Selasa, 16 Disember 2008

:: Manusia kerap lupa janji tak ulang maksiat ::


AL-IMAM Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya Al-Daa' wal Dawaa' berkata: "Kegembiraanmu dengan perbuatan dosa, tertawamu ketika melakukan dosa, kesedihanmu saat tidak dapat melakukan dosa, kesungguhanmu menutupi aib akibat dosa dan hatimu yang tidak boleh gementar ketika Allah memandang dosamu, semua itu lebih berat di sisi Allah melebihi timbangan dosa itu."


Betapa mudahnya kita melupakan dosa sedangkan Allah merekodkan segala-galanya untuk sidang perbicaraan di akhirat. Bukankah sudah sampai kepada kita firman Allah mengenai nasib manusia yang mudah melupakan dosanya.


Firman Allah yang bermaksud: "Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang sudah mereka kerjakan ada tertulis dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun." (Surah al-Kahfi, ayat 49)


Mengapa manusia selalu mengulangi dosanya selepas bertaubat? Apakah kerana syaitan lebih bijak menyelewengkan mereka dengan hujah bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun? Lalu mengapa orang bodoh itu tidak berfikir apakah tujuan diciptakan neraka jika mereka semua kononnya boleh masuk syurga dengan cara mempermain-mainkan pengampunan Allah? Orang yang benar-benar beriman tidak akan terjerumus ke dalam lubang sama dua kali dan orang yang benar yakin dengan perhitungan hari akhirat pasti berusaha menjadikan hari ini lebih baik daripada kelmarin dari segi peningkatan ilmu, iman dan ibadat.


Jadi panggilan apakah yang paling sesuai bagi mereka yang selepas bertaubat selalu berbuat dosa kembali secara berulang? Agaknya mereka ini sesuai dipanggil dengan sebutan hamba Allah yang tidak tahu malu. Seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham: "Wahai Imam, aku ingin bertaubat dan meninggalkan dosa tetapi aku selalu mengulangi dosaku, tunjukkanlah kepadaku jalan yang mencegah aku bermaksiat lagi kepada Allah."


Ibrahim bin Adham berkata: "Jika engkau ingin bermaksiat janganlah engkau melakukannya di atas bumi milik Allah ini. Lelaki itu bertanya: Lalu di manakah aku boleh melakukannya? Ibrahim bin Adham menjawab: Keluarlah dari bumi-Nya. Dan jika engkau masih ingin melakukan maksiat, jangan makan rezeki kurniaan-Nya. Lelaki itu bertanya: Bagaimana aku boleh hidup tanpa rezeki daripada-Nya? Ibrahim berkata: "Tidakkah engkau rasa malu hidup di atas bumi-Nya dan makan daripada rezeki-Nya kemudian melakukan maksiat kepada-Nya?"

Mengapa ramai hamba Allah yang sudah bertaubat di hadapan Kaabah, disaksikan masjid Rasulullah SAW di sisi makamnya, dengan lelehan air mata yang menyesakkan dada tetapi dengan sekelip mata mengulangi kembali perbuatan maksiat dan melupakan janji setia kepada Allah yang diikat di lehernya?

Dia ditipu oleh hasutan syaitan yang memanjangkan angan-angan bahawa dengan hartanya dia boleh 10 kali lagi mengerjakan haji dan menambah amal salih. Tetapi dia lupa sihat dan sakit, ajal dan maut di tangan Allah yang tidak mungkin dibeli dengan harta dan kedudukannya. Bagaimana jika Allah mencabut nyawanya dalam keadaan dia bermaksiat?
Begitu pula ketika seseorang ditimpa musibah, serta-merta dia ingat kepada Allah dan cepat bertaubat, tetapi dengan sedikit saja harta dan keuntungan yang Allah tambahkan, dia sudah pun lupa dan lalai kerana tidak tahan dengan ujian harta itu, akhirnya dia bermaksiat kembali tanpa rasa malu.

Jelaslah betapa pentingnya seorang hamba memiliki rasa malu kepada Allah supaya dia sentiasa berada dalam keadaan sedar dan terjaga mata hatinya, tidak tidur dan lalai dibius oleh kemaksiatan yang bermaharajalela. Bagaimanakah cara menumbuhkan rasa malu kepada Allah? Kadangkala Allah merahmati hamba-Nya dengan mengirimkan ilham ke dalam hati yang terdetik secara tiba-tiba. Pernahkah kita rasai kurniaan Allah itu semakin banyak dilimpahkan seiring semakin tebalnya buku catatan dosa yang kita lakukan?

Mengapa Allah membalas dosa itu dengan rezeki yang semakin banyak, pujian manusia yang semakin melambungkan nama, jawatan semakin kukuh, kehidupan meningkat sejahtera padahal dosa dibuat berganda-ganda banyaknya? Orang yang mendapat keuntungan dunia hendaklah selalu mengingati firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan." (Surah Hud, ayat 15-16)

Ayat itulah yang menyebabkan Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan menyungkurkan mukanya ke tanah lalu beliau menangis saat menghadapi sakaratul maut sambil mengulang-ulangi bacaan ayat berkenaan. Mengapa Allah tidak terus menyeksa manusia pada kali pertama dia mengulangi dosanya, lalu dicabut rezeki dan keberuntungan daripada hidupnya, ditimpa musibah dan diazab secara langsung tanpa bertangguh?

Maha Suci Allah yang sentiasa memberi peluang untuk manusia mengingati kurniaan-Nya. Dialah Allah yang melimpahkan nikmat supaya mereka bersyukur dan kembali pulang, Dia menangguhkan seksa kerana sayang kepada kita sedangkan orang yang berdekatan dengan kita terkena bala dan musibah. Fikirkanlah ilham yang hadir dalam hati. Belumkah lagi muncul hati yang malu milik hamba Allah yang beruntung ini?

Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, mengapa Baginda melakukan solat malam sehingga kaki Baginda bengkak sedangkan Allah sudah menyucikan dirinya? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak bolehkan aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Tuhanku?" (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ada seorang hamba yang berangan-angan masuk syurga dengan membawa sembahyang yang dilakukan dengan lalai hingga habis waktu, puasa yang perisainya dikoyakkan dengan dengki, pertengkaran dan perbuatan keji, haji yang dilakukannya tanpa reda dan hilang sabar, kering ilmu dan kosong amal. Dia mahu mengetuk pintu syurga dengan tangannya yang berlumuran darah kerana mengambil hak saudaranya, menjerit minta diizinkan masuk padahal mulutnya masih berbau bangkai mayat saudaranya yang diumpat, matanya mengintai-intai taman syurga tapi kabur oleh gelapnya bayang-bayang zina mata yang pernah dilakukannya ketika melayari web lucah, khidmat pesanan ringkas (SMS) mesra dan jenayah seksual yang ditatapi setiap hari.

Jika tidak juga rasa malu melihat kekotoran diri, sekurang-kurangnya malulah bila melakukannya secara terang-terangan. Apa akan jadi dengan dunia ini apabila semua manusia berbuat maksiat secara terbuka dan tiada seorangpun memiliki rasa malu melakukannya. Rosaklah masyarakat yang tenggelam dalam kebatilan apabila tiada yang menegakkan amar makruf nahi mungkar di kalangan mereka. Kemaksiatan dan kejahatan manusia yang berakhir dengan kehancuran, semuanya bermula daripada hilangnya rasa malu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hamba-Nya, pasti Dia mencabut rasa malu dalam dirinya, jika dicabut rasa malu, maka kamu tidak akan menjumpainya melainkan orang itu membenci dan dibenci. Apabila kamu tidak menjumpainya kecuali ia membenci dan dibenci, dicabutlah rasa amanah daripadanya, maka jika dicabut rasa amanah, kamu tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati kemudian jika kamu tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati, dicabutlah kasih sayang daripadanya, jika kasih sayang dicabut maka kamu tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat, akhirnya dicabutlah ikatan keislaman darinya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Apabila seorang hamba berasa dirinya berada di bawah titik paling rendah dalam kadar hitungan imannya, hendaklah ia melihat kepada ketinggian iman orang lain di sekelilingnya. Perhatikan hamba Allah yang khusyuk berdoa sambil menangis, walaupun hati ini keras tak tembus dengan tangisan tetapi sekurang-kurangnya kita mahu menangisi diri sendiri kerana tidak boleh menangis. Betapa malunya membandingkan kejahilan diri kita dengan ulama, kemalasan kita dengan orang yang ihsan, riak yang terpalit di hati ini bandingkanlah dengan sifat ikhlas yang menghiasi jiwa orang lain.

Orang kaya yang bersedekah satu gantang berasa malu melihat orang miskin boleh bersedekah 10 kali ganda daripadanya. Semua orang mukmin yang mulia akhlak dan kuat ibadatnya serta luas kefahaman ilmunya menjadi teladan untuk kita. Pandanglah mereka dengan penghormatan dan kemuliaan dan segera bandingkan dengan diri sendiri, di manakah silapnya kita yang tidak setaraf iman dengan mereka. Jika mereka umpama bintang, kita pula hanya lilin kerdil yang kerjanya hanya membakar diri saja. Di antara orang yang malu dengan yang tak tahu malu, amat jauh beza pada pandangan manusia apatah lagi jika Allah yang memandangnya.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak iaitu Dr Juanda Jaya. Artikel ini dipetik dari Akhbar Berita Harian. Moga Ada manfaatnya.

Read more...

Ahad, 7 Disember 2008

:: 9 Zulhijjah : Menerjah Kalbu ::

Entah dari mana ingin aku mulakan tulisan ini. Banyak sangat yang tersimpan dalam diri ini yang perlu diluahkan agar dapat dikongsi bersama. Sesungguhnya hari ini 7 Disember 2008 bersamaan 9 Zulhijjah 1429H merupakan hari bagi umat islam melakukan ibadat kemuncak haji iaitu Wukuf di Padang Arafah. Hari ini aku mendapat sesuatu yang sungguh tidak aku sangkakan. Betapa murahnya air mata ini mengalir hari ini. Asalkan aku melakukan ” flashback” berderai air mata ini berguguran. Pokoknya aku banyak menangis hari ini. Penyesalan dalam menjalani kehidupan selama ini. Mungkin coretan ini banyak bertumpu kepada muhasabah diriku sendiri. Jika ada manfaatnya ambillah sebagai iktibar. Jika ianya buruk dan melampaui batas maka tinggalkanlah ia demi kebaikan bersama. Sepatutnya aku menulis untuk menceritakan pengalaman mengendalikan Kursus ESQ bagi Staf Bukan Akademik IPSMB, namun ku tangguhkan dulu supaya aku punya ruang dan masa dalam menyelami diri ini. Hari ini seperti biasa aku mulakan perjalanan hidup aku dengan Solat Subuh dan membaca Al-Quran. Aku tidak sempat untuk melakukan ibadat solat sunat malam seperti tahajud kerana aku bangun agak lewat sekitar jam 6.40 pagi. Semua ini gara-gara tangisan aku di malam hari sebelum tidur. Entahkan pukul berapa aku tidur, aku pun tidak mengetahuinya. Yang pasti sekitar pukul 2 pagi aku masih tidak dapat melelapkan mata.

Selesai semua kewajipan aku pada tuhan, aku memulakan diari indah dalam hidup ini pada hari ini dengan mengirimkan SMS kepada sahabat-sahabatku. Isi SMS tersebut berbunyi:

“Salam. Hari ini genaplah seminggu kita berpisah. Alngkah singkatnya pertemuan selama 3 hari itu, begitu jugalah singkatnya perjalanan hidup manusia. Dahulu mungkin kita tidak pernah merasa indahnya pertemuan sehingga kita mensia-siakannya. Tapi Allah SWT telah memberi kita peluang untuk kita semua mengecapi nikmat dalam persahabatan. Maha Suci Allah yang telah mengatur segala-galanya. Mohon maaf dari saya yang Haqir & Faqir di sisi Allah. Selamat Hari Raya IdilAdha 1429H. Maaf Zahir Dan Batin.”

Begitulah kiranya bunyi sms yang aku hantar kepada semua sahabat-sahabat usrahku (Naqibku, Nabil, Rauhan, Afiq, Ubai, Qudus, Nazirul Izzat, Hafiz, Ghafar). Selain itu, aku juga turut menghantar sms kepada rakan-rakan lain. Inilah bermulanya detiknya air mataku membasahi pipi. Seolah-oleh merasakan tiada lagi kesempatan untuk aku bertemu dengan mereka. Dua sms pertama yang memasuki kotak pesananku datangnya dari sahabat-sahabat usrahku. Siapa dua orang itu biarlah ianya menjadi rahsia antara aku dan mereka. Namun ingin aku lontarkan isi SMS mereka:

SMS 1
Salam, maha suci Allah yang telah menganugerahkan ukhwah persahabatan yang cukup berbekas di hati ini, yang sentiasa merindui, menyayangi, dan saling mendoakan sesame sahabat. Inilah nikmatnya ukhwahfillah. Selamat meneruskan perjuangan ya akhi. Ampun maaf zahir dan batin dari hamba yang daif ini. Selamat hari raya Aidiladha


SMS 2
Salam ya akhi, sudah seminggu perpisahan kita namun terasa begitu lama perpisahan ini, nikmat ukhwah yang kita nikmati sekarang ini amat bermakna di hati ini. Tidak pernah seumur hidup ini merasai indahnya berukhwahfillah dalam persahabatan ini. Sungguh diri ini beruntung memiliki sahabat seperti akhi. Semoga ukhwah ini akan tetap utuh dalam kalangan kita. Mohon maaf dari diri ini yang daif lagi hina di sisi Allah, Selamat Hari Raya Aidiladha.

Itulah kira-kiranya bunyi dua sms yang aku terima. Cukup menyentuh kalbu, mencengkam jiwa ini, betapa jauh beribuan batu ada insan yang mengingati, manyayangi dan mendoakan diri ini. Jauhnya jarak bukan ukuran, tetapi ingatan yang berkekalan itu yang menjadi kenangan. Ntahlah… memang hari ini betul-betul membuatkan aku berfikir sejenak tentang kehidupanku di masa lampau. Akan ku ceritakan sedikit dari ingatan memori yang masih berbaki di akal ini.
Pagi ini juga aku sempat untuk menonton rakaman khutbah jumaat dari Masjidil Haram. Khutbah jumaat ini sekali lagi berjaya meratap hati ini supaya menangis. Khutbah Jumaat yang telah disampaikan oleh Sohibul Fadilhah Sheikh Dr Saud Ibrahim As-
Shuraim. Antara isi khutbahnya yang menarik ialah pada khutbah keduanya iaitu apabila beliau menyentuh tentang betapa besarnya pengorbanan orang yang menunaikan haji. Beliau menceritakan sedikit tentang carta alir perjalanan haji sehinggalah beliau membaca sepotong hadis yang berbunyi ‘Khairu Dua Duau Yaumul Arafah’ yang bermaksud sebaik-baik doa adalah doa pada hari wukuf di arafah. Apakah yang menyebabkan hatiku tersentap dengan hadis ini. Tidak lain tidak bukan adalah mengenangkan betapa banyaknya rahmat, nikmat dan peluang yang Allah berikan kepada manusia, namun manusia hanya memandang sepi segala ruang yang telah diberikan. Pernahkan kita selama ini berdoa untuk memohon sesuatu kepada Allah pada hari di mana umat islam sedang berwukuf di Arafah? Sedangkan Allah melalui rasulnya telah berjanji bahawa antara masa mustajabnya doa adalah doa pada hari wukuf di arafah. Aku bermuhasabah, merenung sedalamnya ke dalam diri ini mengapa tawaran yang Allah berikan selama ini tidak aku manfaatkan sepenuhnya? Mengapa ruang yang Allah berikan untuk aku berdoa ini di sia-siakan? Adakah sudah cukup amalku untuk dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat, hari yang mana tidak ada seorangpun boleh berkata-berkata melainkan dengan izin-Nya? Mengapa apabila adanya tawaran yang sedikit yang berbentuk keduniaan aku akan rebut dan sesali jika tidak mendapatkannya? Adakah terlalu murah pelawaan Allah sehingga aku lebih ghairah untuk merebuat pelawaan manusia. Sungguh diri ini berasa tertipu. Sungguh diri ini berasa hina sekali. Benarlah kata Naqibku kita ini hanya sekelumit daripada kejadian manusia. Bukanlah besar sangat manusia ini dimana ada kata-kata hikmah menyebut Jika diletakkan manusia dia atas tanah Ayam Tak Patuk Itik Tak Sudu. Air mata ini sudah tidak mampu untuk ditahan daripada mengalir. Biarkanlah ianya basah dari mengingati Allah daripada ianya basah kerana mengingati manusia.

Sekitar jam 10 pagi, sahabat seusrahku, Nabil Fikri menelefonku bertanya khabar danmengucapkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha. Terima kasih nabil kerana mengingati diri ini walaupun kita berjauhan. Aku menghargai kasih yang diberikan melalui ingatan. Ketahuilah sahabat-sahabatku, aku menyayangi kalian seperti aku menyayangi diriku ini. Ada diantara kalian yang berjaya menyentap jiwaku untuk terus berjuang di muka bumi ini. Kalian adalah permata bagiku, yang mampu menyinariku tatkala aku kegelapan dan memayungiku dengan cahanya tatkala aku kesusahan. Akubersyukur dikurniakan sahabat-sahabat seperti kalian yang sentiasa mengingati aku tatkala aku membuat kesalahan, yang sudi berkongsi kesusahan dan keperitan. Hanya Allah sajalah yang dapat membalas segala jasa baik kalian. Diri ini sentiasa mendoakan supaya perjalanan masa untuk tahun 2009 berjalan dengan begitu perlahan supaya aku dapat bersama kalian dengan lebih lama. Walaupun kalian semua lebih muda dariku, namun kalian semua amat matang dalam pergaulan danganku. Ya Allah kau saksikanlah bahawa janjimu untuk mengurniakan seorang hamba untuk membantu hambanya yang ingin mengabdikan diri kepadamu adalah benar. Aku bersyukur diatas kurniaan yang telah engkau berikan. Janganlah engkau tarik nikmat iman dan persahabatan dalam diri kami ya Allah.

Pukul 11 pagi aku meninggalkan rumahku untuk membawa ibuku ke Kuala Sungai (kira-kira 25km dari rumahku) untuk mencari ikan. Aku membonceng motorsikal membawa ibuku. Boleh dikatakan inilah rutinku sehari-hari jika aku ada di rumah. Aku ingin sangat mengajak ibuku keluar berjalan-jalan. Kalau tidak mencari ikan, kami akan bergerak ke bandaraya Alor Star atau menziarahi sanak saudara. Kepada sahabat-sahabatku, jarang sekali aku keluar ke rumah tanpa membawa ibuku. Cerita ketabahan seorang ibu sungguh menyentuh jiwa ini. Biarlah aku nukilkan sedikit mengapa aku berkata demikian. Ibuku seorang yang sangat mesra dan rapat denganku. Walaupun tidak berpelajaran tinggi dan tidak bekerja, namun ibuku lebih matang dalam menyususn kehidupannya berbanding diriku ini. Aku rasa tidak pernah ibuku menolak pelawaan apabila aku mengajaknya untuk berjalan. Seletih mana, sesakit mana dan sekecewa manapun ibuku dia pasti memenuhi pelawaanku. Bayangkanlah kadang-kadang ibuku keluar dengan ayahku balik dari Perlis (lebih kurang 65KM dari rumahku), sebaik tiba dan menunaikan solat jika aku mengajak ibuku keluar, sudah pasti ibuku tidak menolak. Betapa bernilainya ibuku ini. Tidak ada tandingan terhadap ketabahan yang beliau miliki. Itu cerita ibuku yang telah menjangkau 52 tahun. Hebatkan pengorbanan seorang ibu? Tapi kita seringkali mensia-siakan nikmat itu sehinggalah Allah menarik kembali nikmat itu dari kita, barulah kita sedar. Namun tiada gunanya sesalan pada saat itu. Sayangilah ibu kita dan bapa kita. Merekalah satu-satunya ibubapa kita. Tiada tandingan dan tiada tolok bandingnya. Berbalik kepada perjalanan ke Kuala Sungai, sepanjang perjalanan hanya bacaan al-quran saja yang keluar dari mulutku di samping doa-doa untuk diriku dan seluruh muslimin dan muslimat. Air mata usah dikira. Sampai di pertengahan jalan, hujan membasahi kami berdua. Namun hujan itu, tidak mampu untuk mengeringkan pipiku yang sedia basah. Betapa nikmatnya air mata ini apabila keluar kerana mengingati Allah. Moga ianya diterima sebagai khairat untuk kehidupanku di alam baqa.

Balik saja rumah aku banyak bersendirian. Aku banyak membelek-belek kitab suci Al-Quran. Aku seperti merasakan bahawa saat-saat kemuncak untuk menangis pada hari ini akan tiba sebentar saja lagi. Memang betul detik hatiku. Pukul 2 petang aku mendengar siaran ceramah di Kedah.FM. Penceramhnya bukanlah ornag ternama dan terkenal. Ustaz Dusuki Ahmad. Namun isin ceramahnya bukan saja berjaya menyentap hati ini, malahan berjaya merobek hati ini untuk bermuhasabah dengan lebih panjang. Isi ceramahnya berkisar tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kisah itu adalah biasa untuk diriku tetapi ulasan tentang pengorbanan kita dalam mempelajari hikmah korban. Perkara pertama yang disentuh adalah berkaitan Al-Quran. Beliau menyentuh berapa ramai daripada kalangan umat islam yang telah mengorbankan al-quran dalam kehidupannya. Sedangkan sepatutnya kita berkorban usaha, masa dan tenaga dalam membaca, memahami dan mengamalkan isi Al-Quran itu dengan penuh Tadabbur. Persoalan pertama yang berjaya menyentap hati ini? Perkara kedua yang disentuh oleh beliau adalah betapa ramai diantara kita yang bergelut dalam menuntut ilmu agama. Mengapa kita sering menganaktirikan masa apabila diajak untuk mendengar ceramah, kuliah, dan tazkirah? Mengapakah alasan tidak ada masa sering diberikan apabila ada orang mengajak kita mendengar peringatan Allah? Kenapa kita tidak bersedia untuk mengorbankan sedikit masa daripada masa yang diperuntukkan kepada kita untuk meringankan kaki kita melangkah ke masjid? Mengapa kaki kita terlalu ringan jika diajak berjalan-jalan atau mengahbiskan masa untuk aktiviti tidak berfaedah? Banyak lagi yang dirungkaikan tentang pengorbanan kita dalam menuntut ilmu. Perkara kedua ini bukan saja menyentap, tetapi telah membuatkan hatiku menangis dengan kuatnya.

Persoalan ketiga yang dikemukan oleh beliau adalah berkaitan dengan pengorbanan terhadap harta yang telah Allah anugerhkan kepada kita. Apakah yang telah dilakukan dengan harta kita? Mengapakah rumah kediaman yang kita duduki sekarang ini, yang bernilai ratusan ribu ringgit dan sesetengahnya menjangkau jutaan ringgit sangup kita bina tetapi apakah kita juga sudah atau sanggup membina rumah@mahligai kita di syurga? Mengapa kita terlalu berkira sangat dengan duit ringgit apabila ada orang meminta sedekah untuk pembangunan masjid, rumah anak yatim, madrasah, dan maahad Tahfiz? Apakah harta yang kita kumpulkan diatas muka bumi ini boleh memberikan bantuan semasa kita berada di alam barzakh nanti. Serantak itu juga teringat aku akan ayat Al-Quran
“Yauma la Yanfau Ma Lun Wa La Banun, Ill’a Man Ata Allaha Bil Qalbi Sallim” yang bermaksud ingatlah hari dimana harta dan anak pinak tidak berguna kepada seseorang, melainkan orang yang datang kepada Allah (menghadap Allah) dalam keadaan hati yang sejahtera. Astaghfirullahal Azim…. Aku hanya mampu beristighfar mengenangkan nikmat harta. Sungguh seperti yang dikatakan dalam sebuah drama yang aku lihat sekitar 2 minggu yang lepas bahawa harta tidak mampu untuk membelli takdir yang baik-baik sahaja. Tiga persoalan ini sudah membuatkan aku berasa seperti berada di hujung nyawa.

Namun masih ada beberapa lagi pengorbanan yang disebut oleh beliau, namun pengorbanan yang terakhir yang tersebut oleh beliau adalah tentang pengorbanan kita terhadap agama islam. Persoalan yang ditimbulkan oleh beliau adalah apakah pengorbanan kita selama ini terhadap islam? Adakah selama ini ki telah berkorban untuk islam? Atau Adakah islam telah dikorbankan oleh kita. Cukup ringkas persoalan yang ditimbulkan tetapi sukar untuk dijawab dengan mata hati apatah lagi lisan. Fikir-fikirkanlah wahai diriku ini. Apakah yang telah aku lakukan untuk 22 tahun kehidupan aku ini. Ke mana arah tuju kehidupanku ini? Apakah matlamat kehidupan aku sebenarnya di muka bumi ini. Semua itu hanya akan mendapat jawapannya apabila aku bermuhasabah nanti.

Kesimpulannya, yang aku boleh tuliskan di sini sepanjang kehidupan aku pada 9 Zulhijjah ini adakah di manakah aku sekarang? Kemana aku selepas ini? Untuk apa aku lakukan semua ini? Apakah aku telah bersedia untuk menghadapi hari kematianku? Apakah yang boleh aku lakukan untuk membantu sahabatku yang lain? Cukupkah amalan hidup aku untuk melindungi aku daripada azab api neraka? Adakah layak syurga untukku dengan amalanku yang sedikit ini? Bahagiakah aku dengan kehidupan sekarang? Apa lagi langkah yang boleh aku laksanakan untuk memperbaiki diri ini? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang perlu aku jawab nanti.

Sahabat-sahabatku, itu hanyalah sedikit saja daripada persoalan yang mungkin ditanya oleh Allah SWT kepada diriku ini. Bayangkanlah persoalan di atas hanya ditujukan kepada diri ini sahaja. Belum lagi Allah bertanyakan tentang keluargaku, hartaku, sahabatku, masaku, rezekiku dan sebagainya. Jika semua ini ditanya melututlah aku di depan kebesarannya lantaran aku tidak mampu untuk menjawabnya. Memang benar kata penceramah ini, apabila diatas dunia ini kita rajin dalam mentaati perintah Allah, maka mudahlah kita di akhirat kelak. Jika di atas dunia ini kita lenguh kaki kerana lamanya berdiri untuk tahajud malam di kala manusia lain masih tidur, moga Allah mengantikannya dengan sebentarny
a kita berdiri di Padang Mahsyar. Jika di atas dunia ini kita tidak lokek untuk membelanjakannya kepada jalan Allah, moga di akhirat nanti Allah dan rasulnya tidak lokek untuk memberikan kita syafaat.
Moga ada bergunanya coretanku untuk kali ini. Moga ada manfaatnya. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang lemah itu bersandarkan kepada kelemahan diri saya. Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1429H. Salam kemaafan dari saya kepada seluruh insan yang mengenali diri ini. Sesungguhnya diri ini hanyalah insan biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.

Read more...

Khamis, 4 Disember 2008

:: Dari Timur Ke Utara ::


Alhamdulillah, setelah selesai segalanya di Tanjung Chap Beach Resort maka bermulalah perjalananku untuk merentasi masa untuk kemabali ke tanah airku iaitu negeri kedah. Aku pulkang ke Kedah bersama naqib usrahku dan ditemani seorang lagi peserta “Keindahan Bersamamu : Not Me Not Know” iaitu saudara Ahmad Adhwan. Aku berasa bahagia sekali, kerana aku masih lagi diberi kesempatan utnuk bersama Naqib usrahku. Dalam perjalanan aku lebih banyak mendiamkan diri dengan
membiarkan saudara Adhwan untuk menemani naqib usrahku memandu. Sebelum itu, biarlah aku coretkan disini tentang perhubunganku dengan Adhwan.

Sebenarnya aku sudah mula mengenali Adhwan sejak 2005 lagi iaitu sebelum aku memasuki IPSMB. Aku bertemu di Institut Perguruan Darulaman (IPDA) pada tahun 2005 semasa kami menyertai Majlis Pertandingan Tilawah, Hafazan, dan Tafsir Al-Quran (MUTTQH). Dan yang paling mendekatkan persahabatan kami adalah kami memasuki bidang pertandingan yang sama iaitu Hafazan Al-Quran. Keputusan pertandingan itu tidak memihak kepada kami berdua. Namun dari segi peratusan markah Adhwan mendapat 87 markah berbanding aku hanya mendapat 85 markah. Setelah berakhirnya majlis itu, kami tidak pernah berhubungan sehinggalah aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di IPSMB. Dari situlah perhubungan yang terputus, kembali terjalin semula. Beliau telah menjadi AJK Minggu Pendaftaran dan Pengurusan Pelajar Baru. Aku sering kali teringatkan kata-kata daripada Bekas Ketua Jabatan HEP MPIP iaitu Puan Hajah Nor Azizi binti Haji Khalid dan staf-stafnya apabila ada pelajar-pelajar baru yang mendaftarkan diri. Beliau mengingatkan aku dengan berkata, “Fazli, sungguhpun pelajar KPLI itu lebih tua dari segi umur dan telah memperolehi Ijazah, namun itu hanya pengalaman mereka di Universiti. Mereka tidak pernah merasai suasana kehidupan di Maktab Perguruan.” Kata-kata beliau inilah yang telah membuatkan aku mempunyai keyakinan yang tinggi apabila berhadapan dengan orang yang lebih dewasa. Begitu juga di IPSMB ini, walaupun pelajar PISMP-IPGM yang mernguruskan kami ini adalah terdiri daripada kohort kedua, namun aku berpegang pada prinsip ini iaitu “Aku hanya Senior dalam kehidupan di maktab tetapi aku adalah junior dalam kehidupanku di IPSMB.

Walaupun beliau adalah lebih muda daripada aku, namun aku menghormatinya sebagai seorang yang berkebolehan di dalam kepakarannya seperti Qiraatul Quran (Pembacaan Al-Quran). Aku mengakui bahawa dari segi bacaan al-quran, bacaan Adhwan lebih baik daripada bacaan aku. Sebab itulah seringkali apabila adanya Adhwan di Surau Al-Firdaus, aku lebih suka untuk dia menjadi imam. Ini bertepatan dengan apa yang nabi katakana bahawa sebaik-baik imam adalah yang terbaik daripada bacaannya. Memang benar apa yang aku rasakan ini. Naqib usrahku pernah berkata semasa aku menginap di Emerald Puteri Hotel bahawa bacaan saudara Adhwan adalah bacaan yang muktabar yang mana mantap dari segi fasahahnya, tajwidnya dan makhrajnya. Sesungguhnya aku menghargai kelebihan yang dikurniakan Allah kepada beliau. Semoga beliau terus menggunakan nikmat yang diberikan oleh Allah dengan sebaik-baiknya.
Berbalik kepada perjalanan kami tadi, sebaik saja bersalaman dengan sahabat-sahabatku (adik-adik usrahku) aku meninggalkan mereka dengan mengh
antar beberapa orang pelajar perempuan ke Stesen Bas Jerteh. Setelah menghantar mereka kami meneruskan perjalan ke rumah Naqib usrahku untuk menukar kereta. Sampai di sana kami sempat berjemaah melakukan solat asar dan meneruskan perjalan ke Kedah. Di sepanjang perjalanan itu, aku banyak berehat dan tidur disebabkan keletihan yang amat sangat. Hanya Adhwan yang menemani Naqibku untuk memandu. Kami singgah sebentar di Jeli untuk solat Maghrib dan Isyak secara Jamak. Selesai solat kami menjamu selera dengan menikmati hidangan nasi goring dan Sup Belut. Sebenarnya aku tidak berapa suka sup belut kerana sifatnya seperti ular. Namun aku terima juga pelawaaan Naqib usrahku untuk menjamahnya sedikit. Begitu berselera Adhwan dan Naqibku makan. Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke Kedah.

Dalam perjalanan itu kami banyak mendengar lagu-lagu Nasyid terutamanya nasyid daripada Timur Tengah. Sedar tak sedar kami sudah samapi ke Kampung Bendang Pecah iaitu rumah Adhwan. Kami disambut oleh ayah dan emaknya. Kami sempat menjamah sedikit bihun goring dan Air Milo yang telah disediakan oleh mak Adhwan. Dalam kesempatan itu Ayah Adhwan sempat menceritakan pengalamnnya mengikuti satu program kerohanian yang dianjurkan oleh Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Setelah selesai segalanya, kami meneruskan perjalanan. Hanya tinggal sejam lagi untuk kami sampai ke destinasi kami iaitu Sungai Petani. Dalam perjalanan itu, aku banyak meluahkan perasaanku tentang keberkesanan program KBM kepada naqibku. Biarlah rahsia itu hanya kami berdua saja yang tahu. Sampai saja di Sungai petani kami terus mencari Emerald Puteri Hotel. Aku cuba mendapatkan bantuan sahabatku, Bull. Beliau telah memberikan
panduan untuk sampai ke hotel tersebut.

Alhamdulillah, semuanya selamat. Aku menelefon sahabatku yang juga merupakan sahabat usrahku iaitu saudara Nabil Fikri yang sedang berkursus di sini. Beliau juga tidak sabar untuk mengetahui program yang telah kami jalankan di Bachok tempoh hari. Alhamdulillah, aku sangkakan inilah malam dan saat terakhir untuk aku bersama dengan naqib usrahku, namun tuhan telah memanjangkan masa untuk kami bertiga bersama. Kebetulan bilik yang naqib usrahku tempah itu mempunyai katil kosong, maka naqib usrahku berkata “Anta tak payah baliklah, balik hari isnin ni, temankan ana di sini”. Aku menyambut pelawaan naqibku. Aku juga mengajak Nabil untuk tidur bersama kami. Alangkah indahnya ukhwah ini.

Keesokannya aku bangun sekitar jam 5 pagi dan aku mengejutkan Nabil dan Naqib usrahku. Alhamdulillah, kami sempat membuat tahajud dan menunaikan solat subuh secara berjemaah. Selesai solat subuh kami membaca Mathurat dan mendengar sedikit tazkirah daripada naqibku. Alangkah berharganya setiap bait-bait kata yang keluar dari tazkirah yang telah disampaikan. Selesai segalanya kami bersiap untuk menikmati sarapan pagi. Aku pergi dengan nabil. Manakala naqib usrahku turun lambat sikit. Di tempat makan, ramai pelajar yang sedang mengikuti kursus kepimpinan ini terkejut dengan kehadiranku. Mungkin mereka tertanya-tanya bagaimana aku boleh berada di sini? Apa yang aku buat disni? Aku hanya membisu saja. Tetapi rata-rata mereka adalah kawan-kawan yang kukenali di maktab.

Seharian berlalu, aku banyak duduk di dalam bilik, manakala naqibku terpaksa meneruskan kerjanya. Malam itu, aku dan naqib usrahku sempat untuk berjalan-jalan di Giant. Kami hanya berjalan kaki sahaja kerana Pasaraya Giant hanya terletak di belakang Hotel. Alangkah seronoknya saat tika aku bersama denganmu wahai baba. Terasa kalau boleh aku tidak inginkan perpisahan yang sementara ini denganmu baba. Selesai sahaja membeli belah, aku naik ke bilik dan naqib usrahku meninjau program kepimpinan pelajar. Malam itu, kami sekali lagi sempat untuk keluar menikmati makanan ringan iaitu roti canai di Pelita Nasi Kandar. Aku keluar bersamaNaqibku, Nabil, Imad dan Ikhwan. Naqibku sekali lagi menginfakkan hartanya dengan membelanja kami pada malam itu. Malam itu, terjadi satu peristiwa yang menarik perhatian aku iaitu apabila Nabil membuat tempahan untuk makan Roti MILO. Inilah kali pertama aku mendengar Roti MILO. Kami semua bergelak ketawa sambil menunggu roti MILO sampai.

Selesai semuanya, kami terus balik ke bilik. Nabil sudah mengambil tempat untuk tidur, manakala aku dan naqibku menyiapkan video tentang ukhwah kita. Selain itu, kami sempat berbincang dan bertukar-tukar bahan untuk program yang akan datang. Pada malam inilah naqib usrahku mengarang puisi untuk mereka yang masih bercinta. Kagum aku melihat kebolehannya mengarang puisi. Walaupun penat, namun kesempatan yang ada tidak dipersia-siakan. Ketahuilah sahabat-sahabat usrahku, Aku dan naqib usrahku seringkali teringatkan akan kalian semua. Seringkali apabila menatap gambar kalian, pasti berlinangan air mata. Terasa sunyi sekali kami tanpa kalian. Saat-saat kita berpelukan untuk berpisah masih lagi terasa. Namun, kehendak takdir memisahkan kita buat sementara waktu. Jam 3 pagi aku tidur, manakala naqib usrahku tidur pada jam 4.30 pagi. Jam 5.45 pagi aku dikejutkan oleh naqibku untuk bangun solat subuh. Hari ini aku terlepas tahajud. Alangkah ruginya aku. Selesai solat subuh berjemaah kami berehat sebentar melepaskan lelah yang masih berbaki.

Pagi ini, aku banyak duduk di bilik. Aku meminta kebenaran naqibku untuk mengikutinya. Alhamdulillah beliau mengizinkan. Naqibku telah diberikan peluang untuk menjadi VVIP untuk majlis penutup bagi menggantikan Puan Pengarah yang tidak dapat hadir. Alhamdulillah naqibku sempat membuat ucapan dan menyelitkan sedikit dakwah kepada peserta-peserta kursus. Naqibku banyak menekankan tentang kepimpinan dan kehendaknya dengan islam. Alhamdulillah aku rasakan peserta kursus ini cukup beruntung kerana mendapat sedikit sentuhan daripada naqibku.

Selesai majlis penutup, inilah saat yang tidak mahu aku hadapi. Saat perpisahan dengan naqibku dan sahabatku Nabil. Entah mengapa dalam seminggu ini, hati dan perasaanku menangis lagi. Rasanya seperti baru sangat kami bersama, tetapi perpisahan terjadi lagi.

Ya Allah, Ukhwah yang dibina antara kami, Biarlah seperti seutas tasbih, Ada awal, Tiada penghujungnya, Dicipta untuk mengingatiNYA, Dibahagi untuk cintaNYA, Diratib demi redhaNYA..~. Ya Allah, jadikan aku lelaki yang soleh dan muslim yang mukmin...yang baik di antara yang terbaik...dan kurniakan aku pendamping, sahabat dan rakan yang baik dan soleh...dlm mendapatkan sesuatu yang terbaik dariMu...Amin... Ya Allah Ya Tuhanku, muliakan & sayangi naqib usrahku dan sahabat-sahabat usrahku..Bahagiakan keluarga mereka, Sihatkan tubuh badan mereka, berkatilah rezeki mereka, kuatkn iman mereka. Berikan kenikmatan beribadah kepada mereka , jauhkn mereka semua dari fitnah. Suburkanlah benih KEISLAMAN dgn penuh rasa kasih sayang dan rahmatmu Ya Allah. Amin Ya Robbal Aalaminn

Read more...

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP