Sabtu, 14 Februari 2009

:: Bila Al-Quran Mula Berbicara ::

Waktu engkau masih kanak-kanak.............
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wuduk', Aku kau sentuh
Dalam keadaan suci, Aku kau pegang
Aku,kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa..............
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku...
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......
Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali;
sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pengisi setormu.

Kadang kala Aku dijadikan mas kahwin agar engkau dianggap bertakwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian , kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, aku engkau pendamkan.
Dulu...pagi-pagi...surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapahalaman.
Di waktu petang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau.....

Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau engkau abaikan dan engkau lupakan...

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka
surah2ku(Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati muzik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan, radiomu selalu tertuju ke stesennya radio kesukaanmu
Mengasyikkan.

Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di Komputermu pun kau putar muzik favoritemu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku.........
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku

Bila malam tiba engkau tahan bersengkang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran televisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekadar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu.........

Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama
Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafaz yang tidak semerdu dulu
Engkaupun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah SWT

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu...........
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu

Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Quran",kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali.. .. bacalah aku kembali aku setiap hari.
Kerana ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah

Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu

Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.

Sentuhilah Aku kembali...
Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi....

Read more...

Selasa, 10 Februari 2009

:: Wanita, kejantanan dan pemerintahan bermaruah.. ::

Artikel ini mempunyai pelbagai makna tersirat yang mengungkap tentang kehidupan kita semasa. Segala-galanya bergantung kepada tafsiran pembaca sendiri. Ditulis oleh Ali Bukhari Amir.

Perlahan-lahan, Tun Nila Utama masuk mengadap dan bersembah di hadapan Baginda Sultan selesai perguruan ilmu persilatannya. Ketika diajukan pertanyaan sama ada beliau mahu beristeri atau tidak, maka Tun Nila pun berkata, "Anak kepada sekalian dato' menteri itu bukanlah perempuan, tetapi betina semata-mata.."

"Tun Nila! Apa bezanya antara perempuan dengan betina?" Sultan Alam Syah Bana, Raja bagi kerajaan Pura Cendana mula murka. Seumur hidupnya, barangkali baru kali ini baginda mendengarkan ungkapan biadap sebegitu yang jelas menghina kaum wanita di negerinya.

"Perempuan.. memelihara maruah," kata Tun Nila. "Tetapi betina.. menjualnya.."

Oleh kerana kejujuran mempertahan pendapatnya itu, beliau dititah keluar negeri untuk akhirnya kembali semula mempersembah seorang wanita bermaruah di hadapan baginda sultan dan pembesar negeri tersebut. Akhir daripada pencarian, Tun Nila memang berjaya membawa pulang seorang perempuan.


Kalau tidak ditafsirkan betul-betul, nanti kaum wanita marah pula. Tentu mereka tertanya-tanya, apakah bezanya antara lelaki dan jantan. Maka jawapannya tetaplah sama, iaitu lelaki memelihara maruah serta jantan itu telah menjualnya.

Jantan dan betina adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa manusia itu bukan lagi makhluk bergelar khalifah yang seluruh kehidupannya dibungkus hias dan didandan oleh sifat-sifat kemanusiaan.


Arakian.. rupa-rupanya, sekalian bangsawan dan pembesar di negeri itu ada masalah besar dengan kaum wanita. Menteri Nikah Kahwin pun sanggup menceroboh rumah Puspawangi saat Tun Nila Utama mencari Musang Berjanggut.

"Apa hukumnya, seorang lelaki menceroboh masuk ke rumah wanita ketika ketiadaan suaminya?" tanya Puspawangi kepada Menteri Nikah Kahwin.

"Oh, itu salah besar.."

"Jadi.. kanda pun salah jugalah," balas Puspawangi.

"Eh, salah jugalah.. tapi tak apa-apa. Sebabnya, undang-undang dalam negeri ini kanda yang pegang. Itu semua boleh padam.."

Ertinya, kelelakian kaum Adam pun boleh runtuh ke taraf jantan apabila mereka telah menjual maruahnya. Sama sahaja keadaannya. Tanpa maruah, kewanitaan dan kelelakian telah tercabut daripada jiwa mereka.

Cuma.. dalam fahaman Melayu, ungkapan 'anak jantan' itu masih lagi bermaksud mulia kerana diungkap perkataan itu untuk menunjukkan darjah keperwiraan mereka untuk membela hak dan keadilan pusaka, tanahair dan maruah. Maka, dalam konteks penggunaan lafaz ini, 'anak jantan' memang memiliki konotasi yang sangat baik.

Sementara itu, kepenggunaan lafaz 'anak jantan' pada zaman purbakala juga boleh merujuk kepada keadaan tidak bermaruah jikalau 'anak jantan' itu takut merampas dan mengganggu isteri orang, membuat onar serata kampung termasuk mengintai anak dara mandi di tepi sungai. Ini semua gejala-gejala tidak bermaruah, tetapi dianggap tidak jantan jika mereka tak berani melakukannya.

Pada zaman sekarang, seseorang lelaki mungkin dianggap tidak jantan jika tidak pandai merempit, tidak menghisap rokok, berjudi, membuat tatu, memakai anting-anting, menindik hidung dan main perempuan. Walhal, ini semua adalah gejala yang bakal meruntuhkan anak bangsa. Dan, kebanyakan 'anak jantan' yang berani melakukan hal ini secara terbuka adalah anak kepada orang kenamaan yang tidak boleh disentuh oleh penguatkuasa kerana mereka adalah orang terhormat.

Demikianlah.. seorang pemimpin dianggap tidak bermaruah apabila sanggup menggunakan wangnya untuk membeli kaum wanita, bercakap tidak serupa bikin, tidak jujur dengan undang-undang negara yang digubal melalui lidah, jiwa dan fikirannya. Cakap tidak serupa bikin, memadam kesalahan dengan memperalat perundangan adalah sikap tidak bermaruah seseorang pemerintah.

Makna maruah

Dalam bahasa Arab, mar'atun ertinya perempuan. Daripada segi ini, hubungan kaum perempuan dengan maruah itu jauh lebih akrab berbanding kaum lelaki. Barangkali, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa maruah sesuatu bangsa atau maruah agama itu terletak kepada maruah kaum wanita bagi sesuatu bangsa dan agama itu.

Misalnya, jika wanita Melayu itu rosak, maka rosaklah maruah Melayu. Atau, jika wanita muslimah itu rosak, maka maruah seluruh umat Islam itu pun tercalarlah sudah. Namun, haruslah diingat juga bahawa..jika wanita bagi sesuatu bangsa itu sudah rosak, maka kaum lelaki bagi sesuatu bangsa itu mestilah segera bertanggungjawab dan memainkan peranannya!

Ini kerana.. ada banyak kejadian yang menunjukkan bahawa kaum lelaki itu jugalah yang telah menyebabkan kaum wanitanya telah tergadai maruah. Kalau wanita itu menjadi penari di sebuah kelab, maka pemilik kelab itu kemungkinannya seorang lelaki juga! Mereka inilah yang telah memperalatkan kaum wanita itu tadi dengan segala janji manis.


Maka, apakah usahanya untuk kita kembali menyedarkan umat ini berhubung persoalan maruah?
Tidak dapat tidak.. memang kita perlu berusaha keras mengkaji, menelaah dan jujur bermuhasabah mengenai kelemahan diri lalu berusaha memperbaikinya daripada semasa ke semasa.

Sementara itu, Kamus Dewan menafsirkan maruah sebagai kehormatan (diri), dan harga diri. Dalam pengertian yang kedua, kamus itu juga menunjukkan pertalian hubungan maruah dengan sifat laki-laki, keberanian dan kegagahan.

Kita boleh juga menyatakan bahawa orang yang bermaruah itu adalah mereka yang berani mempertahan pendirian, tak mudah goyah prinsip perjuangan dan tidak boleh dijualbeli pendiriannya melalui tawaran wang, pangkat, kekuasaan dan wanita yang cantik.

Wanita itu bagaikan cermin
Sementara itu, mir'aatun dalam bahasa Arab bermaksud cermin. Jadi, isteri bagaikan cermin di mana gambaran wajah suami terpantul dalam cermin tersebut. Atau, kita boleh juga menyebutkan bahawa kaum wanita itu bagaikan cermin yang akan memantulkan gambaran sebenar kaum lelaki dalam dirinya.


Jika cermin (wanita) itu gelap, berhabuk dan berdebu, maka kaum lelaki itulah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membasuh dan menggilapnya supaya imej gambaran dan bayangan dirinya akan kembali terang dan cerah di dalam cermin itu. Kaum wanita itu cerminan bagi diri kaum lelaki.

Kalau cermin itu retak dan pecah, maka gambaran lelaki itu sendiri akan turut menjadi cacat. Cermin yang akan cacat dan telah dirosakkan inilah yang akan menebarkan segala benih sengketa di dunia akibat kaum lelaki sudah tidak lagi ambil kisah, tidak peduli dan bersikap tidak bertanggungjawab memelihara, memuliharanya daripada semasa ke semasa.
*********************************************************************************************************

Sultan Alam Syah Bana akhirnya turut berasa malu berikutan kejadian dirinya tertangkap sebagai penceroboh dalam rumah anaknya sendiri tatkala cuba berbuat serong terhadap menantu perempuannya.

Pemerintahan yang bermaruah
"Yang sebenarnya, ayahanda ingin mengetahui apa perbezaan antara perempuan dengan betina. Sekarang barulah ayahanda tahu," kata baginda ketika mula menginsafi kesilapannya. Di sini dapat dilihat betapa sulitnya untuk kita berusaha memulihkan sebuah pemerintahan yang bermaruah.

Kita mungkin boleh memimpin rakyat bawahan dengan mengendong seribu satu macam inti pengajaran guna mengasuh pemikiran darihal pengertian maruah. Tapi, bagaimana cara mengasuh penguasa agar mereka dapat mengusung pemerintahan bermaruah? Hal ini memerlukan kesungguhan yang mendalam, keberanian, kejujuran bertindak dan keikhlasan mempertahan pendirian.
Syahadan wal arakian..

Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP