Isnin, 31 Ogos 2015

:: Bingkisan Ramadhan 1436H ::


Dalam meniti kehidupan yang dilalui, terselit jua sedikit rimbunan kasih sayang tuhan terhadap hambanya. Seringkali kita mendengar ungkapan jika seluruh bulan adalah noda, maka ramadanlah penyucinya. Walaupun ramadan telah meninggalkan kita 14 hari yang lalu, masih belum terlewat untuk berkongsi catatan ramadan yang dilalui pada ramadan kali ini. Tiada siapa yang mampu menghitung adakah ramadan yang telah lepas merupakan ramadan yang terakhir bagi dirinya, atau adakah masih lagi ada ruang dan kesempatan untuk bertemu ramadan seterusnya. Apapun, niat yang utama perlulah diperbetulkan. Kita perlu melakukan ibadah yang bersungguh bukan sahaja pada bulan ramadan, tetapi pada bulan-bulan seterusnya. Jadilah hamba yang rabbaniyah dan bukan hamba ramadaniyah. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, salah satu yang menjadi ibadah tumpuan dalam bulan ramadhan adalah solat tarawih. Kenikmatan dalam menunaikan solat tarawih adalah sesuatu yang tidak boleh digambarkan dengan sesuatu. Menjadi kebiasaan bagiku untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Zahir yang juga merupakan Masjid Negeri Kedah serta digelar juga sebagai Masjid Diraja. Sungguh solat tarawih di sini tidak pernah menghampakan bagi mereka yang pernah bersembahyang ini. Ramai imam-imam tahfiz yang dilantik menjadi imam di sini. Antaranya Sheikh Roslan Abdul Halim-Al-Hafiz (Imam Besar Masjid Zahir), Sheikh Kadri Abdul Hamid Al-Hafiz (Pensyarah Tahfiz), Sheikh Muhammad Idrus bin Ismail Al-Hafiz (Pensyarah Tahfiz), Sheikh Muhammad bin Musa Al-Hafiz (Pengetua Maahad Tahfiz Yayazah Al-Huffaz), Sheikh Usamah bin Muhammad Iqbal bin Sheikh Muhammad (Guru Al-Quran yang mengajar di Al-Quran di dalam halaqah di masjidil haram serta menjadi imam di masjid sekitar bandar Makkah Al-Mukarammah). Selain itu terdapat juga imam-imam muda yang mempunyai bakat dan seni suara dalam mengalunkan bacaan Al-Quran yang mampu menyentuh jiwa bagi mereka yang mentadabbur bacaannya. Antaranya ialah Ustaz Mohd Ersyad bin Abdullah Al-Hafiz (Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan & Antarabangsa) serta Ustaz Abdul Hadi bin Ismail Al-Hafiz (Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2013) dan ramai lagi imam-imam jemputan yang dijemput oleh pihak pengurusan masjid untuk mengimarahkan masjid pada bulan ramadhan kali ini.


Antara kata-kata hikmah yang sempat saya titipkan untuk menjadi pedoman bagi kita sebagai hamba ini adalah…. setiap malam kita diperdengarkan dengan bacaan al-quran 1 juzuk 1 malam. Jika ditakdirkan oleh Allah tiang-tiang dan dinding-dinding masjid ini hidup, tentu sekali akan bergegar jiwa mereka, sebagai manusia yang dikurniakan jiwa dan akal yang sempurna, jika hati kita tidak mampu bergetar apabila mendengar kalimah tuhan yang maha agung, maka kita perlulah munasabah jiwa kita, setakat manakah keimanan kita kepada Allah SWT. Sedangkan Allah berfirman di dalam Surah Al-Anfal Ayat 2 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Begitulah sepatutnya yang diteladani, sebaik-baiknya adalah kita mentadabbur apa yang dibaca, agar hikmah al-quran itu sampai ke dalam lubuk hati kita untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Kesyahduan dan ketenangan dalam solat tarawih terakhir untuk ramadhan 1436H kali ini. Seperti biasa ianya menggamit perasaan sedih dan pilu, adakah masih ada umur untuk bertemu ramadan pada masa akan datang.... apapun sesuai dengan intipati doa qunut yang dibacakan tadi, harapanku biarlah sejahat mana pun kejahatan yang telah dilakukan, biarlah dosa seluas langit dan bumi, ku mengharapkan pada akhir hidupku hanya kalimat tauhid " لا إله إلا الله " mengiringi nafas terakhir dalam mengakhiri kehidupan di dunia ini.......

Ya Allah Jadikanlah kalam terakhir ketika mana pengakhiran ajal kami ialah kalimah لا إله إلا الله

Mudah-mudahan kita semua diizinkan ALLAH SWT untuk bertemu RAMADHAN 1437H plak.. 











Read more...

Ahad, 30 Ogos 2015

:: Keberkatan yang Didamba ::

Saya kongsi peristiwa ini untuk dijadikan renungan bersama..

Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dia alami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang upahan dengan gaji sebanyak 5 dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi untuknya.


Namun anehnya, Imam Syafie langsung menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4 dirham. Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sekalipun dia tidak faham apa maksud dari suruhan itu.


Setelah berlalu beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang kehidupannya yang tidak ada kemajuan. Lalu Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan minta untuk mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. Lelaki itupun pergi melaksanakan anjuran Imam Syafie dengan perasaan sangat hairan.


Setelah berlalu sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih atas nasihatnya. Dia menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya, bahkan hidupnya menjadi lapang. Dia menanyakan apa rahsia di sebalik semua itu?


Imam Syafie menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia jalani itu tidak berhak mendapatkan upah lebih dari 3 dirham. Dan kelebihan 2 dirham itu telah mencabut keberkatan harta yang dia miliki ketika bercampur dengannya.


Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir:


جمع الحرام على الحلال ليكثره


دخل الحرام على الحلال فبعثره


Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak.

Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya.
_____

Barangkali kisah ini dapat menjadi pelajaran yang sangat berharga bagi kita dalam kehidupan harian. Jangan terlalu berharap gaji besar bila pekerjaan kita hanya sederhana. Dan jangan berbangga mendapat gaji besar, padahal kerjabuat kita sangat lemah atau tidak seimbang dengan gaji yang diterima.


Bila gaji yang kita terima tidak seimbang dengan kerja, ertinya kita sudah menerima harta yang bukan hak kita. Itu semua akan menjadi penghalang keberkatan harta yang ada, dan mengakibatkan hisab yang berat di akhirat kelak.

Harta yang tidak berkat akan mendatangkan permasalahan hidup yang membuat kita susah, sekalipun bertaburkan benda-benda mewah dan serba lengkap. Wang banyak di bank tapi setiap hari bergaduh dengan isteri. Anak-anak tidak mendatangkan kebahagiaan. Dengan teman dan jiran sekeliling tidak sehaluan.


Kenderaan selalu bermasalah. Ketaatan kepada Allah semakin hari semakin melemah. Fikiran hanya dunia dan dunia. Harta dan harta. Penglihatan selalu kepada orang yang lebih dalam masalah dunia. Tidak pernah puas, sekalipun mulutnya melantunkan alhamdulillah tiap minit.

Kening selalu berkerut. Satu persatu penyakit datang menghampiri. Akhirnya gaji yang besar habis untuk cek up ke hospital dan periksa ke klinik. Tidak ada yang dapat dibahagikan untuk sedekah, infak dan amal-amal demi tabung masa depan di akhirat. Menjalin silaturrahim dengan sanak keluarga pun tidak. Semakin kelihatan mewah tapi sifat kedekutnya juga semakin menguasai.


Semoga Allah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk serius dalam bekerja, hingga rezeki kita menjadi berkat dunia dan akhirat !


‪#‎kreditutksahabat‬ whatassap group..

Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP