkin si dia belum berjaya meyakinkan dirinya tentang penyucian jiwa dan keyakinan diri, menyebabkan si dia terumbang ambing dalam kebenaran yang nyata. Sukar untuk aku coretkan di sini segala luahan rasa si dia pada aku. Namun, sebagai orang yang mungkin telah ditakdirkan Allah untuk aku berjumpa dengan dia, menyebabkan aku sangat menghargai persahabatan ini.

Selain itu, ada juga insan yang bertemu dengan aku bertanyakan masalah yang dihadapi. tahun ini adalah tahun yang sering mendugakan aku dalam mengenal erti sebuah kejayaan, memandang umurku yang yang kian menuju ke asal aku risau akan aku makin jauh dalam mendefinasikan erti sebuah kejayaan, ini kerana aku sering di kelilingi dengan tempat dan keadaan yang mendefinasikan sebuah kejayaan dengan kejayaan yang sementara atau lebih kepada kejayaan yang menuju kemurkaan dari Pemilik Yang Empunya. Tapi dalam sedikit kelalaian, Pemilik Empunya memberi sedikit ingatan untuk kembali mendefinisikan erti kejayaan ini. Perkara ini berlaku apabila aku berhadapan dengan seorang hamba Allah yang berputus asa terhadap kehidupan akibat gagal dalam mencari kejayaan duniawi. hamba Allah ini datang dan menceritakan kedukaannya dalam kehidupan akibat gagal dalam pelajaran, tercicir dari mencari kemuliaan dan gagal dalam hidupan duniawi. Aku secara sengaja atau tidak mula mendefinasikan erti sebuah kejayaan kepada hamba Allah ini walaupun pada amalinya aku masih gagal meletakkan erti kejayaan ini dalam panduan hidup aku.

Aku bermula dengan menceritakan bahawa kita hanyalah hamba Allah yang mencari kehidupan kekal di sana, kejayaan di dunia hanya sementara, tetapi kejayaan di akhirat adalah yang kekal selama-lamanya. Biarlah kita gagal di dunia tapi jangan kita gagal di akhirat, biarlah kita di pandang hina di dunia tapi jangan kita di pandang hina di sana, biarlah kita dipandang hina oleh segala manusia di dunia tapi jangan kita di pandang hina oleh TUAN EMPUNYA. ini yang aku cuba ceritakan ketika berdepan dengan hamba Allah ini, aku cuba nyatakan walaupun diri ini masih berdepan dalam mengenal erti ini. Berdetik hati yang lemah ini, aku masih gagal meletakkan erti kejayaan sebenar ini dalam diri aku, aku masih jauh dalam definasi ini, aku sering gagal dengan definasi ini. Ini berlaku kerana aku juga dalam perjalanan mencari kejayaan di dunia dan kadang kala aku mengenepikan erti kejayaan yang nyata di sana. Kita kini sedang mengembara menuju kehidupan nyata, kadang kala kita mempunyai jalan yang lurus yang mana jalan menuju ke destinasi adalah jalan yang mempunyai kejayaan akhirat dan kejayaan duniawi, tapi kadang kala kita juga berdepan antara dua simpang yang kita perlu memilih satu simpang antara dua simpang. simpang kejayaan dunia susah akhirat atau simpang kejayaan akhirat susah di dunia. Apa yang merunsingkan adalah jika aku lemah, andai aku ditakdirkan berdepan dengan simpang ini.....

Tahun ini juga aku ditugaskan untuk membuat pengurusan tentang Imam dan Muazzin yang akan bertugas sepanjang bulan ramadhan ini. 2 hari diperlukan untuk membuat jadual bertugas ini. Hari pertama berakhir sehingga jam 4 pagi dan hari kedua berkahira jam 2.30 pagi. Dan dalam kesibukan masa ini juga (pada jam 1 pagi) ada kes wanita yan
g terpaksa aku uruskan walaupun keadaanya tidaklah seteruk mana. Namun atas dasar tolong-menolong dan menyempurnakan pertolongan yang diminta aku bersama dengan seorang pensyarah telah menijau keadaan beliau. Siapa dia dan apa penyakit dia biarlah ia rahsia bagi menjaga kehormatannya. Seperti biasa, jika pada satu-satu malam aku tidur lewat, sebelum aku tidur aku akan menghantar sms tazkirah kepada rakan-rakan lain yang sedang diulit mimpi indah. Dan sebelum mata terpejam jugalah diri ini sentiasa bermuhasabah dengan diri ini sendiri tentang amanah yang telah disempurnakan untuk hari ini dan apakah masih ada amanah yang belum aku selesaikan.

Terasa terkilan juga dengar beberapa orang pelajar baru yang sepatutnya menghadiri pertemuan dengan aku untuk mengambil jadual bertugas imam dan muazzin pada hari rabu. Terasa lebih kecewa apabila, sikap ini dipraktikkan oleh pelajar yang mengambil bidang pengajian islam. Entahlah di mana silapnya semua ini. Tidak tahu bagaimana hendak aku luahkan dengan kata-kata tentang kegagalan mereka utnuk menghadiri pertemuan ini sedangkan belum ada tugas yang banyak diberikan kepada mereka jika hendak dibandingkan dengan pelajar sem 6 dan sem 4 yang jauh lebih banyak tugas yang perlu dilaksanakan. Untuk pengetahuan, ini juga dalah ujian kedua yang baku berikan kepada mereka. Dan dalam kedua-dua ujian ini mereka gagal. Diharapkan ujian ketiga yang akan datang, sikap mereka akan berubah.

Satu benda yang masih aku pegang dan amalkan sehingga ke hari ini, aku akan pastikan tiada suatu haripun dalam diri aku ini berlalu tenpa aku mendengar bacaan al-quran dari imam-imam yang muktabar. Amalan inilah sedikit sebanyak dapat menenangkan jiwa aku tatakala dilanda ribut kehidupan. Kadang-kadang terasa cemburu dengan orang lain yang mempunyai banyak masa untuk berhibur dan bersosial. Namun, mungkin ini jalan yang telah ditakdirkan oleh Allah kepadaku untuk aku ikuti. Terasa begitu singkat masa yang tinggal kepada aku untuk aku hidup di atas muka bumi ini. Tak seronokkah kita jika hati yang istiqamah tadi tenang dan bahagia? Aman dan damai? Berapa ramai yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup hanyasanya hati yang tidak tenteram? Di manakah letaknya kebahagiaan sesebuah keluarga dan rumahtangga tanpa paduan hati yang bersih dan jernih ini? Bukankah amannya masyarakat bilamana yang kecil melihat yang tua sebagai orang yang lebih baik dari sudut amal ibadatnya, manakala yang tua pula melihat yang muda sebagai insan yang bersih dan kurang perlakuan maksiatnya?

Sebagai pengakhiran kepada coretan aku kali ini marilah kita merenung kembali kehidupan yang telah, sedang dan akan lalui. Berilah penghayatan yang sebenarnya kerana kita masih diberikan peluang oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Sepanjang bulan Ramadhan dan sebelum tiba bulan ramadhan tiada aku dengar perbincangan mengenai bulan yang mulia ini, tapi dari awal bulan mulia ini sehingga hari ini, rata-rata perbincangan utama hanyalah perbincangan mengenai sambutan aidilfitri, teringat aku beberapa dari hadis Rasulullah mengenai bulan Ramadhan ini:

“Sekiranya umatku mengetahui kebaikan di dalam bulan ramadhan, nescaya mereka menginginkan agar sepanjang setahun semuanya menjadi ramadhan” –Al-Hadis-

Anas r.a meriwayatkan: Apabila ramadhan bermula maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Sesungghunya telah datang kepadamu suatu bulan yang yang terdapat di dalamnya satu malam yang terlebih baik daripada seribu malam..”

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila masuk bulan ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkucilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan di rantai dan di buka pintu rahmat” – Riwayat Bukhari & Muslim-

Aku bukan mengajak sahabat-sahabat untuk memulaukan aidilfitri ini, tapi kita harus lebih pandai membezakan antara yang mana penting dan yang mana lebih penting. Aidilfitri itu penting, tapi kelebihan di bulan ramadhan ini ternyata lebih penting dan bernilai. Sepatutnya kita pada masa ini lebih membicarakan kelebihan dan kemuliaan bulan ramadhan ini, dimana Rasulullah dan sahabat-sahabat telah membuktikan bahawa bulan ramadhan ini adalah bulan menjadi bulan ibadah, bulan kemenangan, bulan yang lebih penting daripada bulan-bulan lain. Dimana ahli kubur menyambut kedatangan ramadhan dan menangisi pemergian bulan ini. Tapi kita pada zaman ini lebih menangisi kedatangan bulan ramadhan tapi menyambut dengan penuh kemuliaan pemergian ramadhan. Tidak salah untuk memuliakan aidilfitri yang akan datang itu tapi kita tidak patut menangisi dan memulaukan ramadhan yang mulia ini....

Mohonlah keampunan Allah atas segala dosa kerana setiap anak Adam membuat kesalahan, mohon ampun kesalahan kita dengan manusia ketika kita masih hidup dan maafkan kesalahan
apalagi di kalangan mukmin yang merendah diri. Dunia adalah ladang ke akhirat. Dunia tempat manusia diuji siapa yang terbaik amalannya. Semoga ladang kita bersih daripada lalang-lalang panjang yang tumbuh meliar yang merupakan ego kita yang sekiranya tidak dipotong selalu maka menutup pandangan hati kita yang tulus. Lalang yang tebal mengundang kehadiran binatang yang buas. Tidak kira siapa kita. Apalagi bila selalu berdepan dengan manusia yang lain. Beruntungnya kalau menjadi manusia yang sentiasa bermanfaat kepada manusia yang lain, namun muflis kita sekiranya segala kebaikan kita dipadamkan oleh maksiat dan ego kita kepada manusia yang lain.

Renung-renungkanlah....
:: Sedikit Yang Mengingatkan Lebih Baik DARI Banyak Yang Melalaikan ::

Pohon yang berguna
2 September 2009
12 Ramadhan 1430H
2.08 Pagi

Read more...

Selasa, 19 Mei 2009

:: Tintaku berkalam lagi…… ::

Alhamdulillah… Bersyukur aku kepada Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, yang telah menjadikan Islam sebagai agama yang diredhai dan menurunkan Al-Quran sebagai penawar, rahmat dan pedoman hidup di atas muka bumi ini yang penuh dengan cabaran dan rintangan yang perlu dilalui oleh setiap manusia, maka berjayalah kepada sesiapa yang menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup di atas dunia ini. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga beliau, para sahabat yang sehidup semati bersamanya dalam memastikan ajaran Islam dan kalimah Allah SWT di atas muka bumi ini berjalan dengan kehendaknya. Dengan itu perlulah kita bersyukur ke atas nikmat iman dan Islam yang masih dapat kita kecapi di saat ini selain mendapat rahmat dan kasih sayang Ilahi.
Terasa lama blog ini tidak dikemas kini, lantaran kesibukan yang menerjah dalam kehidupanku sehari-hari. Terasa setiap detik yang telah berlalu pergi seperti baru semalam bersua kembali. Rasanya hanya dengan mencari ketenangan dari Ilahi mampu membuatkan diriku mampu menghadapi cabaran mendatang. Pelbagai aktiviti aku lakukan sepanjang 2 bulan ini. Antaranya menyertai ‘TOT’. TOT adalah singkatan kepada Training of Trainer untuk ABJZ. Apa plak ye ABJZ nie???. ABJZ nie adalah singkatan kepada Anda Bijak Jauhi Zina. Program yang telah berlangsung di Politeknik Sultan Mizan, Dungun. Alhamdulillah. Kembara yang membawa seribu makna dalam kehidupan ini dalam meniti detik-detik terakhir dia tahun akhir pengajian. Selain itu, aku juga menyertai Rehlah bersama dengan sahabat-sahabat seperjuangan dan adik-adik seperjuangan di Jeram Linang. Walaupun terdapat pelbagai halangan dari segi ruang dan masa, aku bersyukur kerana Allah SWT masih menganugerahkan aku masa untuk bersama-sama dengan sahabat-sahabatku. Selain itu, antara program yang aku turut serta sempena sambutan hari ibu ialah dengan menyediakan bahan multimedia dan memberikan sedikit tazkirah tentang pengorbanan seorang ibu....

Terasa kerdil diri ini dalam menghadapi mehnah kehidupan. Sesegar embun pagi yang setia dengan basahan air embunnya pada daun di waktu pagi, begitu jualah aku harapkan iman aku terus istiqamah di atas syariat Islam. Sering kali lagu harapan padamu subur kembali dari kumpulan saujana berjaya merentap hati yang luluh ini dari terus hancur. Sering kali apabila berhadapan masalah, hati kecilku tertanya-tanya mengapa ini terjadi terhadap diriku dan tidak pada orang lain..??? Mengapa kehidupan ini sering saja menjanjikan sesuatu yang penuh dengan dugaan....??? Sahabat-sahabatku... sebenarnya itulah soalan yang sering kali menerjah benak fikiran kita apabila menghadapi kesulitan. Tetapi semuanya telah dijawab oleh Allah dalam Al-Quran. Pelbagai ragam manusia terpaksa aku hadapi... Pelbagai masalah manusia terpaksa aku lalui bersama... Kerana apa??? Mungkin itu yg telah ditakdirkan jalan yang patut aku lalui.

Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ia menjadi besar, sehinggalah sesuatu yang abstrak sehinggalah menjadi kompleks... begitu jugalah kehidupan manusia ini.... setiap ujian akan menghadapi ujian dari peringkat paling bawah, menapak perlahan-lahan ke atas menjadi semakin mencabar. Tapi, apabila bermuhasabah sendirian di kala mata masih belum terpejam, sering kali aku terfikir apakah aku telah menyelesaikan segala masalah yang berkait dengan diriku sebelum aku menutup mata. Adakah ini pejaman terakhir aku tatkala aku masih mengecilkan hati orang, ada lagi hutang yang belum aku langsaikan, ada lagi dosa aku pada orang, adakah lagi hak orang lain yang belum aku sempurnakan dan pelbagai lagi yang membelenggu fikiranku....

Alhamdulillah, segala ujian yang menapak dalam semester ini banyak yang berjaya diselesaikan alau mengambil masa yang agak panjang. Aku banyak sandarkan masalah kepada yang menciptakan diriku ini... Seterusnya barulah aku berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi... seterusnya aku bertawakal sekali lagi pada Allah. Hasilnya setiap masalah, aku diberikan jalan keluar untuk penyelesaian.

Dan sebelum cuti semester bermula... aku terpaksa menghadapi peperiksaan akhir semester. Tiada yang lebih bermakna dalam hidup ini selain memohon kepada Allah supaya memudahkan aku menghadapinya. Habis saja exam... ada satu program ke Sarawak yang aku akan hadiri. Balik dari itu dah ada mcm-mcm program menanti di utara sana.

Sahabat-sahabatku.... sebagai mengakhiri kalamku untuk kali ini, suka untuk aku ingatkan kepada diriku sendiri dan sahabat-sahabatku yang lain, bahawa ingatkanlah aku jika aku terlalai dari menjalankan tugas dan amanah yang dipikulkan ke atas diriku. Aku mohon kalian bersama-sama menasihati diriku yg kerdil ini. Sahabat-sahabatku... istiqamahlah kehidupan kalian atas jalan islam. Kerana disitulah letaknya keadilan, di situ jualah letaknya ketenangan dan di situ jualah letaknya kebahagiaan yang hakiki. Alangkah indahnya diri kita jika saat maut menjemput, kita sedang berada dalam melakukan perkara-perkara kebaikan ke jalan Allah.

Maafkanku sekali lagi wahai sahabat-sahabatku andai gerak hati untuk mempersembahkan pendapat ini membawa resah yang berpanjangan, serta karangan kata-kata yang menyampaikan maksud berkenaan, kurang santun dan beradat, aku sekali lagi menyusun jari mengangkat tangan memohon maaf. Semoga ada manfaatnya

Wahai Tuhan ku yang Esa
Bila kenangkan QaharMu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksaMu

HambaMu rasa putus asa
Siapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika

Tika mengenang GhafarMu
Putus asa tiada lagi
Semangatku pulih kembali
Harapanku subur kembali
Ujian menimpa menekan di jiwa
Tak sanggup meneruskan perjuanganku
MehnahMu itu penghapus dosaku
Mengganti hukumanMu di akhirat

Di waktu mengenang rahmatMu
Terasa diri kurang bersyukur
PadaMu harusku memohon
Moga syukurku bertambah

Alangkah susahnya Mendidik nafsuku
Yang tidak dapat melihat kebenaranMu
Bantulah hambaMu
Dalam mendidik jiwaku ini

:: Sedikit yang mengingatkan lebih baik daripada banyak yang melalaikan :


Pohonyangberguna
20 Mei 2009
12.01 Pagi

Read more...

Sabtu, 9 Mei 2009

:: Pengorbanan Yang Tidak Terbalas ::

Hasil nukilan Saiful Nang

Baru hari ni saya dapat kumpulkan semula kekuatan saya yang berderai2 semasa pemergian Ibu saya yg tersayang. Dengan pemergiannya, saya hilang inspirasi saya sejak saya boleh mengenal hidup lagi. Memang setiap anak menganggap ibu mereka adalah ibu yang terbaik sekali. Untuk ibu saya, dia menganggap anak dia adalah anak2 yang terbaik sekali.

Di lahirkan dan dibesarkan kira2 54 tahun lalu dan di label sebagai "Anak Sial" oleh ibunya sendiri, mak saya di jaga oleh neneknya. Pelajaran bukan sesuatu yang penting. Pada umurnya 9 tahun lagi, arwah ibu saya dah mula bekerja membasuh kain di rumah2 Tuan-tuan pada masa itu. Dengan gaji sebulan RM30, mak menagih kasih dgn ibu dan bapa kandungnya sendiri. Habis gaji setiap bulan RM30 diberikan dgn harapan, dapatlah kasih sayang seorang ibu dan bapa.

Malangnya, duitnya di ambil, kasih sayang tak diberi. Emak tak pernah hidup senang. Sehingga lah emak berkahwin dgn ayah pun, emak cuma ada sehelai sepinggang. Memang perasan dalam banyak gambar2 emak masa muda dulu, emak byk pakai baju yang sama. Emak tak kisah. Emak tak pandai membaca, habis anak2 di suruhnya belajar membaca supaya tak jadi macam dia. Semasa sekolahkan saya dan adik2 saya, mak bergolok bergadai. Pajak gadai dah jadi destinasi tetap selang beberapa bulan. Tapi pada dia, anak2 dia tak sepatutnya tidak berpelajaran dan anak2 dia BERHAK mendapat kasih sayang dan perhatian dari "mereka".

Emak taknak anak2 jadi macam dia. Pada awal tahun ni, lepas saya hantar adik bongsu saya ke UiTM, Emak menangis sedih...pasal tinggal emak dgn ayah berdua sahaja. Tapi emak gembira dan dia pernah cakap "Kalau lepas ni emak mati pun, emak puas hati anak2 emak berjaya". Justeru, saya berjanji...SAYA AKAN TETAP TERUS MENJADI KEBANGGAN EMAK!!

Umur emak tak panjang. Emak dah sakit sejak lahirkan adik bongsu saya pada 1988. Kelahiran melaluhi pembedahan di campur dgn sedikit kencing manis keturunan menyebabkan komplikasi dalam kesan pembedahan. Mungkin itu yang menyebabkan emak menanggung sakit sejak 1988 sehingga 2001. Pada 2001 penyakit emak akhirnya dikesan dan pembedahan untuk membuang ketumbuhan dan rahim emak pada kami satu kelegaan.

Sekurang2nya kami berharap emak akan kembali sihat seperti sedia kala. Emak sembuh tetapi selang beberpaa bulan, penyakit emak dtg semula. Doktor klinik kesihatan dan juga klinik2 swasta semua dah di cuba dan cara tradisional mana yang belum dicuba...semuanya hampa. Emak masih tetap sakit. Emak saya tak macam orang lain, dia berjalan 10 langkah pun dah penat. Tapi masa muda dulu, kelapa sawit 50Kg pun dia pikul atas kepala dia. Kereta tolak sarat dgn sawit dgn berat lebih dari 100kg pun dia sorong.

Emak sgt kuat menahan kesusahan dan keperitan hidup. Pada tahun 2003, saya bagi emak kereta. Emak happy sangat dan emak boleh pergi jalan2 mana2 emak suka. Setiap kali saya hulurkan nafkah untuk ibu bapa saya...walaupun pada ketika pendapatan saya RM400 sebulan pun, walaupun hanya RM50 pada ketika itu tapi di tatap dan dicium duit tu dgn penuh bangga, itu hasil titik peluh anak yang pernah di kandungnya dulu. Lantas kebiasaannya saya akan dengar perkataan ini "Syukur Alhamdulillah, harap2 rezeki Angah lebih murah lagi".

Alhamdulillah, doa nya makbul. Lebih2 lagi setelah penglibatan serius saya dalam perniagaan photography yang semakin menjadi2 dari penghujung 2004, banyak yang telah diadakan untuk kemudahan emak sedikit demi sedikit. Emak suka sangat masa tu. Masih teringat segar dlm ingatan saya bila emak senyum. Senyuman yang saya akan rindukan selama-lamanya. Selepas office saya dirompak tempohari, saya takut nak beritahu emak pasal takut dia risau. Tapi seminggu selepas tu, saya tak sampai hati nak sembunyikan dan saya kongsikan seperti kebiasaannya. Emak tempat saya berkongsi berita susah dan senang sebelum ni (sebelum saya berkahwin), sekarang apa2pun...isteri saya akan tahu dahulu. Tahu pasal rompakan tu, mak saya terus jadi sesak nafas. Dalam sembahyang Asarnya, ayah cerita emak berdoa sampai menangis2 minta saya diselamatkan dari kemelut financial disebabkan rompakan tu. Allah maha BESAR, doa mak saya dikabulkan.

Keesokan harinya, saya dapat 2 deal yang BESAR pada hari yang sama. Project yang saya ratingkan terbesar sepanjang tahun ini dan shooting yang melibatkan seluruh malaysia dan juga Dubai. Tak di jangka tapi doa emak kepada anaknya...tidak ada perantaranya. Serentak dgn itu, saya sempat khabarkan kepada emak saya...2 hari sebelum emak saya dimasukkan ke hospital. Saya beritahu "Emak, tahun ni kita boleh raya besar2an, Angah dah recover dari kecurian office, ada rezeki lebih sikit, tahun ni kita raya sama2 satu keluarga kita buat satey, dan angah bawak balik kereta baru". Emak gembira sambil cakap "Syukur Alhamdulillah angah, emak doa rezeki angah dgn intan akan lebih murah lagi selepas ni".

2 hari selepas tu, mak saya dimasukkan ke hospital. I dropped everthing in my hand and made my way to the hospital. Emak nampak LESU sangat. Saya beri dia semangat untuk melawan penyakitnya. Saya tahu emak saya kuat. Adik emak yang 10 tahun beza umur sakit macam emak tapi tahan 2 tahun shj. Tapi adik emak tu selalu sebut pasal nak mati. Tapi emak dah bertahan dari 1988 hingga 2007. Hampir 20 tahun melawan penyakit. Tapi kali ni....emak tewas. Emak mengalah pada ketentuan yang telah tiba.
Emak meninggalkan kami semua dalam tidur yang aman di atas katil hospital. Kami adik beradik Abg Along, Adi, Saya dan Razi dgn sorang Adik emak saya sendiri yang memandikan mak kami. Itulah kali pertama dan kali terakhir kami memandikan emak.

Untuk pertama kali saya lihat muka emak tersenyum semasa jenazahnya dimandikan. Itulah rupa emak sebelum 1988. Tersenyum tanpa kesakitan yang ditanggung lagi. Senyum yang menggambarkan keamanan dan ketenangan untuk mengadap Rob'Ul Jalil. Sehingga ke liang lahad kami hantar ibu kami. Dalam tangisan kami berikan kucupan yang terakhir sebelum emak di kapankan. Kami ucapkan..."Terima Kasih Emak, selamat berjumpa lagi nanti". Di sebalik senyuman Arwah semasa dikapankan, saya terlihat cerita2 kesusahan arwah membesarkan kami sehingga berjaya.

Arwah ibu pergi dengan tenang. Pengebumian yang sgt lancar. Setibanya di liang lahad, kami tarik sahaja tikarnya terus emak tersendeng ke arah kiblat. Dan terus disemadikan tanpa apa2 masalah. Ketibaan jenazah emak dari hospital disambut oleh pagi yang damai dan hujan renyai dan juga jaluran pelangi pagi. Selepas pengebumian, hujan turun selebat2nya selama 1 minggu.

Dalam hati saya...sentiasa merindukan emak. Sehingga sekarang, Emak tak pernah mati dalam diri saya. Darah emak yang mengalir dalam badan kami, membawa semangat..." PANTANG MENYERAH KALAH" dan semangat itu masih kuat dan semakin utuh dari hari ke hari. Emak...I MISS YOU MAK!!

:: Selamat hari Ibu ::

Read more...

Rabu, 6 Mei 2009

:: Maafkan Aku Wahai Teman... ::

Maafkan aku wahai teman...

Ketahuilah yang aku tak berniat untuk melukakan hatimu
Tidak terlintas pada fikiranku untuk menguris hatimu
Namun kadang-kadang dek kepenatan
juga tekanan yang memanjang
Terkadang aku hilang pertimbangan

Maafkan aku wahai teman...
Aku cuba bawa dirimu ke suatu sudut untuk diperhatikan
Aku mahu mereka mengenalimu dengan penuh keselesaan
Tapi aku fikir dirimu tak sabar inginkan perubahan
Itu sebab aku tegur, bukan apa, sekadar peringatan

Maafkan aku wahai teman...
Teringat pesan guruku
Kita yang baru kenal Islam
Jangan sesekali musnahkan dakwah
Dakwah para ulamak yang telah lama memulakan.

Maafkan aku wahai teman...
Ketahuilah ramai yang telah memulakan
Ramai juga yang semangat macam kalian
Bertahun belajar di perantauan tentang apa itu Islam
Berdasarkan sunnah apatah lagi al-Qur’an
Balik ke tanah air mereka teruskan perjuangan
Tapi masalahnya ramai yang menentang
Bukan kerana tak mahukan kebenaran
Tapi kerana kita yang terkadang hilang pertimbangan
Akhirnya ramai yang semakin berjauhan
Itulah hasilnya bila tak sabar inginkan perubahan

Maafkan aku wahai teman...
Aku bukan tidak mengerti apa hasrat kalian
Jauh lagi menjadi penentang kepada kesyumulan Islam
Kalaulah begitu angapan diriku terhadap dirimu wahai teman
Akulah antara insan yang akan pastikan dirimu dibuang
Namun ketahuilah yang aku membela dirimu bila dipersoalkan
Kukatakan dirimu banyak berjasa untuk Islam
Terutamanya di kampus kita yang tersayang
Hasilnya mereka kekalkan statusmu walaupun ada yang keberatan

Maafkan aku wahai teman...
Aku marah bukan kerana benci
Tapi kerana sayang
Sayang akan hasrat dirimu yang cita-citanya menjulang
Pesanku buat kalian jangan hilangkan kepercayaan
Lepercayaan yang telah diberikan
Lebih-lebih lagi bila diberi peluang

Maafkan aku wahai teman...
Mungkin ramai yang tak faham apa yang aku maksudkan
Hanya yang berkenaan mampu mentafsirkan
Cukuplah hanya dirimu yang faham
Kerana itulah satu-satunya tujuan

Maafkan aku wahai teman...
Pesanku buat diri kalian, teruskanlah perjuangan
Tampa perlu menoleh kebelakang
Karenah mereka yang menentang tak usah dipedulikan
Teruskan perjuangan selagi hayat dikandung badan

Insan yang mengharapkan kemaafan dan keredhaan dari.......

Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP